Subsidiari Uzma nyatakan minat jual bahan api hidrokarbon kepada Arafura Energies dan Australian Niugini | DagangNews Skip to main content

Subsidiari Uzma nyatakan minat jual bahan api hidrokarbon kepada Arafura Energies dan Australian Niugini

Gambar Uzma Group
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 12 Julai - Anak syarikat milik 51% Uzma Bhd, Jannatul Firdaus International Sdn Bhd memeterai pernyataan minat (EOI) dengan Arafura Energies Ltd dan Australian Niugini Services (ANS) untuk penjualan dan pembelian bahan api dan produk hidrokarbon.

 

Arafura Energies ialah pembekal produk petroleum bertapis di Papua New Guinea.

 

ANS pula ialah syarikat yang pakar dalam perolehan, rantaian bekalan, pengurusan tapak, sokongan hospitaliti, sumber makanan, pembangunan hartanah, pembinaan, perkhidmatan perlombongan dan penerokaan serta telekomunikasi.

 

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini, Uzma berkata, semua pihak hendaklah berunding dengan suci hati dan memeterai perjanjian jual beli induk bagi jual beli bahan api hidrokarbon.

 

Uzma berkata, bahan api hidrokarbon itu akan dihantar ke Arafura Energies dan ANS di pelabuhan pemuatan atau pelabuhan pelepasan bergantung pada kaedah penghantaran yang dipilih di bawah notis pengesahan.

 

"EOI tersebut adalah untuk tempoh satu tahun bermula dari 12 Julai 2024 hingga 11 Julai 2025," katanya.

 

Menurut Uzma, EOI dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan dan aset bersih sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 dan seterusnya sehingga tamat tempoh EOI.

 

Bagaimanapun, faktor risiko yang berpotensi termasuk risiko operasi dan pelaksanaan projek, jadual kerja, garis masa penghantaran dan keadaan cuaca buruk, tambahnya. - DagangNews.com