Vaksin COVID-19: Bank Dunia salur pembiayaan AS$12 bilion kepada negara sedang membangun | DagangNews Skip to main content

Vaksin COVID-19: Bank Dunia salur pembiayaan AS$12 bilion kepada negara sedang membangun


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Ahli Lembaga Pengarah Eksekutif Bank Dunia telah meluluskan dana sehingga AS$12 bilion (anggaran RM49.8 bilion) kepada negara-negara sedang membangun untuk membiayai pembelian dan pengedaran vaksin, ujian dan rawatan COVID-19 kepada rakyat. 

Pembiayaan yang bertujuan menyokong pengambilan vaksin kepada masyarakat dunia itu merupakan sebahagian daripada pakej keseluruhan World Bank Group (WGB) sehingga AS$160 juta untuk membantu negara sedang membangun memerangi pandemik COVID-19.

Bantuan itu juga merupakan pembiayaan baharu bagi program tindak balas kecemasan COVID-19 oleh Bank Dunia yang telah disalurkan ke 111 buah negara.

“Kami melanjutkan dan meluaskan pendekatan pantas untuk menangani COVID-19 supaya negara membangun menerima akses adil dan sama terhadap vaksin,” kata Presiden WBG, David Malpass dalam sebuah kenyataan, semalam.

 

David Malpass
David Malpass

 

Dalam pada itu, cabang sektor swasta WBG iaitu International Finance Corporation (IFC) turut melabur ke dalam pembuatan vaksin menerusi Platform Kesihatan Global bernilai AS$4 bilion. 

Langkah itu bertujuan mempercepat pengeluaran vaksin COVID-19 dan terapi di negara maju dan sedang membangun selain untuk memastikan pasaran baharu mendapat akses kepada dos yang tersedia.

“Akses kepada vaksin yang selamat dan berkesan serta sistem penghantaran yang kukuh merupakan kunci untuk menangani pandemik berkenaan selain membantu negara-negara yang berdepan impak fiskal dan ekonomi bergerak ke arah pemulihan ekonomi mampan,” tambah Malpass.

Negara-negara membangun akan mempunyai cara yang berbeza untuk memperoleh dan memberikan vaksin yang diluluskan. 

Pendekatan itu menggunakan kepakaran WBG dalam menyokong program imunisasi berskala besar untuk penyakit yang dapat dicegah menerusi vaksin, serta program kesihatan awam untuk menangani penyakit berjangkit seperti HIV, tuberkulosis, malaria dan penyakit tropikal lain. - DagangNews.com