TEKNOLOGI MEMUDAHKAN TRANSAKSI JUAL BELI SAHAM
KEJAYAAN dalam sesuatu bidang tidak boleh dicapai dalam sekelip mata. Begitu juga dalam pelaburan saham.
Pelaburan atau perdagangan saham sebenarnya merupakan satu subjek yang luas dan tidak semua orang berjaya menjana keuntungan sepanjang masa.
Tetapi dengan adanya satu sistem dan kaedah yang baik, ia memudahkan pelabur dan pedagang saham untuk berjaya menjana pendapatan setiap kali masuk pasaran. Ataupun sekurang-kurangnya keuntungan dijana itu melebihi dari kerugian.
Sewaktu urus niaga saham di papan Bursa Malaysia belum lagi dijalankan secara automatik sepenuhnya, pelabur saham atau lebih dikenali sebagai pelabur runcit banyak bersandar kepada wakil peniaga berdaftar atau remisier untuk mendapatkan maklumat pasaran.
Pelabur dan pedagang saham kerap bersandar kepada remisier untuk memberitahu mereka saham-saham syarikat tersenarai yang berpotensi untuk dibeli yang boleh memberikan keuntungan.
Dan pada waktu itu, pelabur runcit lebih gemar melakukan urus niaga kontra. Pada ketika itu, tempoh dagangan kontra agak lama iaitu T+7.
Pelabur runcit yang ingin membeli saham perlu pergi ke syarikat broker saham untuk melihat sendiri harga-harga saham yang sedang didagangkan ataupun mereka boleh juga menghubungi remisier untuk mengetahui atau bertanyakan tentang maklumat pasaran.
Beberapa buah komputer diletakkan di beberapa bahagian di dalam dewan dagangan saham untuk para pelanggan melihat harga-saham saham.
Pelaburan saham menjadi semakin mudah dengan adanya teknologi dan internet. Justeru, pelabur dan pedagang saham boleh membuat urus niaga hanya dalam talian. Terdapat banyak aplikasi saham yang menyediakan maklumat pasaran.
Walau bagaimanapun, dengan adanya berbagai kemudahan, sistem dan maklumat pasaran, masih ramai yang tidak mahir dalam urus niaga saham. Malah mereka juga sering mengalami kerugian demi kerugian sepanjang berurus niaga saham.
Sebagai contoh, apabila pasaran saham mengalami penurunan, sudah tentu pelabur dan pedagang saham ini mengalami kerugian. Kerugian ini boleh jadi kerugian yang disebabkan panik ataupun menjual untuk menghadkan kerugian kerana khuatir sekiranya tindakan menjual tidak dilakukan dengan segera, harga saham akan jatuh lagi ke tahap yang lebih rendah.
Pedagang kontralah yang kerap mengalami keadaan sedemikian kerana mereka membeli saham bertujuan untuk menjualnya dalam tempoh masa yang singkat atau kontra. Mereka tidak mahu membayar pembelian saham tersebut atau tidak mahu membuat pelaburan jangka panjang.
Akibatnya mereka menanggung kerugian walaupun adakalanya harga saham yang dibeli itu naik semula apabila pasaran berubah menjadi aliran menaik.
Dengan adanya urus niaga dalam talian, banyak perkara yang perlu dilakukan sendiri oleh pelabur dan pedagang saham itu sendiri. Sudah tentu ia memakan masa yang lama untuk mendapat rentak mengenali perjalanan turun naik pasaran.
Pelabur dan pedagang masa kini berbeza jika dibandingkan dengan pelabur dan pedagang saham dua puluh tahun dahulu.
Pelabur dan pedagang saham sememangnya perlu belajar dan mendapatkan ilmu pelaburan terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa urus niaga saham kerana pelaburan saham ini mempunyai risiko yang tinggi.
Membuat pembacaan sendiri, membuat kajian saham-saham berpotensi sehinggakan membuat beli jual sendiri di dalam talian. Justeru, sudah tentu ia mengambil masa yang agak lama untuk mahir dalam saham atau mahir memilih kaunter-kaunter yang bakal memberikan keuntungan.
Pelabur dan pedagang masa kini juga perlu rajin membaca dan pengambil tahu perkembangan semasa tentang pasaran saham dan berita-berita tertentu yang memberi kesan ke atas turun naik pasaran saham.
Sekiranya pelabur dan pedagang saham tidak mempunyai masa atau tidak membuat persediaan, sudah tentu ia mengambil masa yang lama untuk mahir dalam saham.
Ini disebabkan sepanjang melakukan urus niaga saham, tidak dapat dinafikan kita akan membuat kesilapan yang menjurus kepada kerugian. Kesilapan ini boleh jadi kesilapan yang dilakukan berulang-ulang kali sebelum kita dapat menyedari kesilapan tersebut dan berhenti dari melakukannya sekali lagi.
Kesimpulannya, walaupun terdapatnya kemudahan internet dan maklumat pasaran boleh didapati dengan mudah, pelabur dan pedagang saham masih perlu mendapatkan bimbingan dan tunjuk ajar dari orang-orang yang berpengalaman dan bertauliah. - DagangNews.com
Cikgu Saham Zuraida Zakaria merupakan penulis buku "Dunia Saham Dari Perspektif Cikgu Saham'. Anda yang berminat boleh mendapatkan buku ini dengan menghubungi talian 017-3084787.
KOLEKSI CIKGU SAHAM:
- STRATEGI DAGANGAN SAHAM JANGKA SINGKAT
- KAWAL EMOSI SEMASA MELIHAT PORTFOLIO SAHAM MEROSOT
- MELABUR SECARA SISTEMATIK, BERMAKLUMAT DAN TENANG
- NEWBIE SAHAM LEBIH GEMAR BELI SAHAM IKUT BUY CALL
Belajar ilmu berjual beli saham dengan individu bertauliah
- 2 TAHUN BELAJAR SAHAM DENGAN GURU YANG SAMA
- Tidak susah hendak memahami kaedah dagangan kontra saham
- Waspada jangan gelojoh - peringatan kepada newbie saham
- Panduan untuk kawal emosi semasa berurus niaga saham
- SERBA TAK KENA BILA BERJUAL BELI SAHAM
- Jangan panik semasa bursa tidak menentu
Dagangan tinggi tidak semestinya bermakna saham akan naik juga
- Apakah kesan ke atas Bursa Malaysia bila tercetus kerajaan mahu perketat semula PKP?