Jangan nafikan ‘rahmat’ sawit | DagangNews Skip to main content

Jangan nafikan ‘rahmat’ sawit

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

Jika disingkap kisah awal penerokaan ladang kelapa sawit di negara ini, mungkin ramai yang pernah mendengar, pekerja di ladang tanaman komoditi itu mampu menikmati hasil yang dikatakan ‘cukup’ pada suatu masa dahulu. 

 

Bukan hendak mengenang kesenangan masa lalu, cuma menerusi penanaman kelapa sawitlah, kerajaan ketika itu mampu membaiki taraf hidup mereka dengan sebidang tanah sekali gus ditugaskan untuk mengusahakan tanah tersebut bagi tujuan tanaman kelapa sawit. 

 

Perusahaan ini terus banyak dipergiatkan oleh institusi perladangan terbesar negara, Felda dalam menawarkan bantuan, latihan malah tanah untuk peneroka. 

 

Hendak disalahkan harga tandan kelapa sawit yang menurun pun tidak pasti, peneroka dan pekerja di ladang kelapa sawit sejak beberapa tahun yang lalu seolah-olah sukar untuk ‘mencari makan’.

 

Media ada melaporkan, harga satu tan kelapa sawit didakwa pernah mencecah hanya RM87. Ditolak upah pekerja selain komitmen masing-masing, apalah sangat yang tinggal?

 

Ini sehinggakan kerajaan perlu menyalurkan elaun sara hidup bulanan kepada mereka untuk menampung kehidupan harian, apatah lagi Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2021 untuk menaikkan kadar itu kepada RM300.

 

Tapi, jangan kita tidak hiraukan ‘rahmat’ sawit ini, kerana menerusi hasilnya - produk minyak sawit - Malaysia mampu mengurangkan jumlah kemiskinan di negara ini. 

 

Ini pernah diperakui sendiri oleh Ahli Parlimen Eropah yang memberi jolokan industri minyak sawit Malaysia sebagai ‘Jewel in The Crown’, mendatangkan hasil eksport yang tinggi memandangkan sawit merupakan penyumbang tanaman terbesar dalam industri minyak boleh dimakan negara.

 

Malah, di Indonesia, hasil minyak sawit itu telah mengubah nasib jutaan rakyatnya yang miskin dan menyumbang sehingga AS$5.13 bilion atau sekitar RM20.71 bilion untuk simpanan pertukaran wang asing pada tahun 2020.

 

Indonesia menyaksikan kira-kira 26.42 juta rakyatnya masih berada di bawah paras kemiskinan. 

 

Sawit

 

Sekitar 40% pemain industri minyak sawit Indonesia merupakan pekebun kecil, jadi wajarlah negara itu mempunyai potensi besar untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

 

Tidak mustahil untuk Malaysia melalui perjalanan yang sama, kerana negara ini juga merupakan antara pemegang syer pasaran minyak sawit terbesar dunia. 

 

Mungkin ada yang mengecapi situasi dan kesenangan sama ketika ini di Malaysia, maklumlah harga minyak sawit mentah bagi setiap tan metrik mencecah purata RM3,000 sekali gus ‘mengintai’ harga tertinggi sejak tahun 2011. 

 

Tambahan pula, China ‘menjanjikan’ untuk membeli 1.7 juta tan minyak sawit dari Malaysia dengan India baru-baru ini telah mengimport lebih 500,000 tan lagi. 

 

Baca : Eksport sawit 2020 dijangka melebihi RM70 bilion 

 

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOC), negara ketika ini memiliki 28% daripada pengeluaran minyak sawit dan 33% daripada eksport dunia. 

 

Jika turut mengambil kira pengeluaran minyak dan lemak di negara ini, Malaysia memegang 9.5% jumlah pengeluaran dunia dan 19.7% eksport bagi industri itu.

 

Minyak sawit

 

Menjadi salah sebuah pengeluar dan pengeksport minyak serta produk sawit, Malaysia memainkan peranan penting untuk memenuhi permintaan global. 

 

Letak tepi sebentar cabaran kempen anti minyak sawit yang dilancarkan Kesatuan Eropah (EU), pemain industri termasuklah pekebun kecil semestinya mempunyai sinar harapan besar untuk mengecapi kesenangan menerusi industri ini.

 

Mungkin ini tiba masanya untuk kita mengembalikan kegemilangan peneroka suatu ketika dahulu, menjadikan kerjaya ini mendatangkan pendapatan yang stabil dan lumayan. 

 

Baca : Sawit jadi punca rezeki 450,000 pekebun kecil 

 

Mungkin juga pengambilalihan FGV Holdings Berhad oleh Felda akan membuka lebih banyak pintu ‘rahmat’ buat golongan peneroka dan pekebun kecil. - DagangNews.com