Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Volatiliti - 21 April 2021

Malaysia perlu mantapkan infrastruktur untuk tarik lagi FDI

 

 

GELOMBANG pandemik COVID-19 menjejaskan hampir keseluruhan ekonomi di dunia termasuk di Malaysia. Hal ini juga menjejaskan Pelaburan Langsung Asing (Foreign Direct Investment atau FDI).

 

FDI ini juga bermaksud pelaburan dari pelabur langsung asing (luar negeri) dalam syarikat di Malaysia. Syarikat asing ini  memiliki sekurang-kurangnya 10% pegangan ekuiti syarikat di Malaysia.

 

Ia meliputi pelaburan dalam bentuk instrumen kewangan yang terdiri daripada ekuiti dan dana pelaburan saham (termasuk perolehan dilabur semula) dan instrumen hutang seperti pinjaman antara syarikat, kredit perdagangan dan lain-lain.

 

FDI merupakan salah satu penunjuk penting dalam menilai prestasi ekonomi sesebuah negara. Ekonomi Malaysia telah mengalami peralihan dari aktiviti pertanian pada tahun 1970-an, seterusnya pembuatan pada tahun 1990-an dan kemudian, perkhidmatan pada tahun 2000-an.

 

LM350

 

Menyingkap sejarah FDI di Malaysia apabila Akta Intensif Pelaburan 1968 dan Akta Zon Perdagangan Bebas pada tahun 1971 telah diperkenalkan bagi menarik pelabur asing dengan penekanan kepada industri yang berorientasikan eksport.

 

Ini telah menyumbang kepada peningkatan pelaburan asing sejak penghujung dekad 1980-an. Seterusnya aliran FDI meningkat pada awal tahun 1990-an disebabkan syarat kelulusan ekuiti FDI dilonggarkan sebelum akhir 1990. Peningkatan ini adalah kesan daripada kelonggaran syarat pegangan ekuiti. Kelonggaran pegangan ekuiti di Malaysia dengan mengambil kira kebenaran untuk pegangan ekuiti 100%.

 

Menurut analisis yang dibuat oleh Yusnita Mohd Yusof, Timbalan Pengarah BPIP, Jabatan Perangkaan Malaysia yang menilai prestasi FDI di Malaysia bermula 2001 hingga 2019 yang mana arah aliran FDI didapati terus stabil sejak dari tahun 2001 hingga 2019.

 

Sumbangan FDI kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dari 0.6% pada tahun 2001 kepada 2.2%s pada tahun 2019. Trend aliran FDI didapati terus stabil sejak dari tahun 2001 hingga 2019.

 

Pada tahun 2001, aliran FDI mencatakan aliran masuk yang rendah dipengaruhi oleh kelembapan ekonomi global. Trend ini dilihat pada tahun 2009, aliran FDI mencatatkan aliran masuk lebih rendah turut dipengaruhi oleh krisis kewangan global.

 

Namun begitu aliran FDI mencapai paras yang tertinggi pada 2016 dengan nilai RM47.0 bilion, disumbangkan oleh sektor Perkhidmatan terutamanya dalam industri kewangan.

 

Pada tahun 2017 pula FDI Malaysia merekodkan aliran masuk bersih RM40.4 bilion dan kekal disumbangkan oleh sektor Perkhidmatan.  

 

Seterusnya pada 2018, trend aliran FDI berterusan merekodkan penurunan disumbangkan oleh pelaburan yang lebih rendah terutamanya dalam sektor minyak dan gas.

 

Scenario pada tahun 2019 pula melihat bagaimana sektor perkhidmatan kekal penyumbang kepada Aliran FDI pada 2019, terutamanya dalam aktiviti kesihatan.

 

LM350

 

Namun apa yang berlaku pada tahun 2020, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), FDI di Malaysia turun sebanyak 56% daripada RM31.7 bilion kepada RM13.9 bilion pada tahun 2020.

 

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai perdagangan dan pembangunan pula melaporkan, penurunan FDI Malaysia pada kadar 68% merupakan kadar yang terburuk.

 

Ekonomi negara pula menguncup sebanyak 5.6% ketika wabak COVID-19 melanda berbanding 7.4% ketika krisis ekonomi dunia 1998.

 

Ramai penganalisis ekonomi berpendapat bahawa ketidaktentuan politik negara dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan untuk tempoh lebih lama, dan terdapat sekatan yang lebih ketat berbanding (negara lain) di rantau ini  antara punca utama yang menyumbang kepada kejatuhan FDI tahun 2020.

 

Menurut Vishrut Rana, seorang ahli ekonomi di S&P Global Ratings kejatuhan FDi pada tahun 2020 ini bersifat sementara dan secara kitaran.

 

Beliau juga bersetuju dengan ramai penganalisis lain bahawa ketidaktentuan politik merupakan faktor penyumbang kepada situasi ini.

 

Perubahan kepimpinan kerajaan Malaysia pada tahun 2020 dan kelemahan dalam mengukuhkan fiskal Malaysia dalam pengurusan hutang kerajaan telah memberi kesan kepada pengurangan FDI di Malaysia.

