Selepas mati, jangan terus faraidkan terus harta pusaka! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 22 Feb 2021 06:30 AM
wasiyyahshoppe

SELEPAS MATI, JANGAN TERUS FARAIDKAN HARTA PUSAKA !

 

SAYA banyak terjumpa kenyataan yang dikeluarkan oleh penceramah atau penulisan di media perdana atau media sosial yang mengatakan bahawa sebaik berlaku kematian, harta pusaka wajid difaraidkan terus. Kalau tak buat, berdosa besar katanya.

 

Saya rasa penjelasan itu kurang tepat dan mengelirukan masyarakat. Sebenarnya harta pusaka tidak boleh difaraidkan terus tanpa melalui proses tertentu. Jika terus difaraidkan, maka akan ada tuntutan hukum syarak tertentu yang terlepas dari dilaksanakan. Lagi berdosa!

 

Sebenarnya perkara paling asas yang waris mesti faham ialah tentang hukum yang terkait dengan harta pusaka. Waris di sini maksud saya bukan sahaja terhad kepada pasangan dan anak-anak malah termasuk juga ibu bapa kita dan kalau adik-beradik pun ada hak, maka mereka juga perlu faham hukum ini.

 

Waris mesti faham bahawa apabila berlaku saja kematian, harta milik simati yang ditinggalkan belum sepenuhnya berstatus harta pusaka. Waris mesti mengenal pasti semasa hidup adakah simati ada membuat  HIBAH, WAQAF atau AMANAH yang menyatakan bahawa sebahagian hartanya itu dimaksudkan untuk pihak tertentu melalui instrument ini.
 

 

wasiyyahshoppe

 


Jika ada, maka secara muafakat atau melalui proses pengesahan di Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil (yang mana berkenaan), harta-harta yang telah dibuat hibah, waqaf atau amanah ini mestilah diasingkan terlebih dahulu dari harta milik simati.  

 

Dalam erti kata lain, waris faraid kena faham bahawa apabila instrumen ini disahkan oleh mahkamah atau mereka secara muafakat menghormati hasrat simati yang dinyatakan melalui instrumen-instrumen ini, maka  mereka tiada lagi hak untuk menuntut harta berkenaan.

 

Waris juga perlu faham selepas diasingkan elemen hibah, waqaf dan amanah ini, maka barulah harta milik simati yang berbaki itu dianggap sebagai HARTA PUSAKA. Harta yang telah dihibah, diwaqaf atau diamanahkan, itu tidak menjadi harta pusaka simati.

 

Sebelum diagihkan harta pusaka ini kepada waris, harta pusaka perlu ditolak dahulu dengan semua hutang simati. Menolak hutang dari harta pusaka itu hukumnya WAJIB.

 

Hutang ini termasuklah hutang kepada Allah SWT seperti zakat yang tertunggak, nazar dan kafarrah yang belum ditunaikan selain hutang kepada institusi seperti hutang kad kredit, pinjaman peribadi, hutang rumah yang masih berbaki dan apa sahaja hutang institusi yang lain.

 

Hutang simati kepada individu juga merupakan hutang yang perlu diselesaikan. Adalah satu perkara yang sangat-sangat malang jika simati ada meninggalkan harta tetapi sebelum hutangnya dibayarkan, harta pusaka telah habis diagihkan.

 

Selepas ditolak hutang, baki harta pusaka itu belum boleh lagi diagihkan kepada waris kerana ia perlu diselesaikan pula tuntutan harta sepencarian dari pasangan simati. Tuntutan harta sepencarian ini ditolak terlebih dahulu kerana ia juga dianggap sebagai ‘hutang’ dari harta pusaka simati dan ia diberikan atas asas menghargai pengorbanan bersama yang dibuat oleh pasangan di dalam pemerolehan harta sepanjang perkahwinan mereka.  

 

Walaupun begitu, pasangan simati boleh memilih sama ada untuk menuntut atau tidak mahu menuntut harta sepencarian itu. Jika pasangan mahu menuntut, kalau ada persetujuan dari waris faraid yang lain, maka boleh sahaja tuntutan itu dimuafakatkan di peringkat bicara kuasa atau perintah pembahagian.

 

Tetapi jika ada waris yang tidak bersetuju, maka tuntutan harta sepencarian itu perlu dibawa ke Mahkamah Syariah untuk diputuskan.    

 

Selepas ditolak harta sepencarian dari harta pusaka, dah boleh agih harta pusaka kepada waris faraid yang berhak? Jawapannya ialah masih BELUM LAGI !
 

 

wasiyyahshoppe

 


Jika simati ada meninggalkan wasiat 1/3 kepada bukan waris, maka wasiat itu juga perlu ditolak dahulu dari harta pusaka. Jika waris bersetuju muafakat dengan hasrat simati di dalam wasiat itu, maka pada peringkat bicara kuasa bolehlah dipersetujui wasiat itu tetapi jika ada waris yang tidak bersetuju dengannya, maka wasiat itu mesti dibawa ke Mahkamah Syariah untuk disahkan. Secara umumnya, jika wasiat itu dibuat tepat mengikut hukumnya, maka ia boleh disahkan oleh Mahkamah Syariah.

 

Wasiat 1/3 ini saya merujuk kepada wasiat yang diberi kepada bukan waris bagi tujuan amal jariah. Bukan wasiat yang mengagihkan harta pusaka kepada waris ya. Jika wasiat yang diberikan kepada waris, seperti yang pernah saya ceritakan sebelum ini, ia hanya sah jika dipersetujui oleh waris-waris faraid selepas kematian pewasiat.

    

Selepas ditolak harta simati dengan instrumen hibah, waqaf dan amanah, ditolak juga dengan hutang simati, harta sepencarian dan wasiat, barulah apa sahaja baki harta pusaka yang tinggal akan diagihkan kepada waris-waris faraid sama ada mengikut bahagian masing-masing atau pun permuafakatan.

 

Permuafakatan di sini bermaksud waris-waris faraid boleh untuk menolak bahagian yang merupakan haknya dan diberikan kepada waris yang lain atau waris-waris bermuafakat membahagikan harta pusaka berbaki itu secara sama rata di antara waris lelaki dan perempuan.

 

Walaupun demikian, sebelum ia dimuafakatkan (di dalam hukum ia dikenali sebagai ‘takharruj’) , setiap waris hendaklah mengetahui secara tepat berapakah bahagian dan nilai bahagian miliknya mengikut hukum faraid. Ini kerana waris berkenaan mestilah redha dan secara sukarela melepaskan bahagiannya itu sama ada kepada waris lain atau secara sama rata.

 

Jadi betulkah kenyataan bahawa  harta pusaka mesti terus difaraidkan selepas kematian pemilik harta? Tentulah jawapannya TIDAK. Harta pusaka itu perlu melalui proses yang saya sebutkan ini sebelum akhirnya barulah ia difaraidkan.

 

Siapa yang buat kerja berat memastikan semua proses ini dilalui dengan sempurna? Tentulah wasi yang dilantik sama ada melalui wasiat pentadbiran atau pentadbir yang dilantik sesama waris selepas kematian pemilik harta.

 

Persoalan yang secara jujur mesti kita tanya pada diri sendiri ialah adakah wasi yang kita tinggalkan faham semua ini? Atau adakah mereka akan terus membahagikan harta pusaka kita tanpa melalui proses-proses ini. Saya tahu secara tepat ramai saja wasi  yang tidak faham, terus membahagikan harta pusaka ikut faraid tanpa mengambil kira proses di atas.

 

Keadaan ini terutamanya berlaku bagi harta yang mempunyai sistem penama. Ini kerana penama selalu diingatkan bahawa harta itu bukan hak mereka sebaliknya mereka hanya wasi. Wasi dipertanggungjawabkan untuk mengagih semula harta itu kepada waris yang berhak. Hujah ini sebenarnya separuh tepat kerana hujah yang lebih tepat ialah penama kepada harta ini hendaklah bekerjasama dengan wasi harta pusaka yang dilantik bagi memastikan harta ini melalui dahulu semua proses di atas terlebih dahulu sebelum diagihkan kepada waris yang berhak.

 

Susah sangat nak faham proses agihan harta pusaka ini? Jangan risau, anda boleh menghubungi Wasiyyah Shoppe Berhad dan kami mempunyai rumusan untuk memastikan proses ini berjalan dengan sempurna untuk harta pusaka anda, Insya-Allah.  - DagangNews.com

 

wasiyyahshoppe
  Tuan Hj Ariffin Sabirin adalah pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

wasiyyahshoppe

 

KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH