Skip to main content
Kolum WAINUIOMATA - 10 June 2021

Bukan Michael Jackson tetapi Zain Bhikha nyanyi Give Thanks to Allah

 

 

 

UNTUK persembahan, Yusuf Islam menyuruh saya memperkenalkan Zain Bhikha kepada masyarakat Dubai. Persembahan akan diadakan di kompleks membeli-belah Al Ghurair dengan pentas diletakkan di tengah. Kompleks Al Ghurair antara terbesar pada waktu itu. Persembahan untuk dua malam.

 

Saya sempat bermesyuarat dengan pengurusan Al Ghurair yang dimiliki keluarga dengan nama yang sama, antara orang terkaya di Dubai. Saya dapat bermesra dengan keluarga yang baik dan merendah diri. Keluarga Al Ghurair menjadi rakan baik.

 

Zain Bhikha berasal dari Gujarati, India dan mengetuai sebuah syarikat farmaseutikal swasta terkemuka di Afrika Selatan, Be-Tabs, yang diasaskan oleh bapanya Rashid Bhikha hampir tiga dekad yang lalu.

 

Zain menggunakan masa lapang untuk merakam lagu-lagu syair Islam, dengan semangat tertentu untuk menyampaikan mesej kepada anak-anak.

 

Diilhamkan oleh Yusuf Islam terdapat melodi khas Amerika di dalam sebilangan nyanyian Zain. Tetapi Zain mengatakan ini lebih disebabkan populariti muzik Yusuf di pasaran antarabangsa.

 

"Pasaran terbesar saya adalah di AS, Britain, Malaysia, di mana mereka lebih menerima irama saya. Tetapi ia tidak dilakukan dengan sengaja. Seingat sayalah, saya selalu menyalin penyanyi moden dan menggunakan cara mereka menyanyi, " kata Zain.

 

Lirik yang diucapkan dalam lagu-lagu seperti "Oh Shaytaan, I'm Gonna Throw You Down" antara lain terdengar seperti dinyanyikan oleh penyanyi Gospel dari selatan Amerika Syarikat.

 

"Jenis nyanyian Blues sesuai dengan lirik yang saya fikirkan, dirancang untuk kanak-kanak, dan sebenarnya lagu itu paling popular dalam kalangan kanak-kanak," katanya lagi.

 

 

yusuf islam
Yusuf Islam

 

 

Walaupun kebanyakan penyanyi India Afrika Selatan yang lain menyanyikan lagu-lagu Islam untuk memuji Allah dan Nabi Muhammad serta dalam bahasa Inggeris, Zain lebih suka memilih lirik lagu-lagu India yang terkenal dan menyusun lagu-lagunya sendiri.

 

Sesuai dengan perbezaan pendapat dalam kalangan umat Islam, ada dua versi dari semua lagu di CD, satu dengan muzik dan satu tanpa muzik.

 

"Kerana perbezaan pendapat, beberapa negara tidak mengambil CD saya jika mereka tidak mempunyai sokongan instrumental, sementara di negara lain orang jauh lebih konservatif.

 

"Terlepas dari apa yang saya percayai secara peribadi, saya berusaha untuk merangkumi semaksimum mungkin agar semua orang dapat menikmatinya. Dalam kes ini, kami memasukkan kedua-dua versi pada CD yang sama untuk memudahkan logistik pengedar."

 

Tetapi sementara mentornya Yusuf Islam, kini lebih banyak menggunakan muzik dalam lagu-lagu Islamik, Zain belum bersedia memasukkan keseluruhan muzik. Zain hanya menggunakan beberapa alat perkusion seperti gendang untuk lagunya.

 

Bagi Zain, muziknya adalah karya cinta dan dia tidak berminat untuk menjadi penyanyi profesional walaupun banyak orang menganggapnya adalah pekerjaan sepenuh masa.

 

Segala keuntungan yang dihasilkan dari penjualan CD digunakan ke arah program memupuk bakat menyanyi, terutama lagu-lagu Islam dalam bahasa Zulu, menggunakan studio yang telah didirikan di kediaman Zain.

