Kes COVID-19 meningkat, bank turut terkesan | DagangNews Skip to main content

Kes COVID-19 meningkat, bank turut terkesan

Perintah kawalan pergerakan di negara ini kali pertama mula dilaksnakan 18 Mac lalu bagi mengekang peningkatan kes COVID-19.

ZUNAIDAH ZAINON
editor@dagangnews.com


KUALA LUMPUR 7 Okt. - Lonjakan kes baharu COVID-19 dengan rekod tertinggi semalam, mula mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat, sama ada perintah kawalan pergerakan (PKP) akan dilaksanakan semula bila-bila masa yang menyaksikan kadar pengangguran melepasi paras tertinggi dalam tempoh 30 tahun pada April.
 
Apatah lagi moratorium selama enam bulan yang diberikan kerajaan mulai April telah pun tamat 30 September lalu, bermakna peminjam perlu melunaskan bayaran semula pinjaman dengan bantuan disediakan pihak bank. 

Data BNM menunjukkan kira-kira 500,000 permohonan untuk bantuan bayaran balik pinjaman telah diterima dengan kadar kelulusan sebanyak 98% dan jumlah itu semakin meningkat.  

Menurut Kenanga Research, sebanyak 10 hingga 15 peratus daripada pinjaman memerlukan bantuan daripada pihak bank selepas tamat moratorium dengan CIMB Group Holdings Bhd. mempunyai sumbangan tertinggi sekitar 20 hingga 30 peratus. 

Firma penyelidikan itu juga mendapati sehingga pertengahan September, kadar pengambilan bantuan daripada bank juga lebih rendah berbanding dijangkakan sebelum ini, iaitu pada satu digit peratus pinjaman sahaja. 

Bagaimanapun, dengan kenaikan kes sejak akhir-akhir ini, ia akan menyaksikan permohonan bagi bantuan bayaran semula pinjaman meningkat mulai 1 Oktober ini, yang menyebabkan berlakunya lambakan pinjaman tidak berbayar. 

Berdasarkan data dalam nota kajian UOB Kay Hian, bank berasaskan runcit seperti Public Bank Bhd. dan Hong Leong Bank Bhd. menunjukkan kadar pengambilan moratorium yang rendah iaitu masing-masing 1% dan 4%. 

Sebaliknya, bank-bank korporat seperti CIMB, RHB Bank Bhd. dan Malayan Banking Bhd. (Maybank) menunjukkan kadar pengambilan yang lebih tinggi. 

Bagaimanapun, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid yakin sebarang langkah  selepas ini akan lebih bersifat bersasar dan bukan pukul rata yang boleh mendatangkan banyak masalah terutama dari sudut ekonomi. 

"Dalam hal ini, pihak bank bersama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) sentiasa bekerjasama dalam menghadapi situasi ini dengan lebih berorientasikan data. 

"Ini adalah bagi memastikan kedudukan kewangan institusi perbankan sentiasa terpelihara di samping dapat memberi bantuan kewangan yang bersifat bersasar," katannya kepada Dagangnews hari ini. 

Dari segi nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) pula, katanya, keadaan buat masa ini masih terkawal dengan pihak bank sentiasa memantau dan mengambil langkah proaktif supaya situasi itu dapat diurus dengan baik. 

Malah, pihak bank juga mengambil langkah terbuka untuk berbincang dengan pelanggan bagi meccapai kata sepakat dari segi penyelesaian kewangan. 

"Saya juga melihat terdapat kemungkinan kadar dasar semalaman (OPR) diturunkan kerana pandemik ini belum mencapai titik noktah. 

"Apa yang boleh dilakukan BNM adalah sentiasa bersiapsiaga dalam merencana pengurusan ekonomi dan salah satu ialah menurunkan OPR bagi mengurangkan kos pembiayaan," jelasnya. 

Jelas Kenanga Research, keuntungan bersih bank-bank pada 2020 akan menyusut 26% tahun ke tahun sebelum menunjukkan sedikit pemulihan pada 18%, tahun hadapan. 

Dalam laporan Moody's Investors Service yang dikeluarkan semalam, bank-bank di Asia Pasifik (APAC) tidak ketinggalan berdepan dengan penurunan pendapatan yang ketara sekiranya kes COVID-19 terus melonjak. 

Menurut agensi penarafan itu, pendapatan sebelum peruntukan dianggarkan menyusut antara 5 hingga 10% pada 2020 berbanding 2019 disebabkan pengurangan kadar faedah dalam kalangan negara ekonomi APAC dan penurunan keluk hasil. 

"Kami menjangkakan masalah NPL akan meningkat berkali ganda dalam kalangan 14 negara ekonomi APAC menjelang 2022 dengan bank di India dan Thailand akan menyaksikan peningkatan NPL paling tinggi disebabkan kejutan dalam ekonomi mereka dan prestasi beberapa jenis pinjaman yang tidak memberangsangkan," katanya. - Dagangnews.com