Bagaimana harta boleh kekalkan silaturahim bergenerasi lamanya | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 19 Apr 2021 07:30 AM
WasiyyahShoppe

BAGAIMANA HARTA BOLEH KEKALKAN SILATURAHIM BERGENERASI LAMANYA

 

INI topik menarik yang kerap ditanya kepada saya semenjak 8 tahun kebelakangan ini. Ramai ibu bapa yang bimbang hubungan anak-anak mereka akan terjejas selepas kematian mereka. Terjejas ini bukanlah kerana mereka berbalah tentang harta pusaka sebaliknya lebih kepada faktor  kesibukan masing-masing.  

 

Selagi ibu bapa masih hidup, anak-anak mempunyai sebab kukuh untuk balik ke rumah bagi menziarah mereka atau memenuhi permintaan ibu bapa untuk balik bagi menghadiri majlis seperti hari jadi, tahlil, doa selamat atau bersolat bersama.

 

Namun  selepas kematian ibu bapa, tiada sebab kukuh lagi untuk anak-anak bertemu dan berkumpul. Mungkin ada seorang atau dua orang yang masih menjaga silaturahim ini dan bersungguh-sungguh ingin semua adik-beradik kekal berhubung dan bertemu, tetapi majoritinya akan memilih untuk menjalani kehidupan sendiri. 

 

Kebimbangan ibu bapa ini memang ada asasnya. Maklumlah dengan hambatan kehidupan hari ini, anak-anak yang telah bekerjaya dan bekeluarga akan sentiasa sibuk dengan agenda tersendiri. Mereka bukan sahaja tiada masa untuk bersilaturahim dengan adik beradik, malah kadang-kadang dengan hubungan dengan pasangan dan anak-anak pun kadang-kadang tidak terjaga.

 

Jadi ramai ibu bapa tertanya-tanya adakah harta yang mereka miliki hari ini boleh digunakan sebagai ‘jambatan’ untuk menyambung silaturahim anak-anak selepas kematian mereka?

 

Mereka telah bertungkus-lumus puluhan tahun mengumpulkan harta. Jadi mereka mahukan harta itu menyumbang kepada pengukuhan silaturrahim anak-anak dan bukan sebaliknya.  Jawapan kepada soalan ini  ialah “pasti boleh”.

 

Kebiasaannya kita mempunyai dua jenis harta iaitu harta alih (wang tunai, saham syarikat, saham koperasi, pelaburan di ASNB dan sebagainya) dan juga harta tidak alih (hartanah). Bagi harta alih, ia agak mudah diagihkan (kecuali bagi saham syarikat kerana memerlukan pengurusan yang berbeza).

 

WasiyyahShoppe

 

Semua waris menerima bahagian masing-masing mengikut hukum faraid atau permuafakatan. Ia menjadi milik mutlak waris dan mereka bebas nak berbuat apapun dengan tunai itu tanpa merujuk kepada waris-waris yang lain. Nak habiskan duit itu untuk membeli-belah, membeli emas, pergi bercuti atau apa sahaja kehendak pun boleh. Ia tidak melibatkan kesemua waris-waris lagi.

 

Tetapi bagi harta tak alih pula, situasinya berbeza. Tanah yang dikongsi bersama contohnya tanah milik simati yang kini sudah diturun milik kepada beberapa orang waris, apa sahaja yang ingin dibuat oleh salah seorang waris seperti dia ingin menjual, memajak atau membangunkan tanah itu, dia terikat kepada waris-waris lain dan permuafakatan perlu dicapai.

 

Ini kerana semua waris yang namanya tercatat di dalam hak milik yang baru adalah tuan punya tanah tersebut mengikut bahagiannya masing-masing. Jadi dalam keadaan ini, waris-waris tetap perlu bersemuka untuk berbincang.

 

Bezanya ada perbincangan yang boleh berjalan dengan harmoni dan waris bermuafakat tetapi ada juga perbincangan yang berjalan dengan tegang dan penuh dengan emosi. Kenapa ia jadi begitu? Kerana waris berkenaan ada haknya sendiri dan hak ini biasanya akan dipertahankan mengikut kepentingan sendiri.

