PERINGATAN UNTUK IBU BAPA YANG ADA ANAK ANGKAT
BERITA Allahyarham Adik Amir menggemparkan Malaysia dan menyayat hati kita semua. Semoga Allah merahmati roh anak kecil yang tidak berdosa itu. Al Fatihah (dibaca). Kerana kes ini juga, saya teringat ada banyak persoalan yang dikemukakan kepada saya berkaitan dengan pemberian harta kepada anak angkat.
Antara sebab kepada pewarisan ialah nasab keturunan iaitu pihak yang berhak menerima harta pusaka simati mestilah pihak yang mempunyai nasib keturunan kepada simati sama ada anak kandung, cucu kandung atau cicit kandung. Bagi anak angkat, sekiranya ibu bapa angkatnya meninggal dunia, anak angkat itu tidak berhak langsung ke atas harta pusaka simati.
Ramai pihak yang terkeliru apabila berpandangan anak angkat yang disusukan oleh ibu angkatnya akan mewarisi harta pusaka. Anak angkat yang menjadi anak susuan ini sebenarnya hanyalah dianggap sebagai mahram kepada keluarga angkatnya namun dia tidak dianggap sebagai nasab keturunan dan dengan itu tidak berhak ke atas harta pusaka ibubapa angkatnya.
Ramai pasangan yang mengambil anak angkat saya temui sepanjang 23 tahun pengalaman saya di dalam industri perancangan harta secara syariah. Mereka ini biasanya direzekikan Allah SWT dengan harta benda yang banyak namun tidak dikurniakan zuriat keturunan. Oleh itu mereka mengambil anak angkat. Anak angkat ini dipelihara dan dididik dengan penuh kasih sayang. Ibu bapa angkat ini tentunya mahu memastikan anak angkatnya mendapat sebahagian dari harta mereka.
Apa yang boleh dibuat oleh ibu bapa angkat bagi tujuan memberi harta kepada anak angkat ini? Mereka bolehlah membuat wasiat namun pemberian wasiat kepada anak angkat ini hanyalah pada kadar maksimum 1/3 sahaja. Sekiranya wasiat diberikan lebih dari kadar itu maka lebihan itu perlulah mendapat kebenaran dari waris faraid.
Sekiranya waris faraid tidak bersetuju dengan lebihan itu diberikan kepada anak angkat, maka hanya kadar 1/3 itu sahaja yang boleh disahkan. Kelebihan wasiat ialah ia terlaksana selepas kematian. Ini bermakna pada bila-bila masa selagi ibu bapa angkat itu masih hidup, wasiat itu boleh dibatalkan atau diubah.
Sekiranya ibu bapa angkat mahu memberi harta kepada anak angkatnya tetapi tidak mahu terikat dengan kadar 1/3 itu, mereka boleh memberikan hibah. Tidak seperti wasiat, hibah tidak tertakluk dengan apa-apa formula pembahagian.
Ibu bapa angkat bebas memberikan berapa banyak pun hartanya kepada anak angkat dan sekiranya rukun dan syarat hibah itu terlaksana semasa hidup, maka hibah itu sah walaupun tidak dipersetujui oleh waris faraid. Walaupun begitu Mahkamah Syariahlah yang mempunyai bidang kuasa untuk mengesahkan hibah itu sekiranya dipertikaikan.
Cuma ibu bapa angkat yang memberi hibah kepada anak angkat hendaklah tahu bahawa oleh kerana hibah itu terlaksana semasa hidup, ia sudah menjadi milik sah anak angkat sebaik sahaja semua rukun dan syarat terlaksana.
Hukum menetapkan bahawa hanya hibah yang diberikan kepada anak kandung, cucu kandung dan cicit kandung sahaja yang boleh ditarik balik pada bila-bila masa tanpa kebenaran mereka. Hibah yang diberikan kepada anak angkat jika ingin ditarik balik perlu mendapat keizinan dari mereka.
Bagaimana pula jika anak angkat itu masih dibawah umur 18 tahun dan ibu bapa angkatnya meninggal dunia? Siapakah yang akan menjadi penjaga harta kepada anak angkat bawah umur itu? Ini satu lagi persoalan yang mesti difikir secara serius oleh ibu bapa angkat.
