Pemerkasa jadi 'tonik' KLCI, ringgit | DagangNews Skip to main content

Pemerkasa jadi 'tonik' KLCI, ringgit

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Mac - Dua faktor mendorong pasaran tempatan ditutup tinggi petang ini terutama keyakinan terhadap prospek pemulihan ekonomi susulan pengumuman Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) dan juga keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS). 

 

Pada mesyuarat itu, Rizab Persekutuan AS mengekalkan pendirian kadar faedah rendah sekurang-kurangnya sehingga 2023.

 

Pemerkasa yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam pula dilihat sebagai pemangkin ke arah mencapai usaha pemulihan ekonomi negara. 

 

Faktor ini memberi kekuatan kepada indeks utama FBM KLCI untuk mengakhiri dagangan pada 1,627.99 setelah menokok 3.02 mata.

 

Pasaran kewangan juga memberi reaksi yang positif petang ini setelah berakhirnya mesyuarat FOMC pada Rabu.

 

Ringgit ditutup pada RM4.1120/1160 berbanding dolar AS, lebih tinggi daripada penutupan semalam pada RM4.1190/1240. 

 

Malacca Securities dalam nota kajian yakin pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion itu yang turut melibatkan beberapa program seperti peningkatan pembiayaan mikro kredit dan pelanjutan subsidi upah, akan memperkukuhkan pemulihan ekonomi dan sentimen pasaran pada masa depan.

 

"Kami percaya bahawa pakej rangsangan ekonomi ini akan memberikan sinar kepada sektor bertemakan pemulihan seperti pelancongan, permainan, penerbangan, perbankan dan pengguna," katanya.

 

Selain itu, pelabur juga boleh menumpukan kepada kaunter utiliti berikutan kestabilan sektor itu. 

 

Peniaga pula mungkin  memberi fokus kepada sektor bertemakan penyusutan seperti hartanah dan pembinaan untuk mencari peluang dagangan, tambahnya.

 

Sementara itu, Kenanga Research menjangkakan ekonomi negara menjejaki landasan pemulihan bermula suku kedua 2021 disokong oleh langkah fiskal yang besar dan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat. 

 

Katanya, Pemerkasa akan terus menyokong pertumbuhan pemulihan dan mengelakkan kemerosotan ekonomi berlaku secara berterusan. 

 

Firma itu mengunjurkan ringgit akan berlegar pada RM3.95 berbanding dolar AS menjelang akhir 2021 memandangkan Pemerkasa hampir tidak memberi kesan ke atas mata wang tempatan. 

 

Mengenai pendirian Rizab Persekutuan AS, Kenanga berkata, tiada sebarang kejutan memandangkan badan dunia itu sebulat suara mengekalkan dasar monetarinya. 

 

"Kami juga mengulangi sekali lagi prospek dasar monetari Bank Negara Malaysia yang semakin hampir dengan pendirian dasar neutral terhadap pemulihan pertumbuhan dan kenaikan inflasi apabila memasuki separuh kedua 2021. 

 

"Pelancaran program vaksin yang lancar dan pengurangan kes baharu COVID-19 akan merangsang pertumbuhan ekonomi secara berterusan," katanya. 

 

Firma itu juga menjangkakan BNM akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75% tahun ini. 

 

Bagaimanapun, masih terdapat ruang untuk pengurangan OPR jika situasi pandemik berlaku sebaliknya dan menggugat momentum pemulihan dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com