[EKSKLUSIF] Moovby 'intai' peluang perkhidmatan baharu dengan Moovbip | DagangNews Skip to main content

[EKSKLUSIF] Moovby 'intai' peluang perkhidmatan baharu dengan Moovbip

Moovby

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Tidak hanya menfokuskan kepada perkhidmatan perkongsian kereta peer-to-peer (P2P), platform Moovby turut merancang untuk meluaskan perkhidmatan dalam penyediaan data digital yang dikenali sebagai Moovbip.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Muhammad Amin Nik Muhammad Kamil berkata, Moovbip merupakan perkhidmatan terbaharu yang berbentuk perkakasan (hardware) dan peranti telematik berteknologi tinggi bagi tujuan analisis pemanduan secara digital.

"Inisiatif ini adalah perancangan Moovby di masa hadapan yang tidak hanya mengfokuskan kepada perkhidmatan P2P sahaja.

"Penyediaan data digital ini bertujuan untuk menganalisis tahap, sikap dan gaya pemanduan penyewa dan pemilik kenderaan.

"Lebih berjuta data yang akan diperoleh itu akan memberi kelebihan kepada pemandu untuk menikmati pelbagai kelebihan termasuk pengurangan jumlah pembayaran premium insuran kenderaan," katanya dalam sesi temubual eksklusif bersama DagangNews.com.

Nik Muhammad Amin Nik Muhammad Kamil
Nik Muhammad Amin Nik Muhammad Kamil 

 

Mengulas lanjut berkaitan kelebihan Moovbip, beliau memberitahu, selain pengurangan pembayaran insuran, pemandu juga berpeluang untuk mendapatkan diskaun harga sewa kenderaan, minyak kenderaan percuma dan beberapa mata ganjaran lain sekiranya data pemanduan mereka pada tahap baik.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi perancangan Moovby untuk melancarkan Moovby Market Place dengan pelbagai kemudahan dalam satu platform.

"Contoh kita ada 50,000 kenderaan. Pemilik kenderaan boleh akses market place itu hanya di hujung jari mereka.

"Mereka boleh dapatkan pelbagai perkhidmatan dengan mudah seperti memperbaharui cukai jalan, insuran, tukar tayar, minyak enjin dan sebagainya," ujarnya.

Baca: [EKSKLUSIF] Moovby tembusi Filipina dan Vietnam menjelang 3Q21

Ditanya berkaitan peluang pekerjaan yang bakal dibuka susulan perancangan pengembangan perkhidmatan tersebut, beliau memberitahu, pihaknya turut menyasarkan untuk membuka peluang pekerjaan baharu bagi melancarkan lagi pengoperasiannya.

"Kami juga akan membuka peluang pekerjaan khususnya yang berkaitan dengan kejuruteraan, pemasaran operasi dan lain-lain.

"Sasara kami untuk membawa masuk kira-kira 30 hingga 40 orang muka baharu (kakitangan) di Moovby," katanya lagi. - DagangNews.com