Bagi memudahkan semua urusan, saya sangat menggalakkan bapa angkat mendapatkan siil pengangkatan dari Jabatan Pendaftaran Negara bagi mengesahkan bahawa anak angkat itu diangkatnya secara rasmi dan berdaftar. Secara automatik, sijil pengangkatan ini mengesahkan bahawa bapa angkat itu mempunyai hak dan kausa sebagai penjaga sah anak ini.
Bapa angkat ini kemudiannya boleh menghibahkan hartanya kepada anak angkat di bawah umur dan melantik seorang penjaga harta melalui wasiatnya. Bapa angkat itu boleh melantik isterinya atau sesiapa pun yang dipercayainya sebagai penjaga harta. Ini peruntukan di dalam seksyen 80 Akta Undang-undang Islam Wilayah Persekutuan dan peruntukan sama ada di dalam Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam negeri-negeri.
Malangnya dalam pemerhatian saya, ramai ibu bapa angkat tidak mempunyai sijil pengangkatan ini. Mereka merasakan tindakan mereka memelihara dan membesarkan anak angkat itu sudah mencukupi untuk melengkapkan status mereka sebagai ibu bapa angkat.
Situasi akan menjadi rumit kerana sekiranya bapa angkat ini yang telah menghibah atau mewasiatkan hartanya kepada anak angkat meninggal dunia sebelum anak itu berusia 18 tahun, maka penjaga harta yang sah kepada anak angkat itu ialah bapa kandung atau datuk kandungnya seperti yang diperuntukkan Akta dan Enakmen yang saya sebut di atas.
Situasi ini tentunya kompleks dan mendedahkan risiko harta yang dihibah atau diwasiat itu disalahgunakan oleh bapa kandung atau datuk kandung anak angkat itu kerana mereka kurang mengenali dan tidak faham hasrat sebenar ibu bapa angkat. Tambahan pula jika harta yang terlibat adalah bernilai tinggi.
Pesanan saya kepada ibu bapa angkat jika anda mahukan anak angkat anda menerima harta anda, maka anda tiada pilihan lain selain dari menggunakan kaedah wasiat atau hibah. Jika anda tidak berbuat apa-apa maka anak angkat kesayangan anda tidak akan menerima apa-apa dari harta anda.
Satu faktor lagi yang mesti anda pertimbangkan ialah anda mestilah mempunyai sijil pengangkatan yang sah dan membuat perlantikan penjaga harta untuk anak angkat di bawah umur 18 tahun.
Walaupun begitu tidak perlulah gundah gelana. Datanglah ke Wasiyyah Shoppe Berhad, syarikat amanah patuh syariah hari ini, Insya-Allah, kami boleh membantu anda mencapai hasrat memberi harta kepada anak angkat anda melalui kaedah syariah yang telah terbukti berkesan. Jangan bertangguh lagi.
KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH
KENAPA ORANG ISLAM SENDIRI TIDAK YAKIN DENGAN UNDANG-UNDANG SYARIAH?
KEKELIRUAN TENTANG HIBAH TAKAFUL
WAHAI SUAMI ! ANDA MESTI ADA POLISI TAKAFUL !
TERUKNYA TANGGUNGJAWAB WASI HARTA PUSAKA
Kenapa penting untuk hibahkan rumah kita yang masih ada pinjaman bank – Bahagian Pertama
KENAPA PENTING UNTUK HIBAHKAN RUMAH KITA YANG MASIH ADA PINJAMAN BANK – Bahagian Kedua
Kenapa penting untuk hibahkan rumah kita yang masih ada pinjaman bank - Bahagian Ketiga
BAGAIMANA CARA WARIS TIDAK PERLU BAYAR FI KHIDMAT PENGURUSAN PUSAKA?
ORANG MALAYSIA TIDAK TAHU KOS URUS HARTA PUSAKA MAHAL!
COVID-19 dan perancangan harta
INTEGRITI DALAM INDUSTRI PERANCANGAN HARTA
Tak semua orang perlu wasiat?
Jangan lupa rancang harta untuk manfaat diri sendiri dulu