 

Pada tahun 1999, Zain diundang ke Britain untuk bergabung dengan Yusuf Islam di Mountain of Light Studios untuk merakam lagu, dan menambahkan vokalnya di dalam tujuh dari lapan lagu di dalam album tersebut. Tanpa latihan muzik formal, Bhikha memperoleh pengalaman berharga dari hubungannya dengan Yusuf Islam.

 

Banyak lagu yang Zain tulis telah diilhamkan secara langsung oleh ayat-ayat dari al-Quran, hadis tertentu dan kadang-kadang kata-kata yang dikongsi oleh seseorang yang bersama dengan Zain.

 

Pada tahun 2008, ada berita kononnya, Michael Jackson masuk Islam. Ketika dia meninggal dunia, banyak orang yang mencari jejak keislamannya. Termasuk dengan menyebut bahawa lagu Give Thanks to Allah merupakan lagu Islamiknya.

 

Di Youtube, lagu nasyid itu dengan mudah boleh ditemukan. Cukup dengan kata kunci Michael Jackson Give Thanks to Allah, keluarlah lagu itu disertai lirik. Di atas layar terdapat tulisan "Michael Jackson song islam DOWNLOAD" atau  "Michael Jackson - Give Thanks To Allah". Laman web penyedia lirik juga banyak yang menyebutnya sebagai lagu Michael.

 

 

Give Thanks To Allah zain bhikha
Video palsu kononnya Michael Jackson yang mendendangkan lagu nasyid.

 

 

Suaranya yang bening sungguh meyakinkan bahawa lagu itu memang dinyanyikan King of Pop itu. Banyak kaum Muslim yang terharu mendengarkan lagu nasyid itu di tengah kabar duka kematian penyanyi bersusia 50 tahun itu.

 

Di Malaysia dan Indonesia, lagu ini juga cukup popular, terutama dalam kalangan kaum Muslimin. Bahkan ada juga televisyen dan radio yang memutarnya dengan menyebutnya sebagai lagu `nasyid Michael'.

 

Potongan syair lagu ini adalah:

Give thanks to Allah,

for the moon and the stars

prays in all day full,

what is and what was

take hold of your iman

dont givin to shaitan

oh you who believe please give thanks to Allah.

 

Namun kebenaran akhirnya muncul, lagu itu bukan milik Michael. Penulis dan penyanyi lagu sederhana itu adalah Zain Bhikha.

 

 

Give Thanks To Allah zain bhikha
Penyanyi sebenar lagu Give Thanks To Allah ialah Zain Bhikha dari Afrika Selatan.

 

 

Zain bukannya tidak tahu lagu Give Thanks To Allah banyak disebut lagu milik Michael. Dari blognya, Zain menyebutkan bahawa dia banyak menerima telefon dan emel yang bertanya apakah benar Give Thanks to Allah dinyanyikan oleh Michael.

 

"Jadi untuk menjelaskan hal sebenar, Michael Jackson tidak pernah menyanyikan lagu ini. Saya yang menulis dan merakam Give Thanks to Allah sebagai lagu untuk anak-anak yang sederhana beberapa tahun lalu," tulisnya.

 

Sementara itu, Yusuf tiba-tiba dikunjungi oleh seorang wartawan wanita dari luar negara. Wartawan itu menghubungi saya bertanya khabar. Oleh kerana wartawan wanita itu baru tiba di Dubai, saya memberikan dia waktu untuk bertemu Yusuf.

 

Bila wartawan wanita itu tiba di rumah Yusuf untuk wawancara saya terkejut. Wartawan wanita itu sungguh muda dan cantik sekali.

 

Yusuf pada mulanya agak malas untuk di wawancara, terbangun dan tersenyum, terus menjemput masuk.

 

 “Itulah untung jadi penyanyi pujaan, bertemu gadis cantik menawan!,” katanya berbisik sambil ketawa meninggalkan saya terpaku terhadap kejelitaan wartawan itu. - DagangNews.com

 

Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

 

BACA JUGA WAINUIOMATA : Aktif gerakan reformasi 1999, TV3 buang kerja!!!

dan

 

 

 

 

 

Portfolio Tags