Melestarikan permainan tradisional menerusi aplikasi digital Realiti Terimbuh | DagangNews Skip to main content

Melestarikan permainan tradisional menerusi aplikasi digital Realiti Terimbuh

Permainan tradisional seperti congkak wajar didigitalkan dalam usaha menarik generasi muda. - Gambar hiasan 
Oleh ILINADIA JAMIL

PERMAINAN tradisional masyarakat Melayu merupakan permainan warisan yang diperturunkan dari generasi ke generasi. 

 

Terdapat pelbagai jenis permainan tradisional yang mungkin sudah dilupakan antaranya seperti galah panjang, gasing, batu seremban dan congkak. 

 

 ILINADIA JAMIL
          ILINADIA JAMIL

 

 

Namun, pada masa kini, permainan tradisional tidak lagi menjadi permainan utama bagi generasi kini. 

 

Generasi muda, terutamanya kanak-kanak kini kurang terdedah dengan kebudayaan permainan tradisional. Mereka lebih terdedah dengan permainan yang berasaskan komputer dan digital. 

 

Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan bahawa permainan tradisional semakin kurang dimainkan oleh kanak-kanak pada hari ini. 


 

parafrasa

 


Sebuah kajian oleh Zuriawati Ahmad Zaharim dan rakan penyelidik USM menunjukkan bahawa teknik bermain sambil belajar boleh meningkatkan keseronokan kanak-kanak dan menarik minat mereka untuk belajar sesuatu yang baru.

 

Oleh itu, objektif kajian mereka adalah untuk mengembangkan permainan tradisional Melayu di dalam bentuk aplikasi mudah alih yang boleh menarik minat kanak-kanak untuk lebih memahami dan memahami apa itu permainan tradisional dan bagaimana ia boleh membantu melestarikan budaya. 

 

Sekiranya kanak-kanak didedahkan dengan permainan tradisional seawal pendidikan mereka, hal ini dapat mengurangkan jurang di antara permainan tradisional dan moden seterusnya dapat mengekalkan warisan permainan tradisional dari ditelan arus permodenan. 

 

Maka, kita boleh memperkenalkan permainan tradisional kepada generasi muda dengan cara yang lebih menarik dan interaktif dengan bantuan teknologi digital. 

 

Ini kerana aplikasi permainan adalah sangat popular dalam kalangan kanak-kanak dan remaja dalam era digital. 

 

Pembangunan aplikasi permainan tradisional yang menarik dan mudah dimainkan boleh membantu memperkenalkan permainan tradisional kepada generasi muda. 

 

Mungkin permainan tradisional akan menjadi lebih menarik dan interaktif dengan penggunaan teknologi realiti terimbuh atau augmented reality (AR). 

 

Aplikasi AR ini membolehkan pemain bermain permainan tradisional dalam persekitaran maya.


 

parafrasa

 


Melalui pembangunan aplikasi permainan tradisional ia dijangka dapat menjana perubahan dan mampu menarik minat generasi baru untuk lebih dekat dengan permainan tradisional. 

 

Namun, elemen reka bentuk tradisionalnya perlu dikekalkan walaupun diadaptasikan ke aplikasi digital agar keunikan dan ciri tradisi melayu dapat dikekalkan. 

 

Dengan kemajuan dalam ICT dan teknologi, terdapat banyak peluang dan ruang untuk dieksploitasi. 

 

Teknologi dan budaya boleh digabungkan dan digunakan untuk memelihara budaya tempatan, terutamanya permainan tradisional. 

 

Hal ini adalah wajar untuk dilakukan supaya generasi akan datang mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang ciri-ciri unik budaya yang diwariskan kepada mereka. - DagangNews.com

 

 

Ilinadia Jamil merupakan Pensyarah Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM Cawangan Melaka