2021 : Industri penerbangan akan terus 'sakit' - IATA | DagangNews Skip to main content

2021 : Industri penerbangan akan terus 'sakit' - IATA

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Industri penerbangan dijangka terus berada dalam keadaan tunai negatif sepanjang tahun ini, menurut analisis terbaharu Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA). 

 

Malah, di peringkat industri kini, aliran tunai syarikat penerbangan tidak dijangka kembali positif sehingga 2022. 

 

Sebelum ini, dalam analisis pada November 2020, IATA menjangkakan syarikat penerbangan kembali mencatat aliran tunai positif pada suku keempat 2021. 

 

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac berkata, tahun ini akan lebih mencabar berbanding sebelumnya apabila kerajaan masih mengetatkan kawalan sempadan. 

 

"Kami melihat syarikat penerbangan akan mengalami tekanan tunai antara AS$75 hingga AS$95 bilion tahun ini (berbanding anggaran AS$48 bilion sebelum ini)," katanya dalam kenyataan.

 

Sehubungan itu, beliau menegaskan lebih banyak pelan kecemasan dari kerajaan amat diperlukan. 

 

Ini memandangkan industri penerbangan yang kembali hidup semula dapat membantu ekonomi bangkit semula daripada pandemik COVID-19. 

 

"Tetapi, itu tidak akan berlaku sekiranya terdapat kegagalan besar sebelum krisis berakhir. 

 

"Jika kerajaan belum membuka sempadan, mereka perlu menyalurkan bantuan kepada syarikat penerbangan untuk memastikan ia terus berdaya maju," jelasnya.

 

Menurut IATA, antara faktor yang perlu diambil kira terutama separuh pertama tahun ini adalah lebih teruk berbanding jangkaan sebelum ini. 

 

Ia dapat dilihat menerusi tempahan awal pada musim panas (Julai-Ogos) di bawah tahap 78% pada Februari 2019 berbanding 2020 disebabkan impak pandemik COVID-19.  

 

Permintaan untuk tahun ini pula berada pada 38% daripada paras 2019. Tetapi penggunaan tunai sekitar AS$7 bilion pada suku keempat adalah lebih baik berbanding AS$33 bilion pada suku pertama. 

 

Melihat kepada senario yang pesimistik, IATA menganggarkan syarikat penerbangan mengalami tekanan tunai sehingga AS$95 bilion sepanjang tahun ini. 

 

Namun, tekanan aliran tunai ini akan berkurangan kepada AS$16 bilion pada suku keempat berbanding AS$33 bilion pada suku pertama. 

 

"Tetapi, pemangkin kepada senario ini jika kerajaan kekalkan sekatan perjalanan pada musim panas ketika waktu puncak dan dalam kes ini, permintaan 2021 akan berada pada 33% daripada tahap 2019," jelas IATA. - DagangNews.com