Hukum pengambilan vaksin COVID-19 adalah `harus' demi lindungi nyawa semua | DagangNews Skip to main content

Hukum pengambilan vaksin COVID-19 adalah `harus' demi lindungi nyawa semua

 

Oleh DR AZRI BHARI

 

 

MALAYSIA telah memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada 24 Februari 2021 secara berfasa dengan harapan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech, Sinovac, AstraZeneca dan sebagainya menjadi jawapan dan penawar kepada ketahanan manusia terhadap pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

 

Namun, timbul polemik dalam kalangan masyarakat berkaitan golongan yang secara terbuka mempengaruhi masyarakat menolak vaksin dengan fahaman salah melalui penyebaran maklumat yang tidak tepat dan jelas.

 

Golongan antivaksin tersebut telah mempertikaikan status halal vaksin kepada orang Islam, kandungan vaksin yang boleh mengancam kesihatan dan nyawa, kesan sampingan vaksin dan keberkesanan vaksin.

 

Impak negatif perbuatan tidak bertanggungjawab golongan antivaksin tersebut menyebabkan usaha pencegahan COVID-19 berhadapan peningkatan kes penyakit berjangkit yang boleh dicegah melalui vaksin pada masa akan datang.

 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization) telah mendefinisikan “imunisasi” sebagai proses seseorang itu dijadikan imun atau tahan penyakit berjangkit, biasanya melalui pengambilan vaksin.

 

Vaksin merangsang sistem imun badan sendiri untuk melindungi seseorang itu daripada jangkitan berikutnya atau sebarang jenis penyakit.

 

Vaksin mengandungi antigen, yang diperoleh dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan.

 

Antigen dalam vaksin berfungsi untuk meransang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.

 

Islam adalah agama yang menitikberatkan soal kesihatan dengan menggariskan beberapa prinsip asas dalam mendepani wabak COVID-19.

 

Antara prinsip asas tersebut ialah pencegahan penyakit sebelum menimpa manusia. Seterusnya ialah prinsip berikhtiar mencari ubat atau penawar dan mendapatkan rawatan yang bersesuaian dengan penyakit yang dihidapi.

 

Sesungguhnya setiap penyakit itu ada penawarnya yang dijadikan oleh Allah SWT: “Kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu). dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang yang berfikir” (Surah al-Nahl: 69).

 

PM

 

 

Seterusnya terdapat hadis Nabi SAW yang menganjurkan dan menyeru mencari penawar iaitu “Setiap penyakit itu ada penawarnya. Maka apabila penawar itu kena pada penyakitnya, nescaya ia akan sembuh dengan izin Allah” (Riwayat Muslim).

 

Dalam konteks ini, sebagai rakyat di Malaysia mestilah sentiasa bersedia untuk menerima arahan daripada pihak pemerintah selagi mana arahan tersebut tidak bertentangan dengan arahan Allah SWT yang dilakukan demi kemaslahatan umum.

 

Keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember 2020, telah membuat keputusan bahawa hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.

 

Hukum keharusan penggunaan vaksin COVID-19 ini juga adalah selari dengan fatwa-fatwa yang telah dikeluarkan oleh badan-badan fatwa yang berautoriti dan juga melalui kenyataan tokoh-tokoh ulama Islam di peringkat global.

 

Pengambilan suntikan vaksin COVID-19 pada ketika ini menjadi perkara yang sangat penting kepada masyarakat di Malaysia. Kepentingan yang paling utama adalah untuk melindungi diri terutama bagi golongan yang berisiko tinggi. Justeru, kebimbangan terhadap mudah untuk mendapat jangkitan dan juga boleh menyebabkan kehilangan nyawa dapat dielakkan.

 

PM

 

 

Sebenarnya, masyarakat perlu fahami dengan jelas bahawa sebelum sesuatu vaksin tersebut diluluskan untuk digunakan, ujian-ujian klinikal telah dijalankan untuk menentukan tahap keselamatan dan keberkesanannya. Jika terdapat kesan sampingan yang buruk dan mudarat, maka vaksin tersebut tidak akan diluluskan.

 

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan bertanggungjawab, marilah bersama-sama menyahut seruan pihak kerajaan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan  untuk mengawal dan mencegah wabak COVID-19 dari terus merebak dan mengancam nyawa manusia. - DagangNews.com

 

 

 

DR. AZRI BIN BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.