Untung selepas cukai Matrix Concepts susut 3.5% kepada RM61.5 juta pada 1QFY25 | DagangNews Skip to main content

Untung selepas cukai Matrix Concepts susut 3.5% kepada RM61.5 juta pada 1QFY25

Prestasi jualan Matrix Concepts didorong terutamanya oleh Sendayan Developments. - Gambar Matrix Concepts.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Untung selepas cukai (PAT) Matrix Concepts Holdings Berhad untuk suku pertama tahun kewangan 2025 (1QFY25) susut sedikit sebanyak 3.5% kepada RM61.5 juta berbanding RM63.7 juta pada tahun sebelumnya.

 

Pada suku tahun yang berakhir pada 30 Jun 2024 itu, pendapatan Kumpulan turut susut 15.6% kepada RM279.7 juta berbanding RM331.4 juta pada 1QFY24.

 

"Penurunan ini disebabkan terutamanya oleh sumbangan hasil yang lebih rendah dari segmen pembangunan hartanah, di mana pengiktirafan hasil daripada projek utama Sendayan Developments berkurang sebanyak 16.6% kepada RM250.3 juta berbanding RM300 juta pada tahun sebelumnya.

 

"Hasil daripada pembangunan hartanah lain, iaitu The Chambers di Kuala Lumpur, Bandar Sri Impian di Kluang, dan operasi di Australia berjumlah RM11.8 juta untuk 1Q25, pengurangan sebanyak 44.3% daripada RM21.3 juta pada tahun sebelumnya. 

 

"Pengurangan hasil yang lebih rendah ini terutamanya disebabkan oleh penyiapan M. Greenvale di Australia dan The Chambers pada tahun lalu," katanya dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Sementara itu, Matrix Concepts berkata, momentum jualan Kumpulan kekal kukuh, dengan jualan hartanah baru yang diperoleh berjumlah RM321.4 juta untuk suku tahun yang sedang dikaji. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Projek hartanah MVV 2.0 di Labu bakal pacu pertumbuhan masa depan Matrix Concepts

 

Katanya, prestasi jualan yang kukuh ini didorong terutamanya oleh Sendayan Developments, yang menyumbang RM281.1 juta, mewakili 87.5% daripada jumlah jualan hartanah baru. 

 

"Selain itu, pembangunan terbaharu di Lembah Klang, Levia Residence, menyumbang tambahan RM16.9 juta kepada jualan hartanah baru untuk suku tahun tersebut.

 

"Sehingga 30 Jun 2024, jualan yang belum ditagih Kumpulan adalah sebanyak RM1.59 bilion, menyediakan keterlihatan pendapatan untuk 15-18 bulan akan dating," jelasnya.

 

Matrix Concepts bekata, melihat ke hadapan, Kumpulan berada dalam kedudukan yang baik untuk pertumbuhan yang berterusan, didorong oleh beberapa faktor Utama terutama sekali permintaan terhadap tawaran hartanahnya kekal kukuh di projek utama mereka, Sendayan Developments. 

 

Katanya, ketahanan ini disebabkan oleh kecenderungan yang semakin meningkat dalam kalangan penduduk Lembah Klang untuk berpindah ke kawasan di luar pusat bandar, dengan jaringan jalan raya yang baik, sambungan yang lebih baik dan peningkatan dalam pengaturan kerja jarak jauh dan fleksibel.

 

"Pendekatan strategik ini telah membolehkan Kumpulan memanfaatkan permintaan yang kuat untuk hartanah kediaman terutamanya yang berharga sekitar RM600,000 yang menawarkan nilai tambah yang menarik bagi pelanggan.

 

"Tambahan pula, pemerolehan strategik Kumpulan terhadap tanah seluas 1,382 ekar di dalam koridor pembangunan Malaysian Vision Valley (MVV2.0) memberikan peluang yang menarik untuk pertumbuhan masa depan," ujarnya. - DagangNews.com