Skip to main content

Membongkar legenda Dato Permaisuri Kemala di Miri, Sarawak

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

PADA 7 Oktober baru ini, terbaca berita Majlis Bandaraya Miri (MCC) di Sarawak akan meneruskan rancangan memulihara makam Dato Permaisuri yang terletak di Kampung Pujut, Tanjong Batu.

Datuk Bandar Adam Yii semasa melawat makam tersebut berkata, MCC akan menubuhkan pasukan petugas terdiri daripada wakil penduduk setempat, badan bukan kerajaan dan Jabatan Agama Islam Sarawak bagi merealisasikannya.

Difahamkan, cadangan mengindahkan makam lama itu sudah dikemukakan pada tahun 2004 tetapi atas sebab tertentu, ia tidak berjalan.

“Pada 2004, projek itu dianggarkan menelan kos RM5.7 juta dan ketika itu, Majlis Perbandaran Miri sibuk mempersiapkan diri untuk bertukar status sebagai bandar raya, maka hasrat itu tidak diteruskan.

“Bagi usaha terbaharu ini, MCC mahu menjadikan ia tapak bersejarah yang sekali gus boleh menarik minat pelawat dalam dan luar Sarawak mengunjunginya,’’ kata Yii.

Kawasan makam itu adalah seluas 2.84 hektar berdekatan Kampung Pujut Tanjong Batu dan boleh dikunjungi sama ada secara perahu selama 5 minit menyeberang atau jalan darat selama 15 minit pemanduan.
 

miri
Jarak Miri ke Kuching sama jauh Johor Bahru ke Alor Star. Miri adalah bersempadan dengan Brunei di utara Sarawak.

Berita ini pantas mengembalikan memori terhadap bandar minyak di utara Sarawak itu.  Secara peribadi, saya pernah beberapa kali mengunjungi keluarga kakak yang tinggal di Tanjong Lobang dan 1984 adalah tarikh istimewa kerana kami menyambut cucu sulung perempuan untuk ibu bapa saya.

Oleh kerana dibesarkan di Kuching, persekitaran di Miri adalah lain sama sekali kerana bandar raya ini dibina di pesisiran laut. Kuching dibina di sungai. Keindahan pesisir laut ini adalah dalam kelasnya yang tersendiri.

Jadi, memori ini membawa saya ke Tanjung Lobang hingga ke pantai Luak Bay yang merupakan destinasi saya merayap petang-petang, bersendirian atau bersama kawan-kawan baru.

Berendam di laut Luak Bay juga meninggalkan parut kekal pada kaki kiri setelah terlanggar kayu hanyut semasa ombak tinggi. Itulah kali terakhir berani mandi-manda sewaktu hendak ribut.
 

miri
KANAK-KANAK bermain di pantai Tanjong Lobang, Miri di Sarawak pada waktu senja.

Tidak lama tinggal di Miri bila cucu sulung itu dibawa emak ke Kuching untuk dijaga tetapi tempoh tiga, empat minggu berada di situ memadai untuk saya menjelajah seluruh pelusok Miri hingga ke Brunei bersama bapa ketika itu.

Dan waktu itu jugalah, saya pertama kali mendengar legenda Dato Permaisuri, yang saya sendiri agak hairan. Raja Sarawak ialah keluarga Brooke. Mana pula datangnya `Dato Permaisuri’? Namun namanya diabadikan pada jalan raya dan sekolah sehingga kini.

 

school
Sekolah Menengah Kerajaan Dato Permaisuri di Jalan Dato Permaisuri, Miri, Sarawak yang mengabadikan nama Dato Permaisuri.

Oleh kerana ia bersifat `legenda’, agak sulit hendak mengesan siapa sebenarnya Dato Permaisuri ini. Ini kerana jika diamati, `Dato Permaisuri’ hanyalah gelaran orang tempatan. Andai dikaji di dalam hikayat-hikayat purbakala, lazimnya nama seseorang itu ditulis secara khusus. Misalnya, Puteri Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumillah atau Puteri Hang Li Po.

Jadi siapa sebenarnya `Dato Permaisuri’? Usaha pencarian di internet hanya menemukan catatan di dalam laman Facebook Borneo Oracle. Ia menyebut nama `Dato Permaisuri Kemala’. Tetapi tiada dinyatakan sumber. Sekadar cerita. Tidak mengapa. Merrepak ini pun bukan laman sosiologi. Bacaan ringan-ringan sahaja. Jadi inilah ceritanya ya...

 

Mengikut legenda, Dato Permaisuri adalah Kerabat Diraja Kesultanan Brunei Darussalam.

“Al-sahibul hikayat diceritakan suatu waktu dahulu seorang puteri yang cantik jelita telah dikahwinkan oleh Raja Jarom dari Empayar Johor-Riau dengan seorang putera dari kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam.

“Sudah menjadi lumrah di dalam lingkungan kerajaan-kerajaan Melayu dahulukala untuk menyatupadukan kerajaan-kerajaan mereka dengan perkahwinan diraja. Dan puteri Dato Permaisuri Kemala nama diberi akur dengan kehendak ayahandanya.

“Diceritakan majlis perkahwinan diraja telah diadakan di Kerajaan Johor-Riau dengan penuh gilang-gemilang sesuai dengan status kedua-dua mempelai diraja.

“Setelah seketika di Kerajaan Johor akhirnya suami Dato Permaisuri Kemala memohon restu dari ayahanda mertuanya untuk pulang ke Negaranya iaitu Negara Brunei.

