Sasaran kutipan cukai RM243.6 bilion pada 2024 mampu dicapai dengan e-Invois - TA Securities | DagangNews Skip to main content

Sasaran kutipan cukai RM243.6 bilion pada 2024 mampu dicapai dengan e-Invois - TA Securities

Kutipan cukai mampu ditingkatkan dengan e-Invois, kata TA Securities. -Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Pelaksanaan e-Invois yang bermula 1 Ogos lalu bagi fasa pertama akan membolehkan kerajaan mencapai sasaran kutipan cukai 2024 sebanyak RM243.6 bilion, kata TA Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ini kerana e-Invois memberi manfaat kepada ekonomi dengan mempercepatkan proses perakaunan, mengurangkan tuntutan penipuan dan meningkatkan kepatuhan pembayar cukai.

 

"Dengan anggapan pertumbuhan sebanyak 8%, kutipan cukai boleh mencapai RM260 bilion atau lebih pada tahun 2025. 

 

 

"Ini akan disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh serta langkah-langkah yang diambil untuk meningkatkan mobilisasi hasil dengan memperluas asas cukai dan memperbaiki kepatuhan dan ketelusan cukai," katanya dalam nota penyelidikan hari ini. 

 

Walau bagaimanapun, kata TA Securities, nisbah hasil cukai terhadap Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) masih rendah mengikut piawaian sejarah (2024: 12.3% daripada KDNK) dan negara lain di rantau ini. 

 

"Kami mencadangkan supaya kerajaan menetapkan sasaran hasil cukai tahunan sekitar 15% hingga 20% daripada KDNK. Mencapai tahap hasil cukai ini akan memberikan ruang fiskal yang diperlukan untuk menyokong pembangunan ekonomi," jelasnya.

 

Dalam pada itu, TA Securities berkata, e-Invois juga akan memudahkan peralihan yang lebih lancar ke sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada masa hadapan sekiranya percukaian itu perlu dikembalikan.

 

Walaubagaimanapun, TA Securities meragui GST 2.0 akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

 

ARTIKEL BERKAITAN: E-Invois dijangka jejaskan jualan kereta, tiada lagi ruang 'pinjaman penuh' - TA Securities

 

"Oleh kerana e-Invois masih agak baru di Malaysia dan akan dilaksanakan secara berperingkat untuk memastikan peralihan yang lancar, pada masa ini sukar untuk menilai impaknya. Kami perlu menunggu dan melihat bagaimana ia berkembang.

 

"Namun, kami menjangkakan pelaksanaan e-invoicing di Malaysia akan memberi impak signifikan terhadap jualan kereta. Menurut penganalisis Automotif kami, ini akan berlaku apabila ia menjadi mandatori untuk semua pembayar cukai, tanpa mengira jumlah pendapatan tahunan mereka.

 

"Sistem baru ini dijangka menghadapi cabaran bagi pembeli yang mungkin mendapati sukar untuk mendapatkan jumlah "pinjaman penuh" yang sebelum ini ditawarkan oleh beberapa ejen jualan," jujarnya.

 

Namun demikian, firma itu menjangkakan impak minimum e-Invois terhadap syarikat automotif yang mempunyai bahagian pembiayaan kenderaan dalaman yang kukuh, terutamanya yang menawarkan pilihan pembayaran yang mudah dengan ansuran bulanan yang rendah. 

 

"Kami kini mempunyai cadangan Jual untuk MBM Resources Berhad (TP: RM4.70), Beli untuk Bermaz Auto (TP: RM2.74) dan Pegang untuk Sie Darby Auto Berhad (TP: RM2.85)," jelasnya.- DagangNews.com