Kemahiran kecerdasan emosi bagi ibu bapa anak autisme | DagangNews Skip to main content

Kemahiran kecerdasan emosi bagi ibu bapa anak autisme

Oleh Syahrina Hayati Md. Jani dan Ainul Huda Mohamad Pesal

KECELARUAN Spektrum Autisme (ASD) atau autisme merupakan salah satu keadaan yang melibatkan gangguan terhadap perkembangan neurologikal pada individu autisme.

 

Keadaan ini memberi kesan terhadap kemahiran sosial, tingkah laku, dan komunikasi mereka. Ibu bapa yang dikurniakan anak autisme khususnya, perlu mengharungi pelbagai  cabaran yang menguji ketabahan, dan kesabaran. 

 

Antara perkara utama dan cabaran yang akan dihadapi oleh ibu bapa berkait rapat dengan masalah tingkah laku anak.

 

Kesedaran dan pengetahuan yang masih rendah berkenaan autisme dalam kalangan masyarakat, pusat terapi yang terhad terutama di kawasan luar bandar, dan kekurangan pengamal perubatan yang berkelayakan merupakan cabaran yang perlu kita sedari.

 

Dalam usaha memberikan keperluan yang terbaik untuk anak mereka, ibu bapa berhadapan dengan isu ketidakstabilan kewangan. Ini disebabkan oleh kos rawatan, terapi dan perubatan yang memerlukan perbelanjaan yang sangat tinggi.

 

Tambahan pula ada di antara anak autisme yang berkefungsian rendah memerlukan alat sokongan khas bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan harian dengan selesa. 

 

Keperluan sebegini sudah pasti menuntut pengorbanan yang tinggi daripada ibu bapa untuk memperuntukan sejumlah perbelanjaan yang besar bagi memastikan kelangsungan hidup anak syurga mereka. 


 

parafrasa

 


Menurut kajian, ibu bapa anak autisme menampung tiga kali ganda perbelanjaan berbanding membesarkan dan mengasuh anak-anak yang normal.

 

Penjagaan dan pengendalian anak autisme ini merupakan suatu pengalaman yang amat mencabar dan memerlukan kesabaran yang tinggi daripada ibu bapa.  

 

Terdapat sebilangan ibu bapa yang mempunyai lebih daripada seorang anak autisme memerlukan lebih banyak kekuatan fizikal, mental dan emosi. 

 

Kajian lepas menyatakan bahawa para ibu yang mempunyai anak autisme akan berasa letih dari segi mental, fizikal, dan emosi.

 

Justeru itu, ibu bapa yang mempunyai anak autisme terdedah dengan tekanan yang tinggi berbanding ibu bapa yang mempunyai anak normal. 

 

Apabila mereka terdedah dengan tekanan yang berterusan, akibatnya boleh menyebabkan kemurungan sekaligus menjejaskan kesejahteraan dalam sesebuah keluarga.

 

Kesannya, apabila tekanan tidak dikawal dengan baik ianya akan turut mengganggu emosi anak.

 

Emosi ibu bapa yang tidak dikendalikan dengan baik menyebabkan anak mempunyai keyakinan diri yang rendah lantas mereka cenderung mengasingkan diri daripada rakan-rakan mahupun masyarakat setempat. 


 

parafrasa

 


Seharusnya, ibu bapa perlu bersikap tenang untuk memastikan seluruh ahli keluarga mampu berhadapan dengan keadaan ini dan menyesuaikan diri dalam kebiasaan kehidupan yang baharu. 

 

Tambahan pula, keadaan yang lebih tenang dan terkawal dapat diwujudkan apabila ibu bapa mempunyai kemahiran kecerdasan emosi yang baik.  

 

Kecerdasan emosi merupakan kemahiran yang penting dalam mewujudkan persekitaran yang harmoni dalam sesebuah institusi keluarga, dan menggalakkan interaksi yang berkesan dengan anak.

   

Kecerdasan emosi bermaksud kebolehan individu untuk mengenali perasaan sendiri dan perasaan orang lain serta dapat mengenal pasti perbezaan antara perasaan-perasaan tersebut. 

 

Oleh itu, individu yang mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi mempunyai kebolehan mengawal emosi, menguruskan emosi yang positif untuk merangsang pemikiran, dan memahami emosi untuk mengawal tingkah laku dan tindakan. 

 

Emosi ibu bapa dan persekitaran sama ada positif atau negatif akan memberi kesan yang mendalam pada jiwa anak.  Ini kerana anak-anak belajar mengendalikan emosi melalui pemerhatian mereka terhadap individu di sekeliling mereka. 

 

Mereka meniru tingkah laku dan emosi yang dipamerkan oleh insan yang paling hampir dengan mereka iaitu ibu bapa. 