 

Antara contoh yang menyebabkan pengurangkan FDI ini apabila kerajaan membatalkan projek infrastruktur utama seperti Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan sedikit sebanyak memberi kesan kepada presepsi FDI kepada Malaysia.

 

LM350

 

Sementara itu, Ahli Ekonomi, Diana del Rosario, dari Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN +3 bagi Malaysia,  juga menyatakan, kejatuhan FDI Malaysia harus diambil dalam konteks PKP yang dikenakan pada sebahagian besar suku kedua 2020.

 

Walaupun aktiviti perniagaan dikekang hebat oleh sekatan di seluruh negara dan impak sekatan perjalanan antarabangsa, FDI kekal pada tahap 1.1% daripada KDNK pada tiga suku pertama 2020. Ia turun daripada 2.5% bagi tempoh sama pada 2019, tetapi boleh dianggap sebagai hasil yang baik memandangkan ketidakpastian yang menebal yang mengaburkan unjuran pelabur global.

 

Kini, Malaysia berusaha memulihakan FDI negara bagi membantu pengembangan ekonomi dan pasaran saham di Malaysia. Ini sangat penting bagi negara.

 

Kajian yang dijalankan oleh Nor Hakimah Mohd Nor dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, mengkaji pasaran saham melalui dua dimensi iaitu tahap kecairan pasaran dan kecekapan harga di mana masing-masing diukur oleh nisbah jumlah perolehan diskala oleh turun naik pulangan dan kesegerakkan harga saham.

 

Dapatan kajian menunjukkan bahawa FDI dengan sendirinya adalah negatif dan signifikan dengan pertumbuhan ekonomi dan ini menunjukkan aliran masuk FDI yang lebih tinggi menyebabkan pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan  kualiti pembangunan pasaran saham adalah pra-syarat yang penting bagi FDI untuk mengeluarkan kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi. Atas sebab ini, kerajaan melalui pelbagai agensi akan mengukuhkan kembali FDI negara pada tahun 2021 ini.

 

Steven Cochrane, Ketua Ekonomi Asia Pasifik di Moody’s Analytics, Malaysia menyasarkan lebih banyak pendidikan teknikal dijuruskan kepada pendigitalan terutamanya kerana Malaysia tidak dapat bersaing dari segi gaji seperti negara seperti Vietnam dan Thailand.

 

Malaysia telah berusaha menarik lebih banyak pelabur China menerusi program “China Special Channel (CSC)”. Terbaru menunjukkan bahawa terdapat beberapa senarai projek pelaburan asing yang akan atau sedang dijalankan apabila sektor ekonomi mulai pulih dengan syarikat-syarikat dari China terus mencatatkan jumlah pelaburan asing paling tinggi.

 

mida

 

Sebagai contoh, syarikat dari China, Nine Dragon (ND) Paper mencatatkan jumlah pelaburan asing terbesar sebanyak RM5.4 bilion melalui pelaburan di Bentong, Pahang dan Banting, Selangor.

 

Namun begitu, Malaysia perlu memperluaskan jaringan ke negara Asia atau Asia Tenggara lain, bukan hanya memfokus kepada pelaburan China selain menambah Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP)  yang akan membantu melancarkan perdagangan dan pelaburan di seluruh rantau ASEAN.

 

Ini kerana  pada masa kini, banyak syarikat China lebih cenderung memilih Hong Kong atau Singapura kerana infrastrukturnya yang lebih mantap. 

 

Jika Malaysia tidak beralih fokus jaringan FDI, Malaysia berisiko ketinggalan dalam persaingan serantau bagi pelaburan asing dan menjejaskan peluang untuk menjadi negara berpendapatan tinggi berikutan isu dasar dan struktur lama.   – DagangNews.com

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KOLEKSI VOLATILITI

APAKAH HALAL MELABUR DALAM MATA WANG KRIPTO?

Pelaburan hartanah semasa pandemik COVID-19, ada untungkah?

BETULKAH PRIVATE MANDATE PELABURAN ‘HIGH CLASS’?

Perniagaan Perlu Manfaatkan Platform e-Dagang Hadapi Cabaran Pasca Pandemik

Kesan NPL ke atas Sistem Kewangan Malaysia

EMAS: PELABURAN, PERHIASAN ATAU PELINDUNG NILAI?

Landskap Industri Minyak & Gas, Petronas dan Masa Depan

Menafsir vaksin, perjanjian bilateral Malaysia-China, KDNK di bursa saham

Boss Top Glove dapat dividen RM490 juta

Pelaburan Derivatif Juga Satu Pilihan

Masih Ada Saham Yang Menguntungkan Dalam Ketidakstabilan Ekonomi

Kestabilan Monetari Bagi mengukuhkan Ringgit

PERMAI: suntikan fiskal bantu rakyat, rancakkan ekonomi

5 Strategi utama pulihkan negara pada 2021

Masihkah relevan January Effect ke atas pasaran saham

Menyusun semula ekuiti bumiputera dalam pelaburan institusi

Selamat tinggal kemeruapan dan ketidakpastian pasaran saham 2020

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags