Proses i-Sinar perlu sedikit masa - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Proses i-Sinar perlu sedikit masa - Tengku Zafrul

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Feb. - Permohonan pengeluaran Akaun 1 menerusi i-Sinar akan mengambil sedikit masa kerana melibatkan perubahan kepada sistem Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini memandangkan tempoh masa diperlukan untuk membekukan transaksi buat sementara waktu. 

 

"Tempoh ini bagi membolehkan sistem KWSP untuk mengkreditkan dividen bagi 2020 ke dalam akaun ahli selepas pengumuman dividen pada hujung bulan Februari ini," katanya dalam laporan Laksana ke-41 hari ini. 

 

Kerajaan membuat pengumuman pada 11 Februari lalu mengenai pemansuhan syarat i-Sinar bagi mempermudahkan ahli membuat pengeluaran dari simpanan Akaun 1. 

 

Langkah ini diharap dapat membantu rakyat mengharungi cabaran semasa akibat pandemik COVID-19.

 

Sehubungan itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga telah berbincang dengan pihak KWSP untuk mempermudahkan proses kelulusan, terutama bagi mereka yang telah membuat permohonan, atau permohonannya sedang diproses. 

 

Pemansuhan syarat i-Sinar itu akan membolehkan ahli KWSP yang berumur kurang daripada 55 tahun membuat pengeluaran daripada simpanan Akaun 1, tertakluk kepada baki yang sedia ada.

 

Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga RM10,000.

 

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga RM5,000.

 

Bagi ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000 pula, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga 10% daripada simpanan Akaun 1 atau maksimum RM60,000.

 

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga RM10,000. - DagangNews.com