Bagaimana memilih kelas-kelas saham yang terlalu banyak di pasaran? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
CIKGU SAHAM - 18 May 2021 07:30 AM

BAGAIMANA MEMILIH KELAS-KELAS SAHAM YANG TERLALU BANYAK DI PASARAN?

 

TIDAK dinafikan apabila negara kita diancam oleh pendemik COVID-19 pada tahun lepas, maka ramai orang telah berkecimpung di dalam arena perdagangan di pasaran saham Bursa Malaysia.

 

Fenomena ini dikuatkan lagi dengan adanya gelombang kenaikan saham-saham syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang mengalami kenaikan yang besar dan mampu memberikan keuntungan yang lumayan. 

 

Ramai dalam kalangan pemain saham lama dan baru meraih keuntungan yang besar bukan sahaja meraih keuntungan puluhan atau ratusan ribu malah sehingga jutaan ribu lebih-lebih lagi yang membeli saham-saham berkaitan sarung tangan dan kesihatan. 

 

Terdapat juga sebilangan pemain saham ini menjadi jutawan saham dalam tempoh beberapa bulan semasa negara kita mengenakan sekatan perjalanan dalam negara termasuk sekatan perjalanan merentas daerah dan negeri atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 1.0) serta menutup banyak aktiviti perniagaan di seluruh negara.

 

Kelas-kelas pembelajaran tentang pelaburan dan perdagangan saham Bursa Malaysia semasa itu masih diadakan seperti biasa tetapi telah berubah kepada pembelajaran secara dalam talian yang mana penggunaan aplikasi zoom menjadi semakin popular semenjak tercetusnya pendemik COVID-19. Maka, orang ramai menjadi semakin minat dan semakin terdedah untuk menghadiri kelas-kelas atau seminar tentang pendidikan saham. 

 

Justeru, kelas-kelas atau seminar tentang pembelajaran saham mana yang macam mana yang sesuai untuk disertai? Dan bagaimanakah caranya untuk menjadi mahir mengenal-pasti kaunter-kaunter berpotensi naik yang akan menghasilkan keuntungan?

 

 

cikgusaham

 

 

Sebenarnya selepas tamat mempelajari ilmu-ilmu tentang pelaburan mahupun perdagangan tentang pasaran saham di peringkat lanjutan lebih-lebih lagi ilmu yang memberikan penekanan kepada urus niaga jual beli saham secara aktif atau untuk tempoh waktu yang singkat, peserta tersebut perlu mendapat pemantauan dan bimbingan untuk satu tempoh masa.

 

Tempoh masa mendapat bimbingan atau sokongan dari tenaga pengajar selepas tamat hadir kelas lanjutan ialah sekurang-kurangnya tiga bulan. Walau bagaimanapun, sekiranya pelajar adalah seorang yang tidak tahu apa-apa langsung tentang pasaran saham, tempoh yang ideal ialah lima atau enam bulan sahaja.

 

Sungguhpun begitu, tempoh yang mencukupi bagi seseorang yang buat pertama kali belajar saham secara formal ialah selama satu tahun. Satu tahun di bawah bimbingan dan pemantauan dengan syarat pelajar perlu hadir ke semua kelas yang dianjurkan atau yang diajar oleh tenaga pengajar atau jurulatih yang sama.

 

Tempoh dua tahun adalah tempoh yang tepat untuk menjadikan seseorang yang tiada apa-apa pengetahuan tentang saham atau zero knowledge kepada seorang pedagang atau pelabur yang matang dan mahir kerana dalam tempoh dua tahun ini pelajar tersebut sudah tentu melakukan kesilapan demi kesilapan yang menjurus kepada kerugian.

 

Tempoh dua tahun ini sudah cukup memberikan pengalaman kepada seseorang yang baru ingin berjinak-jinak dalam dunia pelaburan atau perdagangan di pasaran saham kerana tempoh dua tahun ini boleh dikatakan agak lama. Mustahil sekiranya seseorang itu masih belum mendapat rentak pergerakan pasaran saham sepanjang proses dua tahun membuat praktikal dengan ilmu yang dipelajari terdahulu.

