Industri filem berdepan semakin banyak kepupusan pekerjaan
Kita berada dalam fasa pandemik yang begitu mencabar – yang boleh dianggap antara ancaman virus paling besar dalam sejarah dunia moden. Ia bukan sekadar memberi kesan dan merubah kehidupan kita pada masa kini, tetapi pastinya akan mempengaruhi dan membentuk masa depan yang tidak akan sama seperti yang pernah kita bayangkan sebelum ini.
Kehidupan kita, mencakupi segala hal - pada masa kini dan masa depan tidak akan sama lagi. Industri kandungan kreatif tidak berkecuali.
Untuk melihat hal ini dalam industri kandungan kreatif, banyak aspek yang perlu dilihat. Industri adalah sebuah ekosistem yang mempunyai rantaian dan saling berkait antara satu sama lain. Oleh itu, adalah perlu untuk kita memperhalusi setiap bidang dalam rantaian tersebut dalam merangka pembangunan industri.
Bagaimanapun, untuk permulaan dalam penulisan ini, mungkin kita boleh memulakannya dengan melihat senario ini dalam tiga sektor utama industri perfileman iaitu penerbitan, pengedaran dan pemameran.
Ini kerana, penggiat dalam tiga sektor ini merupakan pemegang taruh utama seperti yang dinyatakan dalam Akta FINAS 1981, iaitu punca kuasa kepada agensi dan pentadbir pembangunan industri filem dan kandungan kreatif negara.
Mari kita fikirkan.
Bagaimana agaknya pandemik mengubah landskap (atau mungkin skala dan gerak kerja) dalam penerbitan filem di negara ini?
Dengan sektor penstriman OTT berkembang pesat, industri pawagam masih samar membuatkan kebanyakan penerbit beralih arah kepada penerbitan untuk platform atas talian berbanding tayangan di pawagam. Bagaimana situasi ini memberikan kesan kepada sektor pekerjaan terkesan seperti jurutera audio yang memberikan perkhidmatan pasca audio, setelah filem pawagam makin berkurangan?
Bagaimana pula agaknya kesan pandemik kepada pengedaran filem? Adakah trend sekarang membuatkan pengedar filem perlu mengemaskini skop perkhidmatan, pengetahuan, akses, jaringan, serta kepakaran dalam pengedaran `multi-windows` berbanding pendekatan konvensional sebelum ini yang banyak tertumpu hanya kepada pawagam dan stesen TV tempatan?
Untuk sektor pemameran pula, adakah teknologi pawagam baharu perlu diperkenalkan bagi menambah baik pengalaman penonton yang lebih berkesan – dalam usaha menarik kembali kepercayan penonton ke pawagam setelah pandemik reda nanti?
Apakah isu-isu lain yang bakal timbul dalam ketiga-tiga sektor, setelah pandemik reda?
Pandemik telah mempercepatkan kadar `digital disruption` dalam segala bidang dan bagaimana industri filem dan kandungan mampu bukan sekadar menghadapi, malah beradaptasi dan mengambil peluang ke atas situasi ini?
Semua ini harus difikir dari sekarang, tentang bagaimana kita mahu menghadapi pasca pandemik nanti. Supaya kita jelas dengan arah yang boleh dan berpotensi untuk dituju.
Penggiat dan pentadbir perlu melihat tidak sekadar survival jangka masa pendek (walaupun ia sangat penting dalam situasi kini), tetapi juga kelangsungan dalam jangka masa panjang – dalam beradaptasi dan menyesuaikan diri untuk tempoh masa antara 5 ke 10 tahun akan datang.
Antara perkara yang mungkin perlu diperhatikan adalah tentang relevansi bidang dan skop pekerjaan dalam bidang ini, yang pada saya akan turut berubah. Kita, terutama pentadbir industri, harus mula memikirkan tentang kemungkinan akan ada bidang pekerjaan yang akan pupus, dan akan ada pula skop pekerjaan baharu yang bakal muncul.
Dalam dunia industri 4.0 dan Malaysia 5.0, pekerjaan masa depan atau `future works` adalah perkara yang harus diperhati dan difikirkan oleh pentadbir industri dalam segala bidang – apatah lagi industri yang berkait rapat dengan industri.
Ini sangat penting bagi pentadbir industri merancang tentang skop bidang pekerjaan mana yang harus diberikan perhatian dalam program pembangunan modal insan – untuk mempersiapkan industri dengan sumber manusia yang berkemahiran dan berkepakaran dalam bidang tertentu dalam menghadapi perubahan industri semasa.
Kita dapat melihat bagaimana tempoh 10 tahun dalam dekad tahun 2010 hingga 2020 sudahpun membuktikan hal ini.
Sepuluh tahun lalu, jawatan `film loader` merupakan antara pekerjaan yang sangat penting dan menjana pendapatan tinggi untuk memastikan setiap rakaman filem (khususnya filem 35mm ketika itu) dapat dipindahkan secara baik dari lokasi ke makmal filem.
Tambahan pula ia memerlukan kemahiran dan kepakaran khusus untuk mengendalikan `film changing bag` tanpa boleh melihat dengan mata. Kini, hanya sepuluh tahun kemudian, bidang pekerjaan tersebut boleh dikatakan telah pupus sepenuhnya.
Sepuluh tahun lalu, pekerjaan `data wrangler` mungkin tidak pernah didengar kebanyakan orang dalam industri filem. Tetapi tidak sampai sepuluh tahun kemudian, mereka yang mempunyai kemahiran ini pula menjadi rebutan, dengan khabarnya mereka ini boleh mendapat bayaran antara RM800 sehingga RM2,000 sehari untuk penggambaran filem cereka dan filem iklan.
Malah, dalam situasi semasa kini pun, kita masih kekurangan tenaga mahir seperti baik pulih (restoration) & pendigitalan, pengurusan & pengagihan data, kemahiran pengendalian teknologi rakaman 8K dan banyak lagi sedang diperlukan dalam industri. Ini pastinya membuatkan industri kita agak ketinggalan dalam aspek tersebut dan masih memerlukan kepakaran luar negara.
Saya percaya, antara 5 ke 10 tahun akan datang, akan banyak lagi bidang pekerjaan baharu yang bakal muncul dan perlu kita meramal serta persiapkan industri dengan kemahiran tersebut.
Teknologi adalah suatu elemen penting dalam sistem ekonomi kini dan ekonomi pula pastinya adalah boleh dikatakan hal paling penting dalam sesebuah industri untuk terus relevan dan berkembang.
Bagaimana situasi industri kandungan kreatif dan perfileman Malaysia pada tahun 2030 dan seterusnya bergantung pada sejauh mana kita mula memikirkannya pada masa kini. - DagangNews.com
Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).
BACA ARTIKEL INDUSTRI KREATIF INI JUGA :
- MENJANA EKONOMI KREATIF DALAM DUNIA PERBUKUAN
- Industri Kandungan Faktual Malaysia perlu diberi penekanan
- Lokasi filem jadi magnet pelancongan pasca COVID-19
Malaysia wajar sertai UNESCO Creative Cities Network (UCCN)
- KEDUDUKAN KANDUNGAN KREATIF DALAM WILAYAH EKONOMI & PEMBANGUNAN SERANTAU
- Akreditasi & penyumberluaran penting kepada pembangunan kandungan kreatif Malaysia
- POTENSI BESAR UNTUK PENERBIT KANDUNGAN DI BORNEO
- COVID-19, DTT DAN SALURAN TELEVISYEN TERESTIAL DI MALAYSIA HARI INI
Gelombang Anak Muda Tokusatsu & Harta Intelek
- ADAKAH PELUANG UNTUK PLATFORM OTT TEMPATAN BERKEMBANG?
- BIG DATA & POTENSI SILANG INDUSTRI BAGI KANDUNGAN KREATIF