Prof Mohd Said Bani CM Din dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat Global WCFA | DagangNews Skip to main content

Prof Mohd Said Bani CM Din dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat Global WCFA

Prof Mohd Said Bani CM Din
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Feb - Pengarah Urusan bzBee Consult Sdn Bhd, Prof Mohd Said Bani CM Din dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat Global World Communications Forum Association (WCFA), baru-baru ini.

 

bzBee Consult memaklumkan, WCFA yang berdaftar di Davos, Switzerland dan diasaskan sekumpulan pengamal komunikasi dari Eropah, Asia dan Amerika Latin itu sebulat suara meluluskan pelantikan tersebut melalui jawatankuasa eksekutif dan ahli yang hadir semasa Perhimpunan Agung Tahunan WCFA pada 15 Februari 2024. 

 

Katanya, pengiktirafan itu berdasarkan kepakaran visi unik dan standard etika yang tinggi Said Bani, serta sumbangan beliau kepada pembangunan industri perhubungan awam.

 

"Antara pencapaian peringkat antarabangsa Said Bani ialah anugerah ‘Pemimpin Perhubungan Awam Terbaik Asia-Pasifik’ 2022 oleh WCFA. 

 

"Beliau juga berjaya memimpin bzBee Consult untuk memenangi Anugerah Komunikasi WCFA Davos bagi Kempen Komunikasi Global pada Disember 2023 untuk acara Rainforest World Music Festival anjuran Lembaga Pelancongan Sarawak. 

 

"Anugerah tersebut diberi untuk kempen yang berjaya mempromosi jenama nasional ke peringkat antarabangsa, menjadikan bzBee Consult agensi tempatan pertama menerima pengitirafan sedemikian. Ini jelas menandakan kemajuan signifikan industri perhubungan awam dan komunikasi Malaysia di persada dunia," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Said Bani berkata, lantikan tersebut bukti kuasa pendigitalan, yang telah membuka pintu mengiktiraf pengamal tempatan dan pada masa sama, mengukuhkan rangkaian global. 

 

Katanya, peluang itu membolehkan pengamal bekerjasama, meningkatkan tahap profesionalisme, etika dan seterusnya membuktikan syarikat tempatan setanding antarabangsa. 

 

"Terima kasih buat ‘team’ saya di bzBee Consult, PRCA Malaysia juga rakan pengamal perhubungan awam dan media atas sokongan tidak berbelah bahagi. 

 

"Marilah kita sama-sama terus membawa agensi perhubungan awam tempatan ke pentas global. Saya amat mengalu-alukan juga agar syarikat konglomerat tempatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan memberi pengiktirafan sewajarnya kepada keupayaan agensi perhubungan awam tempatan," katanya.

 

Sementara itu, Presiden WCFA Davos, Maxim Behar berkata, pihaknya berbesar hati dan mengalu-alukan kedatangan Said Bani sebagai ahli lembaga penasihat global pertubuhan itu.

 

"Sebagai ahli lembaga penasihat global, kepakaran Said Bani sudah pasti akan meningkatkan usaha kolektif memartabatkan Industri perhubungan awam di peringkat global. Sekali lagi, terima kasih atas sokongan anda dan selamat datang," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, sebagai Presiden PRCA Malaysia, Said Bani terlibat secara aktif mempertingkat landskap perhubungan awam dan komunikasi di Malaysia.

 

Katanya, dengan lantikan sebagai ahli lembaga penasihat global, pandangan Said Bani akan memanfaatkan WCFA dan seterusnya menyumbang kepada misi persatuan untuk mempromosi kecemerlangan, inovasi dan amalan beretika, seterusnya berada di barisan hadapan dalam memberi amalan terbaik.

 

"Lantikan ini juga merupakan satu berita baik untuk pengamal perhubungan awam Malaysia dan industri komunikasi secara keseluruhan," katanya. - DagangNews.com