 

Pelabur atau pedagang baharu sudah tentu mendapat banyak pengalaman dari segi melihat turun naik pasaran, mengikuti berita dan perkembangan semasa dunia saham dan ekonomi, melihat faktor-faktor persekitaran yang mempengaruhi turun naik harga saham, melihat sentimen pasaran serta telah lebih arif dan mahir membuat beli dan jual saham.

 

Dalam proses dua tahun ini juga, pelabur atau pedagang saham tentunya telah membuat beberapa kesilapan atau mengalami kerugian ketika berdagang. Ini merupakan satu pengalaman dan pengajaran untuk menghadapi masa-masa akan datang. 

 

 

cikgusaham

 

 

Sekiranya seseorang pelabur dan pedagang saham itu masih mendapat bimbingan dan tunjuk ajar yang berpanjangan, dia seharusnya akan menyedari kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan yang menjurus kepada kerugian dalam pelaburan. Sudah tentu dia akan memperbaiki setiap kesilapan yang telah dilakukan untuk menjadi semakin baik di masa hadapan.

 

Juga, dalam tempoh dua tahun ini, pelabur dan pedagang saham banyak mendapat ilmu atau input baru tentang pasaran. Sebagai contoh kemungkinan ada lain-lain perkara yang tidak diberitahu dahulu akan diberitahu kemudian di dalam tempoh dua tahun ini. Ataupun adanya perkara-perkara baharu yang diperkenalkan di dalam pasaran modal akan dikemaskini kepada pelabur tersebut.

 

Dalam tempoh dua tahun ini jika pelabur dan pedagang baharu mendapat bimbingan dan pemantauan dari tenaga pengajar, mereka bakal menjadi seorang pedagang atau pelabur yang boleh berdikari dan mahir dalam saham walaupun bukan semahir seorang pakar.

 

Pendek kata, pedagang dan pelabur ini telah melalui zaman sukar dan mereka telah dapat bertahan dalam tempoh dua tahun tersebut. Justeru, tahun-tahun seterusnya tidak lagi merupakan waktu sukar dalam mengharungi turun naik pasaran.

 

Permasalahan yang timbul di sini ialah, agak kurang tenaga pengajar yang sanggup memberi bimbingan dan tunjuk ajar dalam tempoh satu atau dua tahun secara berterusan lebih-lebih lagi jika perkhidmatan tersebut adalah percuma.

 

Maka, orang ramai perlu bijak untuk mencari satu sistem pendidikan yang berterusan yang boleh membantu anda untuk menjadi seorang pedagang atau pelabur yang berjaya. Atau pun mempunyai semangat dan usaha untuk teruskan mencari ilmu baharu sepanjang tempoh dua tahun ini. 

 

 

cikgusaham

 

 

Selain dari kursus-kursus atau ceramah saham yang dianjurkan oleh Bursa Malaysia, SIDC dan syarikat broker saham, terdapat juga kursus-kursus yang dianjurkan oleh orang perseorangan dan pihak swasta termasuk yang dilakukan oleh remisier dan dealer yang merupakan individu yang berlesen dan bertauliah.

 

Justeru, orang ramai perlu mendapatkan maklumat tentang modul pembelajaran, tempoh masa belajar, khidmat bimbingan dan sokongan serta harga yuran kursus-kursus. Sekiranya terdapat apa-apa kemusykilan atau keraguan, orang ramai boleh rujuk terus kepada Bursa Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti untuk mendapatkan nasihat tentang kursus-kursus pendidikan saham ini agar peserta berpuas hati dengan yuran yang dikenakan agar setimpal dengan modul yang diberikan. 

 

Orang ramai juga boleh meminta apa-apa maklumat sebelum membuat keputusan menghadiri mana-mana kelas atau seminar saham. - DagangNews.com

 

 

Cikgu Saham Zuraida Zakaria merupakan penulis buku "Dunia Saham Dari Perspektif Cikgu Saham'. Anda yang berminat boleh mendapatkan buku ini dengan menghubungi talian 017-3084787.

 

 

KOLEKSI CIKGU SAHAM: