MARA Corp laksana penyusunan semula perniagaan | DagangNews Skip to main content

MARA Corp laksana penyusunan semula perniagaan

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi cabang pelaburannya, MARA Corporation (MARA Corp) kini dalam proses penyusunan semula perniagaannya.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad, langkah itu membolehkan MARA Corp terlibat dalam perniagaan strategik lain bagi membantu mengukuhkan kekuatan ekonomi mereka. 

“MARA merupakan entiti besar, berpengalaman dan mempunyai staf terlatih. Firma ini telah menyediakan perkhidmatan dalam pendidikan, keusahawanan, pelaburan dan modal insan. 

 

Abdul Latiff Ahmad
Abdul Latiff Ahmad

 

“Tetapi bagi perniagaan, kami mempunyai MARA Corp dan kini, kami hanya ingin menyusun semula fokus perniagaan supaya MARA Corp boleh membina kekuatan ekonomi terutamanya dalam perniagaan strategik,” kata beliau seperti dilaporkan Bernama. 

Jelas beliau, MARA telah terlibat dalam bidang aeroangkasa iaitu salah satu perniagaan strategik yang belum diterokai oleh syarikat Bumiputera lain.

“Ini perlu dilakukan kerana kami tidak boleh masuk ke semua cabang perniagaan, walaupun ia memberi keuntungan.

“Jika ini bukan perniagaan strategik, maka kita perlu berikannya kepada syarikat Bumiputera lain. Sebab itu MARA tidak mempunyai syarikat dalam sektor pembinaan,” tambahnya. 

Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai rancangan MARA untuk memperluas perkhidmatan kenderaan bas MARA Liner, Abdul Latiff menyerahkannya di bawah hasrat kerajaan. 

“Ya, kami bersedia. Bagaimanapun, ia bergantung kepada kerajaan negeri kerana ia memerlukan kerjasama dengan mereka. 

“Tetapi, setakat ini, Sabah dan Sarawak mempunyai perkhidmatan bas mereka sendiri dan secara prinsipnya, kita juga tidak boleh bersaing dengan operator lain dalam sektor berkenaan kerana kita merupakan syarikat besar,” katanya. - DagangNews.com