Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 18 Nov. - Negara ekonomi dalam Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) disaran untuk bersatu bagi memastikan akses yang adil terhadap vaksin COVID-19.
Perkara tersebut menjadi saranan penting dalam Mesyuarat Menteri-Menteri APEC (AMM) yang dianjurkan secara maya pada 16 November 2020.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keperluan itu adalah bagi memastikan akses yang adil terhadap vaksin COVID-19 secara selamat, berkesan dan berpatutan.
"Selanjutnya, kita harus menganggap vaksin COVID-19 sebagai barangan awam yang penting untuk melindungi kesihatan kita," tegas beliau.
AMM yang dipengerusikan oleh Mohamed Azmin itu turut disertai oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong serta Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Kamarudin Jaffar sebagai wakil Malaysia.
Mesyuarat yang disertai oleh semua negara ekonomi APEC itu turut menekankan kepada solidariti yang lebih kuat untuk mendorong pertumbuhan dan meningkatkan daya tahan ekonomi rantau berkenaan.
Dalam mesyuarat berkenaan, Mohamed Azmin turut menyatakan bahawa pandemik COVID-19 mungkin menjadi krisis ekonomi yang paling teruk pada zaman kini.
Ujarnya, semua pihak harus bersikap realistik dan pragmatik dalam tindak balas terhadap keadaan semasa.
"Walaupun memerangi wabak tetap menjadi keutamaan, pemulihan ekonomi juga harus diberi perhatian yang sama.
"Oleh kerana kesannya parah terhadap ekonomi, negara anggota ekonomi APEC harus menjalin kerjasama yang lebih erat dan mencari penyelesaian jangka panjang serta mampan, bukan hanya untuk menangani situasi semasa, tetapi kemungkinan lain yang akan mempengaruhi skala global," tambah beliau lagi.
AMM turut menekankan kepada kepentingan kerjasama erat untuk memanfaatkan teknologi canggih dan kemajuan yang dihasilkan oleh transformasi digital.
Perkara itu penting bagi memudahkan pembukaan semula aktiviti ekonomi terutamanya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), wanita, belia dan golongan rentan.
Dalam pada itu, AMM turut memberi panduan mengenai pekerjaan masa hadapan dan membincangkan persiapan untuk Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC 2020 yang bakal berlangsung pada 20 November nanti. - DagangNews.com