Oleh NORZAHIDAH YACOB dan WAN RASYIDAH WAN MUSA
RANCANGAN Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat pada 27 September 2021 telah mendapat sambutan yang sangat baik oleh pelbagai pihak dalam merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai ekonomi yang mampan dan kualiti hidup yang lebih jitu menjelang tahun 2025.
Pelbagai industri dilihat mendapat perhatian dalam rancangan tersebut termasuklah industri pelancongan.
Industri pelancongan adalah satu daripada industri yang paling teruk terjejas akibat COVID-19. Penularan wabak COVID-19 ini telah menyebabkan kerugian yang sangat besar dialami industri pelancongan dan dianggarkan kerugian semasa mencecah RM45 bilion.
Kerugian ini berlaku bila kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga penutupan sempadan negeri dan negara yang bermula pada 18 Mac 2020.
Kesan daripada sekatan perjalanan ini menyebabkan perbelanjaan pelancong di negara ini pada tahun lalu mencatatkan penurunan sebanyak 71.2% iaitu RM52.4 bilion berbanding RM182.1 bilion pada tahun sebelumnya.
Kerugian ini juga membawa kepada peningkatan kadar pengangguran di Malaysia.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar peratusan penganggur pada bulan Jun yang lalu meningkat pada kadar 4.8% berbanding 4.5% pada 2020 dan 3.3% pada 2019.
Walaubagaimanapun, industri pelancongan ibarat mendapat suntikan vaksin setelah lama “ditidurkan” kesan daripada penularan pandemik COVID-19 melalui pelan RMK-12.
Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (MOTAC) menyambut baik pembentangan RMK-12 yang memberi sinar dan harapan baru dalam industri pelancongan ini.
Menurut menterinya, Dato’ Sri Nancy Shukri melalui RMK-12 matlamat dalam mengembalikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pilihan pelancong dapat direalisasikan semula melalui tagline “Coming Back Stronger” dengan pelan-pelan tindakan yang bakal dilakukan oleh MOTAC.
Dengan penerapan strategi yang dirangka dalam mengaktifkan dan mencergaskan kembali industri pelancongan terutamanya dalam membaik pulih aspek keselamatan dan kebersihan, menyediakan produk dan perkhidmatan yang berkualiti tinggi, meningkatkan kemampanan dan kelestarian produk pelancongan sejajar dengan situasi semasa dalam mengembalikan semula keyakinan para pelancong untuk terlibat secara aktif dan seterusnya mempergiat pelancong domestik.
Beberapa langkah pemulihan telah digariskan dalam menggerakkan semula industri pelancongan bermula pada tahun ini sehingga tahun 2025 bagi menampung jumlah pelancong domestik yang dianggarkan meningkat pada kadar 5.5% setahun dalam tempoh RMK-12 dengan sasaran seramai 212 juta pelawat yang memberi jumlah pendapatan sebanyak RM100 bilion pada tahun 2025.
Bagi menyahut cabaran untuk mencapai sasaran pendapatan sebanyak RM100 bilion pada tahun 2025 bagi pelancongan domestik, para pemain di dalam industri pelancongan haruslah bersama-sama berganding bahu dalam mencapai sasaran tersebut.
Semua produk pelancongan antaranya seperti hotel, premis perniagaan, makanan, pusat rekreasi atau aktiviti sukan seharusnya dipromosikan dengan lebih agresif agar dapat memancing pelancong domestik untuk terus melancong dan seterusnya penjanaan pendapatan dapat ditingkatkan.
Nilai estetika dan kejatian Malaysia masih perlu dititikberatkan dan ditekankan dalam usaha ‘memodenkan’ industri pelancongan untuk mendapat sambutan yang lebih meriah tersebut sejajar dengan slogan yang telah diguna pakai sebelum ini “Malaysia Truly Asia”.
Kerajaan telah mengaktifkan semula pelancongan domestik bagi merancakkan semula industri pelancongan yang “ditidurkan” selepas lebih setahun terkesan daripada pandemik COVID-19.
Pembukaan pelancongan domestik ini dapat meningkatkan semula penjanaan pendapatan masyarakat setempat dengan penglibatan secara aktif oleh masyarakat setempat melalui inap desa yang menarik, penghasilan kraftangan yang unik dan berkualiti serta perkhidmatan pemandu pelancong yang lebih mesra pelancong.
Langkawi menjadi destinasi pilihan utama dan dijadikan sebagai projek perintis destinasi gelembung pelancongan yang pertama dibuka kepada pelancong tempatan yang telah lengkap divaksin.
Pulau Langkawi dipilih atas faktor mudah dikawal pergerakan keluar masuk pelancong dengan lokasinya yang tertumpu dan tertutup.
Ini secara tidak langsung menjadikan Pulau Langkawi sebagai penanda aras bagi projek gelembung pelancongan di pulau-pulau peranginan yang terdapat di seluruh negara yang bakal dibuka tidak lama lagi.
Menurut Dato’ Sri Nancy lagi, dalam tempoh dua minggu Langkawi dibuka semula, seramai 38,748 pelancong berkunjung ke pulau tersebut dan penjanaan pendapatan mencecah lebih RM15 juta.
Ini adalah satu permulaan yang sangat baik dalam melonjakkan semula industri pelancongan seterusnya meningkatkan ekonomi negara.
Namun begitu aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perlu sentiasa diberi keutamaan agar kita dapat membendung penularan COVID-19.
Kita tidak mahu menjadi seperti di negara jiran seperti Phuket di Thailand dan Bali di Indonesia yang terpaksa ditutup semula ekoran daripada penularan COVID-19.
Sasaran pendapatan sebanyak RM100 bilion pada tahun 2025 bagi pelancongan domestik di dalam RMK-12 tidak mustahil untuk dicapai sekiranya para pemain di dalam industri pelancongan yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung bersama-sama dalam membangunkan kembali industri pelancongan yang “ditidurkan” seiring dengan tagline MOTAC, Coming Back Stronger,". – DagangNews.com
NORZAHIDAH YACOB dan WAN RASYIDAH BINTI WAN MUSA merupakan Pensyarah Fakulti Pengurusan Dan Perniagaan UiTM Cawangan Melaka