Ekonomi 2021 : OK atau KO? | DagangNews Skip to main content

Ekonomi 2021 : OK atau KO?

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

Di sebalik penguncupan ekonomi yang lebih besar pada 2020 disebabkan pandemik COVID-19, penganalisis masih melihat pertumbuhan yang positif tahun ini. 

 

Namun, bagi rakyat marhaen seperti Makcik Kiah dan Pakcik Salleh, apa yang penting bagi mereka adalah mempunyai sumber pendapatan mencukupi bagi meneruskan kelangsungan hidup.

 

Jika mengukur kepada prestasi ekonomi negara tahun lalu, banyak perkara yang merunsingkan kepala, bahkan ramai yang berpendapat suasana akan terus suram. 

 

Berita gembira yang diumumkan kerajaan Khamis lalu, diharapkan dapat memberi 'sinar' kepada mereka yang betul-betul memerlukan wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 

 

Pengeluaran i-Sinar ini ibarat talian hayat terutama jika ekonomi berdepan tempoh sukar.

 

Jadi, mampukah kita untuk bangun semula setelah berdepan penguncupan ekonomi yang cukup parah tahun lalu? 

 


Terburuk sejak 1998

 


Menurut MIDF Research, penguncupan ekonomi -5.6% tahun lalu adalah terburuk sejak krisis kewangan global pada 2009 yang menyaksikan ekonomi menguncup 1.5%. 

 

Bagaimanapun, pada paras tersebut, ekonomi Malaysia adalah lebih baik jika dibandingkan dengan krisis kewangan Asia pada 1998 (yang menguncup 7.4%).

 

Berdasarkan prestasi ekonomi negara serantau, kebanyakannya merekodkan pertumbuhan yang lebih kukuh berbanding Malaysia yang menguncup 3.4% pada suku keempat 2020.

 

Ia menyaksikan ekonomi China berkembang pesat pada 6.5% berbanding 4.95 pada suku sebelumnya. Begitu juga Vietnam yang tumbuh 4.5% paa suku berkenaan. 

 

Ini menjadikan Vietnam dan China muncul negara Asia yang mencatat pertumbuhan pada 2020 dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masing-masing berkembang 2.8 dan 2%. 

 

"KDNK bagi negara utama ASEAN yang lain seperti Singapura, Indonesia dan Filipina terus mencatat penurunan pada suku keempat tetapi dengan kadar yang lebih baik. 

 

"Namun, ketiga-tiga negara ini mengalami kemerosotan ekonomi akibat pandemik COVID-19," katanya dalam nota kajian.  

 

Negara ekonomi utama dunia, Amerika Syarikat (AS) turut merekodkan penguncupan 1.9% pada suku tersebut menjadikan keseluruhan tahun -3.3%. 

 

midf

 

 

Harapan terhadap vaksin COVID-19

 


Secara dasarnya, harapan terhadap pemulihan ekonomi bergantung kepada sejauh mana keberkesanan agihan vaksin COVID-19 ke seluruh dunia.

 

Pengagihan vaksin yang kurang berkesan akan menyebabkan wabak ini sukar dikawal sekali gus menyaksikan ekonomi akan terus 'terkurung' dan memusnahkan permintaan. 

 

"Pada suku pertama tahun ini prestasi ekonomi akan terjejas akibat PKP yang sedang dilaksanakan buat masa ini dan juga beberapa langkah sekatan di negara utama ekonomi apabila jangkitan kes semakin meningkat. 

 

"Dalam masa sama, pasaran buruh juga akan terganggu buat sementara waktu memandangkan syarikat mungkin masih membekukan pengambilan pekerja ekoran aktiviti perniagaan yang masih perlahan dalam tempoh ini," jelas MIDF Research. 

 

Menurut AmBank Research, ekonomi sepatutnya kembali pulih tahun ini disokong aktiviti dagangan dan KDNK global yang bertambah baik, langkah-langkah rangsangan ekonomi, pengawalan pandemik dan vaksin COVID-19 yang akan merangsang sentimen pengguna dan perniagaan. 

 

"Tetapi, pertumbuhan ekonomi tahun ini masih dipengaruhi jangkitan COVID-19 yang tinggi serta langkah-langkah sekatan yang dilaksanakan pada Januari. 

 

"Malah, kami masih bimbang terhadap sektor perniagaan mikro, kecil dan sederhana," katanya. 

 

CGS-CIMB pula menyifatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dijangka bermula akhir bulan ini menjadi kunci utama pembukaan semula ekonomi dan mengurangkan gangguan bekalan. 

 

"Untuk itu, kami menjangkakan situasi ekonomi masih kekal mencabar dalam tempoh terdekat," jelasnya. 

 

KDNK disemak semula

 


Firma penyelidikan itu turut menyemak semula KDNK tahun ini kepada 5% setelah mengambil kira langkah sekatan dijangka berterusan sehingga Mac 2021. 

 

Malah, katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) memberi bayangan untuk menyemak turun unjuran KDNK tahun ini daripada 6.5 hingga 7.5% berdasarkan perkembangan semasa yang diramalkan. 

 

"Memandangkan keadaan ekonomi masih kekal mencabar dalam tempoh terdekat, kami menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) akan dikurangkan 25 mata atas kepada 1.50% pada separuh pertama tahun ini bagi membantu menambat ekonomi dan mengurangkan keadaan monetari seterusnya," katanya. 

 

Kementerian Kewangan sebelum ini masih mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi antara 6.5 hingga 7.5% tahun ini di sebalik pelaksanaan semula PKP dan proklamasi darurat bagi mengekang wabak COVID-19.

 

Berdasarkan kepada situasi semasa, AmBank Research mengunjurkan ekonomi tahun ini berlegar antara 5.2 hingga 5.9%. 

 

Sementara itu, MIDF Research pula mengunjurkan ekonomi tahun ini berkembang 5.4%, lebih rendah berbanding unjuran 7% yang dibuatnya sebelum ini.

 

Malah, firma itu percaya kesan PKP 2.0 ketika ini adalah lebih kecil berbanding tahun lalu yang akan menyaksikan ekonomi akan mencapai normalisasi secara beransur-ansur. 

 

"Pertumbuhan kukuh rakan dagang utama Malaysia seperti China dan AS turut akan membantu pemulihan ekonomi negara menerusi permintaan eksport yang tinggi. 

 

"Namun, risiko penurunan masih ada terutama membabitkan pelan vaksinasi, situasi politik semasa, ketidaktuan harga komoditi dan ketegangan geopolitik," kata firma itu. 

 

Dalam kenyataan hari ini, Fitch Solutions juga menyemak semula unjuran KDNK negara kepada 4.9% pada 2021 berbanding 10% sebelum ini ekoran ledakan jangkitan COVID-19 dan juga pelaksanakaan PKP. 

 

Langkah kerajaan menguatkuasakan semula PKP akan meningkatkan kadar pengangguran sekali gus menyebabkan prospek ekonomi domestik yang suram, jelasnya. 

 

"Kami juga menjangkakan langkah sekatan ini akan berterusan dan tidak akan menyemak semula pertumbuhan dalam tempoh beberapa bulan akan datang," katanya. - DagangNews.com