“Setelah segala persediaan diatur akhirnya tibalah masa untuk Dato Permaisuri Kemala meninggalkan tanahairnya mengikut suaminya ke bumi yang asing baginya. Pada mulanya pelayaran pulang mereka melalui pelayaran yang baik dengan cuaca serta keadaan laut yang tenang sehinggalah mereka tiba di suatu tanjung yang luas.

“Pada ketika itulah lautan bergelora dengan ribut taufan sehingga menyebabkan bahtera mereka karam. Si suami harus membuat pilihan kerana beliau hanya mampu untuk menyelamatkan seorang sahaja iaitu isterinya atau ibu kandungnya.

“Kerana sayang serta hormatnya kepada ibu kandungnya yang melahirkan beliau maka si suami telah memilih ibunya untuk diselamatkan.

“Dato Permaisuri Kemala pula tidak mampu berbuat apa-apa melainkan menyerahkan dirinya kepada Tuhan untuk menentukan hidup atau matinya di  lautan yang ganas pada masa itu.

“Dengan izin Tuhan, Dato Permaisuri Kemala yang tercampak ke laut, telah terdampar di satu pantai yang cantik di Miri, Sarawak. Baginda diselamatkan oleh masyarakat tempatan Miri pada masa itu dan diubati sehingga beliau pulih seperti sedia kala.

“Apa yang menariknya mengenai Dato Permaisuri Kemala di mata penduduk tempatan Miri pada masa itulah adalah sikapnya yang berbudi bahasa, lemah lembut tutur katanya dan juga taatnya pada agamanya iaitu Islam.

“Pada ketika itu juga dikatakan penduduk tempatan Miri baru sahaja menerima kedatangan Islam sebagai agama di Miri maka kedatangan individu seperti Dato Permaisuri Kemala begitu amat dihormati.

“Mengikut sejarahnya suatu ketika dahulu Empayar Johor-Riau bukanlah calang-calang kerajaan Melayu kerana disebalik kekuatan dan luasnya empayar mereka, ia juga merupakan antara kerajaan Islam yang gah namanya di dalam perkembangan Islam di nusantara.
 

joho

“Dan tidaklah menghairankan sekiranya puteri dari Kerajaan Empayar Johor-Riau juga amat kuat pegangan agamanya.

“Dengan usaha beliaulah dikatakan perkembangan Islam di Miri amat kuat sekali sehingga kehebatan Dato Permaisuri Kemala sebagai individu yang memperkembangkan syiar Islam dengan kedatangan pendakwah-pendakwah di Miri sampai ke pendengaran Kerajaan Brunei.

“Hendak dijadikan cerita, si suami yang terselamat dari karam bersama ibunya, menyangka isterinya itu sudah maut ditelan ombak. Bila dikhabarkan bahawa isterinya masih hidup, si suami bertolak ke Miri untuk membawa pulang isterinya ke negaranya.

“Kedatangan si suami disambut dengan baik oleh Dato Permaisuri Kemala walaupun hakikatnya terselit kecewa dihati apabila mengenang pilihan suaminya ketika mereka di dalam kepayahan dahulu.

“Si suami memujuk Dato Permaisuri untuk pulang ke pangkuannya kerana di manakah lagi tempat yang lebih baik untuk si isteri selain di sisi suaminya.

“Namun seperti kata bidalan hati wanita selembut sutera namun sekali hati mereka tercalar sepanjang hayat mereka mengenanginya di dalam diam. Itulah yang berlaku kepada Dato Permaisuri Kemala apabila baginda membuat keputusan untuk terus menetap di Miri.

“Keputusan sang isteri telah mengecewakan sang suami yang akhirnya akur kehendak isterinya. Si suami dan rombongan pulang ke Brunei kehampaan.

“Sejak dari itu diceritakan bahawa Dato Permaisuri meneruskan kehidupannya di Miri dan terus mengabadikan dirinya untuk mengembangkan syiar Islam di Miri sehinggalah baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir.

“Inilah legenda Dato Permaisuri seperti yang diceritakan secara verbal oleh orang tua-tua dari satu generasi ke generasi yang lain di Miri.

 

Ada cara hendak cari siapa sebenar-benarnya Dato Permaisuri Kemala. Tetapi seperti saya sebut awal tadi, kajian kena dibuat oleh orang yang ahli dalam bidang berkaitan. Atau dibiarkan sahaja seperti legenda Hang Tuah bersaudara? Kuburnya ada, ceritanya ada tetapi benda-benda berkaitan untuk mengaitkannya dengan bukti bertulis, tidak ada. Tetapi aspek misteri inilah yang menjadikannya legenda, bukan?
 

marina
Marina ParkCity yang menghadap laut di Miri, Sarawak. 

 

Pembaca budiman, selepas usai pandemik dan ada vaksin COVID-19 kelak, silalah datang melawat bandar raya Miri yang memiliki tarikan pantai yang indah-indah, sejarah penerokaan minyak pertama di Malaysia dan pelbagai lagi termasuk menziarah makam legenda Dato Permaisuri Kemala ini. – DagangNews.com

 

Merrepak adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu Obladi Oblada oleh The Beatles berulang-ulang kali. Merrepak kini adalah ruangan tetap di dalam portal berita DagangNews.com.  Sebarang cadangan topik untuk bahan Merrepak, sila emel johardy@dagangnews.com