Wasiat tidak sah? Bahagian 1 | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 14 December 2020
WasiyyahShoppe

 

WASIAT TIDAK SAH? (Bahagian 1)

 

 

BEBERAPA tahun lepas satu dokumen wasiat sampai di atas meja saya. Wasiat ini dibuat oleh A yang telah kembali ke Rahmatullah, meninggalkan seorang isteri dan dua anak perempuan. Selain itu, A juga mempunyai seorang kakak dan seorang adik lelaki.

 

Bila saya semak wasiat itu, di dalamnya tertera dua perkara penting iaitu A telah melantik isterinya B sebagai wasi untuk harta pusakanya. A juga telah menyebut di dalam wasiat itu bahawa ½ dari harta pusakanya diberikan kepada isterinya manakala setiap anak perempuannya mendapat ¼ bahagian setiap seorang. Ini bermakna A telah mewasiatkan kesemua hartanya kepada isteri dan anak perempuannya.

 

Persoalan yang ditanyakan kepada saya ialah adakah wasiat itu sah dan berkuatkuasa? Artikel saya kali ini akan mengulas kes ini untuk melihat sama ada wasiat itu sah atau tidak. Saya akan cuba menulis artikel ini dengan Bahasa yang mudah supaya boleh difahami dengan baik oleh para pembaca Dagang News.  

 

Di dalam artikel ini, mari kita lihat wasiat itu dalam konteks hukum syarak.

 

Pertamanya mari kita lihat Surah Al-Baqarah ayat 180 yang bermaksud, “Kamu diwajibkan apabila salah seorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, hendaklah dia membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik, sebagai satu kewajiban atas orang-orang yang bertakwa.”  

 

Ramai sangat tanya saya betulkah buat wasiat itu hukumnya wajib? Sebab ada pihak mendakwa wajib buat wasiat. Jawapan saya kalau hukumnya wajib, maka kalau tidak dibuat berdosalah kita. Sama kedudukannya macam hukum solat itu wajib jika ditinggalkan maka berdosa.

 

Pada peringkat awalnya hukum membuat wasiat ini memang wajib dan wasiat itu diberikan kepada ibu bapa dan kaum kerabat seperti ayat di atas. Walau bagaimanapun, hukum wajib ini telah dinasakhkan (dibatalkan) apabila kemudian turunnya ayat-ayat mawarith berkaitan hukum faraid iaitu Ayat 11,12 dan 176 Surah An-Nisa’. Hukum faraid telah menggariskan secara tepat siapakah yang berhak mendapat harta simati dan berapakah bahagian mereka.

 

Para Fuqaha’ sependapat bahawa apabila turunnya ayat mawarith ini, hukum berwasiat seperti yang dinyatakan Ayat 180 Surah Al-Baqarah telahpun dibatalkan. Fuqaha’ juga sependapat bahawa hukum itu telah bertukar kepada sunat sahaja.

 

Apa pula pengertian wasiat itu ? Dari kisah Saad Ibn Waqas, yang bertanya kepada Rasulullah SAW, “Ya Rasulullah, bolehkah aku mewasiatkan kesemua harta ku?”. Dijawab Rasulullah “Tidak”. Lalu ditanya lagi, “ Sebahagian darinya?”. Dijawab Rasulullah “Tidak”. Lalu ditanya lagi, “Sepertiga”. Dijawab Rasulullah, “Ya dan sepertiga itupun sudah banyak. Lebih baik kamu tinggalkan waris kamu dalam keadaan senang dari kamu tinggalkan mereka dalam keadaan susah meminta-minta dari orang lain.” ( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim )

 

Jelas kepada kita di sini bahawa wasiat itu tidak boleh melebihi kadar 1/3 seperti hadis sahih di atas. Siapakah pula penerimanya? Penerimanya ialah ‘bukan waris’ iaitu pihak yang tidak menerima harta pusaka simati. Ini jelas dengan hadis Rasulullah SAW ‘La wasiatan lilwaris’ yang bermaksud tiada wasiat untuk waris.

 

 

WasiyyahShoppe

 

 

Dari penerangan ringkas ini dapat kita simpulkan bahawa wasiat yang sah dari segi hukum syarak ialah wasiat yang dibuat pada kadar tidak melebihi 1/3 dan penerima wasiat itu ialah bukan waris. Jadi apakah kedudukan wasiat yang dibuat oleh A di atas yang di dalamnya disebut bahawa penerima wasiat itu ialah isteri dan anak-anaknya?

 

Secara prinsip bila A mati, kesemua harta pusakanya akan menjadi milik waris mengikut hukum faraid iaitu isteri, 2 anak perempuan, kakak dan adik lelakinya. Kakak dan adik lelakinya mendapat bahagian kerana simati tidak mempunyai anak lelaki dan bapanya telah meninggal dunia lagi. Kesemua mereka berhak ke atas harta simati mengikut bahagian berikut; isteri 9/72. bahagian 2 anak perempuan 48/72, bahagian kakak 5/72 dan bahagian adik lelaki 10/72.

 

Nilai harta simati dianggarkan RM20 juta. Ini bermakna setiap orang waris di atas mendapat bahagian mengikut nilai berikut; isteri RM2.5 juta, 2 anak perempuan RM13,333.296,  kakak RM1,388,885 dan adik lelaki RM2,777,770.  Di dalam kes ini, walaupun A telah membuat wasiat supaya kesemua harta pusakanya diwarisi oleh isteri dan 2 anak perempuannya, namun kakak dan adik lelakinya tidak bersetuju.

 

Kes ini dibicarakan di Mahkamah Syariah dan wasiat itu diputuskan sebagai terbatal. Harta pusaka simati akhirnya diagihkan mengikut hukum faraid. Dari kes ini jelas menunjukkan bahawa jika anda berhasrat untuk mengagih-agihkan harta anda kepada sesiapa pun yang anda ingini sama ada waris atau bukan waris, dan anda mahukan agihan itu mengikut formula seperti yang anda mahukan, wasiat bukanlah pilihan yang baik. Wasiat yang diberikan kepada waris jika tidak dipersetujui oleh waris-waris yang lain akan terbatal.

 

Walaupun begitu jika anda berhasrat untuk mewasiatkan 1/3 dari harta pusaka kepada rumah anak yatim, pusat tahfiz, masjid, persatuan, anak angkat, anak tiri atau mana-mana pihak bukan waris (tidak menerima harta pusaka mengikut hukum faraid), maka wasiat adalah instrumen paling tepat yang anda perlu sediakan.

 

Ramai orang Islam terkeliru kerana menyangkakan bahawa wasiat adalah dokumen yang paling penting yang tidak boleh tidak mesti mereka sediakan. Ulasan biasa saya bila ditanya soalan ini ialah sama ada anda perlu buat wasiat atau tidak, ia bergantung kepada hasrat anda.

 

Anda nak agih harta kepada sesiapa pun mengikut formula anda, maka anda perlu buat hibah dan bukannya wasiat tetapi jika anda berhasrat untuk memberikan 1/3 dari harta pusaka anda kepada bukan waris bagi tujuan amal jariah, maka wasiatlah instrumen yang tepat.  

 

Saya akan ulas kedudukan isteri A sebagai wasi di dalam artikel saya yang akan datang.   

 

 

ariffinsabirin
Ariffin Sabirin adalah pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad

 

KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

Kenapa penting untuk hibahkan rumah kita yang masih ada pinjaman bank – Bahagian Pertama

KENAPA PENTING UNTUK HIBAHKAN RUMAH KITA YANG MASIH ADA PINJAMAN BANK – Bahagian Kedua

Kenapa penting untuk hibahkan rumah kita yang masih ada pinjaman bank - Bahagian Ketiga

BAGAIMANA CARA WARIS TIDAK PERLU BAYAR FI KHIDMAT PENGURUSAN PUSAKA?

ORANG MALAYSIA TIDAK TAHU KOS URUS HARTA PUSAKA MAHAL!

ALTRUISME DAN  HARTA PUSAKA

COVID-19 dan perancangan harta

INTEGRITI DALAM INDUSTRI PERANCANGAN HARTA

Tak semua orang perlu wasiat?

Jangan lupa rancang harta untuk manfaat diri sendiri dulu

 

 

 

 

 

Portfolio Tags