 

autism

 


Secara dasarnya anak-anak akan terpengaruh dengan perbuatan ibu bapa, dan segala tindakan anak-anak pula adalah hasil pemerhatian mereka terhadap perilaku ibu bapa mereka sendiri. 

 

Jelas di sini, perilaku anak-anak bukan berlaku secara tiba-tiba tetapi ia melalui proses yang panjang. 

 

Agama Islam menggalakkan penganutnya untuk menjadi individu yang cerdas emosi dengan membuat perubahan pada minda dan tingkah laku berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. 

 

Kepentingan memelihara dan mengurus emosi dalam al-Quran diperkukuh dengan hadith Rasulullah S.A.W yang bermaksud;  “... di antara kalian yang paling mengenal Tuhannya adalah yang paling mengenal dirinya” (Riwayat Bukhari dan Muslim). 

 

Menurut hadith yang lain pula;  “Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada dan iringilah kejahatan dengan mengerjakan kebaikan dan berperangailah kepada manusia dengan perangai yang bagus” (Riwayat Al-Tirmizi). 

 

Berdasarkan hadith ini, adalah penting bagi individu menjaga hubungan dengan Allah dan sesama manusia. 

 

Kepentingan pengurusan akhlak sesama manusia dalam hadith tersebut juga mempunyai kaitan yang kukuh dengan konsep kecerdasan emosi. 

 

Di dalam al-Quran telah terbukti ayat-ayat yang menggalakkan kecerdasan emosi untuk panduan umatnya seperti Allah melarang umat Islam daripada berputus asa dengan rahmatNya, tidak mempersekutukan Allah, dan larangan membunuh diri. 

 

Selain itu, Allah S.W.T juga mengasihi hambaNya yang menyayangi sesama manusia, bersifat belas kasihan, empati, sentiasa bersyukur, berbuat baik kepada ibu bapa, konsisten berbuat kebaikan, bersikap merendah diri, menghormati orang lain, bersabar dengan ujian yang menimpa, dan mengajak orang lain melakukan kebaikan dan mencegah kejahatan. 

 

Oleh itu, penting untuk ibu bapa yang mempunyai anak autisme memupuk dan menyuburkan ketenangan dalam diri sendiri untuk memastikan mereka berjaya apabila berhadapan dengan sesuatu perkara sama ada ia berbentuk kesenangan mahupun kesusahan, kelapangan atau kesempitan, kegembiraan atau kesedihan, dan pelbagai lagi bentuk ujian daripada Allah S.W.T.    


 

parafrasa

 


Kecerdasan emosi adalah proses kemahiran yang berterusan, ianya boleh dipelajari, dipertingkatkan dan dilatih.  Maka, amat penting bagi ibu bapa mempelajari dan menguasai pengetahuan dan kemahiran kecerdasan emosi untuk mengendalikan dan menjaga anak autisme dengan baik. 

 

Apabila ibu bapa mempunyai pengetahuan dan kemahiran kecerdasan emosi yang baik, mereka dapat mewujudkan komunikasi dan rasa tenteram pada anak.  Inilah yang akan membantu ibu bapa untuk terus kekal tenang selama membesarkan anaknya. 

 

Hakikatnya, anak yang mengidap autisme tidak boleh disembuhkan kerana autisme bukan suatu penyakit.  Punca autisme juga masih belum diketahui sehingga sekarang. 

 

Namun begitu, gejala yang ada boleh dikurangkan melalui rawatan multidisiplin atau terapi yang melibatkan pakar daripada pelbagai bidang secara konsisten sepanjang hayat anak autisme. 

 

Persekitaran dan hubungan yang baik dalam sesebuah institusi keluarga itu dikaitkan dengan kecerdasan emosi yang ada pada setiap ahli keluarganya. 

 

Justeru itu, setiap ahli keluarga yang memiliki kecerdasan emosi akan mempunyai potensi untuk lebih berjaya dalam segenap perkara yang diusahakan. 


 

parafrasa

 


Sentiasalah istiqamah dalam perkara kebaikan, ikhlas melakukan segala perintah Allah, syukur atas segala nikmat, dan redha menghadapi segala ujian daripada Allah untuk terus tabah dalam kehidupan.

 

Kunci utama adalah hargai dan sayangi diri sendiri dahulu. Yakinlah bahawa segala yang telah diatur oleh Allah S.W.T adalah yang terbaik untuk hamba-hambaNya.  - DagangNews.com

 

 

SYAHRINA HAYATI MD. JANI adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Melaka

AINUL HUDA MOHAMAD PESAL adalah Guru Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Serom 8, Tangkak, Johor Darul Takzim

 

dagangnews