Serba Dinamik lantik firma audit bebas, 3 anggota lembaga pengarah baharu | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik lantik firma audit bebas, 3 anggota lembaga pengarah baharu

Tiga pengasas bersama Serba Dinamik, dari kiri Datuk Dr Abdul Karim Abdullah; Datuk Abdul Kadier Sahib dan Pangeran Datuk Awang Daud Awang Putera.

 

DIKEMASKINI 2pm 14 Jun 2021 : Ernst & Young dilantik jadi penilai bebas Serba Dinamik, 3 lembaga-pengarah baru

 

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

SHAH ALAM 14 Jun - Serba Dinamik Holdings Berhad dijangka mengumumkan pelantikan tiga anggota Lembaga Pengarah baharu hari ini dengan seorang daripadanya memiliki latar belakang perundangan.

 

DagangNews.com turut difahamkan, Serba Dinamik juga bakal mengumumkan pelantikan firma bebas daripada 4 firma audit terkemuka antarabangsa.

 

Langkah tersebut adalah sebagai reaksi terhadap isu yang dibangkitkan oleh Majlis Pelabur Institusi Malaysia (IIC) dan Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti (MSWG) yang memandang serius cadangan syarikat itu mahu menukar auditor awal bulan ini.

 

Kedua-dua entiti tersebut turut membangkitkan persoalan `langkah proaktif’ Serba Dinamik khususnya dalam aspek proses pemilihan firma bebas antarabangsa bagi memeriksa audit KPMG yang seakan sudah terhenti.

 

Bukan sahaja IIC dan MSWG tetapi seluruh komuniti pelabur dan korporat menanti serta meneliti dengan penuh minat kaedah penyelesaian muktamad yang akan diambil oleh para pengarah bebas bukan eksekutif (yang diistilah sebagai INED) syarikat.

 

Menurut sumber rapat yang mengetahui mengenai urusan tersebut kepada DagangNews.com, bertitik tolak daripada itu semua, pihak pengurusan memberi jaminan bahawa mereka tidak akan terlibat dalam urusan berkaitan masalah ini.

 

“Dengan pelantikan 3 lagi anggota Lembaga Pengarah, keanggotaan sekarang akan menjadi seramai 12 orang daripada 9 orang sekarang.

 

“Dengan adanya mereka dan firma audit bebas, langkah ini dianggap wajar oleh pemerhati pasaran saham memandangkan ia dapat membantu pelabur menilai tahap keberkesanan lembaga pengarah bg menguruskan masalah ini,” katanya.

 

Sebagai rekod, pengarah bebas Serba Dinamik pada masa ini mengandungi bekas rakan kongsi KPMG Malaysia Hasman Yusri Yusoff, bekas pengarah urusan Nationwide Express Holdings Bhd. Rozilawati Basir dan akauntan Sharifah Irina Syed Syed Ahmad Razi dan peguam, Tengku Datuk Seri Hasmuddin Tengku Othman.

 

serbadinamik
Dari kiri, Hasman Yusri Yusoff,  Rozilawati Basir, Sharifah Irina Syed Syed Ahmad Razi dan Tengku Datuk Seri Hasmuddin Tengku Othman.

 

Lembaga Pengarah syarikat terdiri daripada tiga pengasas bersama yang juga pemegang saham utama syarikat iaitu Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr Abdul Karim Abdullah;  Datuk Abdul Kadier Sahib dan Pangeran Datuk Awang Daud Awang Putera.

 

Dua lagi ialah bekas pegawai kanan Petronas, Dato' Mohamed Nor Abu Bakar selaku pengerusi syarikat dan bekas CFO Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Syed Nazim Syed Faisal.

 

Difahamkan keputusan telah dibuat Jumaat lalu tetapi tidak jadi diumumkan selepas pasaran ditutup, bagi membolehkan perkara membabitkan pemegang saham ketiga terbesar syarikat, Awang Daud diperjelaskan.

 

Beliau menjadi perhatian para pelabur bila menjual 8.5 juta sahamnya di pasaran terbuka pada purata harga 64.02 sen yang bersamaan dengan 0.23% pegangan sahamnya. 

 

Awang Daud masih memiliki 66.79 juta saham atau 1.8% kepentingan, sekali gus menepis spekulasi pasaran bahawa langkah penjualan sahamnya semalam, kononnya beliau akan meninggalkan rakan baiknya, Abdul Karim.

 

BACA : Pemegang saham ketiga terbesar tiada hasrat tinggalkan Serba Dinamik

 

Awang Daud merupakan pengarah bukan eksekutif bukan bebas syarikat penyedia minyak dan gas bersepadu global itu, dalam kenyataan rasminya lewat petang Jumaat berkata, ia hanyalah langkah taktikal `margin call', bukan petanda beliau meninggalkan syarikat.

 

Pelantikan firma bebas antarabangsa untuk meneliti pelbagai isu yang dibangkitkan oleh KPMG adalah sangat penting dan tidak seharusnya dilengah-lengahkan bagi mengembalikan keyakinan pemegang saham dan pemegang taruh syarikat, kata penasihat ICC, Lya Rahman dipetik laporan media berbahasa Inggeris.

 

“Di dalam memastikan kebebasan proses pelantikan, ia sudah tentunya dibawah tanggungjawab jawatankuasa audit atau INED tanpa campur tangan pengurusan syarikat,” ujar beliau.

 

 

Sementara itu, persepsi dalam kalangan penganalisis saham terhadap Serba Dinamik masih baik, walaupun harga saham syarikat merosot 50% sejak isu audit meletup sejak akhir bulan lalu.

 

Firma UOB Kay Hian Malaysia Research dalam nota kepada pelanggannya telah menyarankan supaya ‘pegang’ saham Serba Dinamik dengan sasaran harga baharu 70 sen dengan segala faktor negatif telah diambil kira, melainkan berlaku sesuatu yang tidak dijangka.

 

Dalam laporan terbarunya, firma penyelidikan itu berkata, ia mengekalkan pandangan `neutral’ terhadap pertikaian antara syarikat dengan auditor luarannya, KPMG. – DagangNews.com