 

Jadi bagaimana ibu bapa ingin memastikan harta yang ditinggalkan boleh  menjadi pengukuh kepada hubungan anak-anak selepas kematian mereka? Bagaimana pula mereka mahu memastikan harta itu diuruskan mengikut formula yang mereka telah kehendaki? Wasiyyah Shoppe Berhad semenjak 5 tahun lepas telah membantu orang Islam dalam konteks ini melalui perkhidmatan kami yang dinamakan sebagai ‘Al-Mutahabbah’ ( saling berkasih sayang ).

 

Kami faham ada ibu bapa di luar sana yang tidak mahu anak-anaknya menerima kesemua harta pusaka mereka secara total. Mereka inginkan anak-anak menerima harta pada kadar tertentu sekadar cukup untuk menampung kelangsungan kehidupan mereka sahaja.

 

 

Lebihan harta mereka mahu ia dilaburkan, diuruskan secara profesional dan manfaatnya dinikmati oleh generasi akan datang bagi menampung keperluan kebajikan, kesihatan, pendidikan dan apa-apa keperluan lain yang munasabah.

 

Ibu bapa sebegini biasanya mempunyai visi dan hasrat agar harta mereka bertahan lama, berkembang dan dalam masa yang sama menjadi asbab kepada anak-anak mereka saling berkasih sayang dan bersilaturrahim. Ramai juga yang mahukan supaya hasil harta itu digunakan untuk tujuan amal jariah yang berpanjangan di atas nama mereka walaupun mereka telah lama meninggal dunia.

 

WasiyyahShoppe

 

Al-Mutahabbah dibangunkan Wasiyyah Shoppe Berhad khas bagi memenuhi keperluan ini. Ibu bapa boleh memilih supaya hanya harta tertentu pada kadar tertentu sahaja yang akan diterima terus oleh anak-anak.

 

Harta-harta yang lain boleh disatukan dan diuruskan secara bersama oleh sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh anak-anak mereka atau mana-mana pihak yang mereka percayai (tidak semestinya anak).

 

Ibu bapa boleh menetapkan mengikut formula khusus bagaimanakah harta-harta  itu perlu diurus, dilabur dan kemudiannya manfaat diagihkan kepada mana-mana pihak yang dikehendaki ibu bapa. Selain anak-anak dan nasab keturunannya, manfaat dari harta ini juga boleh disalurkan untuk tujuan apa sekalipun asalkan ia tidak bercanggah dengan hukum syarak.

 

Wasiyyah Shoppe Berhad yang mempunyai kuasa khusus seperti yang diperuntukkan di dalam Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100) boleh dilantik oleh ibu bapa itu sebagai pihak profesional yang akan membantu memastikan anak-anak yang diberikan tanggungjawab akan menguruskan harta itu secara tepat seperti mengikut kehendak ibu bapa.

 

Semenjak Al-Mutahabbah diperkenalkan, lebih dari 30 keluarga telah merancang harta mengikut kaedah ini. Anak-anak secara tidak langsung akan kerap bertemu dan berbincang selepas kematian ibu bapa kerana di bahu mereka terletak tanggungjawab bersama untuk menjalankan amanah yang ditinggalkan.

 

Inilah kaedah unik yang diperkenalkan Wasiyyah Shoppe Berhad bagi membantu umat Islam Malaysia mencapai hasrat harta menjadi asbab pengukuhan silaturrahim dalam kalangan anak-anak dan nasab keturunan mereka.      

 

Tetapi jangan salah faham ya. Faraid tetap berjalan bagi ibu bapa yang menggunakan kaedah Al-Mutahabbah ini. Di sinilah kelebihan Wasiyyah Shoppe Berhad. Kami boleh menyusun harta itu supaya ia memenuhi keperluan ibu bapa dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan hukum faraid. Nak tahu lebih lanjut? Layarilah laman web kami di http://wasiyyahshoppe.com.my.   

 

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah pengasas & CEO Wasiyyah Shoppe Berhad

 

ariffinsabirin

 

KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH