Malaysia ‘hilang’ RM40.57 juta ekuiti asing minggu lalu | DagangNews Skip to main content

Malaysia ‘hilang’ RM40.57 juta ekuiti asing minggu lalu

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Hanya pasaran ekuiti Malaysia dan Indonesia yang menyaksikan aliran keluar asing di pasaran sedang membangun ASEAN pada minggu lalu. 

 

Malah, Malaysia ‘hilang’ -RM40.57 juta pada tempoh sama dengan Isnin minggu lalu mencatatkan aliran keluar asing tertinggi iaitu -RM107.18 juta, menurut MIDF Research.

 

Jelas MIDF, pasaran ekuiti Malaysia menyaksikan aliran keluar asing bersih bagi separuh pertama pada minggu lalu diikuti oleh aliran masuk bersih bagi tempoh selebihnya. 

 

Namun, aliran masuk itu tidak mampu menampung momentum negatif yang dialami pasaran ekuiti tempatan, ujar MIDF. 

 

“Aliran keluar asing tertinggi dicatatkan pada Isnin dan aliran masuk terbesar pada Khamis iaitu hanya RM41.84 juta,” kata firma penyelidik itu.

 

Momentum itu berbeza dengan pelabur runcit di mana mereka merupakan pembeli bersih pada separuh pertama minggu lalu, namun beralih kepada penjual bersih pada hari-hari selebihnya. 

 

Bagaimanapun, aliran keluar pelabur runcit tidak menjejaskan momentum pembelian, tambah MIDF lanjut. 

 

Pembelian bersih terbesar dicatatkan pada Isnin lalu (RM123.09 juta) sementara aliran keluar terbesar adalah pada Khamis (-RM14.32 juta).

 

Pelabur runcit dan institusi tempatan masing-masing merupakan pembeli dan penjual bersih bernilai RM123.09 juta dan -RM15.91 juta pada minggu lalu. 

 

Pada dagangan selama empat hari itu, pelabur institusi tempatan menjadi penjual bersih setiap hari. 

 

“Rentak penjualan bersih ini berlanjutan bagi minggu kedua pada tahun ini. 

 

“Aliran keluar mingguan terkumpul bernilai -RM92.72 juta. Aliran keluar terbesar dicatatkan pada Rabu dan aliran keluar terendah pada Isnin iaitu -RM15.91 juta,” tambah MIDF.

 

Sejak awal tahun ini, pelabur runcit menjadi satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti Malaysia bernilai RM2.11 bilion, sementara pelabur institusi tempatan dan asing masing-masing menjual bersih ekuiti tempatan bernilai -RM1.35 bilion dan -RM0.76 bilion.

 

Dari segi penyertaan, pelabur runcit mencatatkan penurunan mingguan sehingga -10.05% dalam purata nilai dagangan harian (ADTV), manakala ADTV pelabur asing dan institusi tempatan masing-masing menyusut -38.19% dan -18.45%.

 

Pada minggu lalu, Genting Plantations Berhad, My E.G. Services Berhad dan Carlsberg Brewery Malaysia Berhad menyaksikan aliran masuk tertinggi dengan masing-masing bernilai RM1.67 juta, RM1.44 juta dan RM900,000.

 

Tiga syarikat yang menyaksikan aliran keluar tertinggi adalah Top Glove Corporation Berhad (-RM11.19 juta), Sime Darby Plantation Berhad ( –RM7.41 juta) dan Petronas Chemicals Group Berhad ( –RM7.25 juta). - DagangNews.com