Jual kepentingan Tesco Malaysia, untung Sime Darby melonjak | DagangNews Skip to main content

Jual kepentingan Tesco Malaysia, untung Sime Darby melonjak

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Penjualan 30% kepentingan dalam Tesco Malaysia dan prestasi mantap unit permotoran Sime Darby Berhad telah menyumbang kepada keuntungan bersih berjumlah RM272 juta. 

 

Ini menyaksikan Sime Darby merekodkan prestasi kewangan yang lebih baik pada suku kedua berakhir 31 Disember 2020. 

 

Pada suku berkenaan, kumpulan merekodkan untung bersih sebanyak RM633 juta, meningkat lebih 2 kali ganda berbanding tempoh sama 2019. 

 

Tidak termasuk keuntungan daripada jualan kepentingan dalam Tesco Malaysia, untung bersih kumpulan bagi suku tersebut adalah 28% lebih tinggi, yang disumbangkan menerusi unit permotoran.   

 

Keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) pula 88.6% lebih tinggi bagi tahun ke tahun pada RM843 juta manakala perolehan bagi tempoh berkenaan meningkat 10.1% kepada RM11.2 bilion. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, unit permotoran kumpulan mencatat prestasi yang cemerlang pada suku tersebut dengan keuntungan meningkat hampir 2 kali ganda terutama menerusi operasi di China. 

 

"Prestasi Motors Australia juga tidak mengecewakan selepas melaksanakan pemulihan rangkaian pengedaran di Sydney pada 2019. 

 

"Kami amat gembira kerana permintaan kereta mewah kekal kukuh dalam tempoh ini," katanya dalam kenyataan di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Selain itu, beliau memberitahu, kumpulan telah memuktamadkan penjualan kepentingan dalam Tesco Malaysia pada suku tersebut. 

 

"Ini juga termasuk penjualan pelabuhan sungai Jining bagi memenuhi komitmen kami untuk melupuskan aset bukan teras," jelasnya. 

 

Pada April lalu, Sime Darby menjual 30% kepentingan dalam Tesco Malaysia yang dipegangnya sejak 2001 bernilai RM300 juta.

 

Penjualan itu dicapai menerusi perjanjian bersyarat yang dimeterai antara SDB dan anak syarikat milik penuhnya, Sime Darby Allied Products Bhd dengan CP Retail Development Company Ltd, Tesco Holdings BV dan Tesco PLC.

 

Walaupun mempunyai kedudukan yang baik bagi memenuhi permintaan kenderaan mewah tetapi kumpulan masih mengambil langkah berhati-hati terhadap risiko pandemik COVID-19

 

Katanya, ini termasuklah permintaan yang perlahan bagi produk dan perkhidmatan bagi segmen perlombongan arang batu di Australia ekoran sekatan terhadap import arang batu oleh China.

 

"Dalam hal ini, kumpulan memastikan keselamatan dan kesejahteraan pekerja menjadi keutamaan dalam menghadapi pandemik ini dengan melaksanakan pelbagai inisiatif.

 

"Antaranya bekerja dari rumah, saringan COVID-19, disinfeksi secara berkala dan sokongan fizikal serta kesihatan mental," tambahnya. - DagangNews.com