Dana KWAN: Jangan kudis jadi tokak baru nak menyesal | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 05 May 2021 07:30 AM

DANA KWAN: JANGAN KUDIS JADI TOKAK BARU NAK MENYESAL

 

 

BUAT masa ini Malaysia sedang bergelut untuk mengimbangi kesihatan sosial dan pemulihan ekonomi. Kerajaan Perikanan Nasional (PN) sedaya upaya untuk mengimbangi dua asas fokus utama ini.

 

Bermula Mac 2020, banyak yang dilakukan oleh Kerajaan dalam proses memulihkan ekonomi negara terutamanya seperti pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN)  dan  Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

 

Bagi membantu negara untuk meningkatkan semula pertumbuhan dan  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), negara belum keluar dari wabak pandemik COVID-19 ini. Program Imunisasi Kebangsaan melalui suntikan vaksin kepada semua rakyat Malaysia dijangka boleh menjadi kayu ukur proses pemulihan ekonomi negara.

 

Kerajaan Malaysia telah memperuntukan sejumlah  besar untuk perolehan vaksin COVID-19 sebanyak RM3 bilion melalui Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang dijangka  mampu untuk  memberi kesan secara langsung dalam usaha melandaikan lengkungan jangkitan COVID-19.

 

Menurut  Ketua Jawatankuasa Penasihat Bebas Vaksinasi COVID-19, Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud menyatakan sekiranya  pemberian vaksin mengikut jadual ditetapkan, ia amat membantu rakyat dalam menuju kepada imuniti kelompok dalam tempoh setahun. Sehingga hari ini hanya 99,616 rakyat sudah divaksin.

 

Namun persoalannya, adakah Kerajaan hari ini mampu untuk menanggung lagi kos vaksin untuk diberikan kepada semua rakyat Malaysia? 

 

Pengumuman oleh Kerajaan yang  memperuntukkan lagi RM5 billion untuk dibelanjakan bagi memperoleh vaksin dengan menggunakan Dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN)  terus mendapat pelbagai reaksi penganalisis politik mahupun ekonomi.

 

Menurut Menteri Kewangan Malaysia, anggaran RM5 bilion ini bagi memperoleh vaksin hanyalah menggunakan jumlah pulangan yang dijana dari Dana KWAN dan bukannya daripada jumlah pokok RM10.4 bilion  yang masih kekal ada dan tidak digunakan. Namun tindakan Kerajaan hari ini dalam penggunaan Dana KWAN ini meresahkan banyak pihak terhadap keputusan ini.

 

Secara asasnya, semua pihak perlu faham terlebih dahulu apakah tujuan Dana KWAN ini diwujudkan bagi sesebuah negara dan bagaimanakah ia boleh digunakan oleh negara.

 

Dana  KWAN ini ditubuhkan melalui Akta Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 1988. Sehingga 31 Disember 2020, aset bersih KWAN adalah berjumlah RM19.5 bilion, merangkumi sumbangan Petronas (RM10.4 bilion) dan pulangan pelaburan terkumpul (RM9.1 bilion).

 

 

volatiliti

 

 

Seksyen 6, Akta 339 membenarkan dana KWAN digunakan selepas tamatnya tempoh 10 tahun dari tahun pertama Akta berkuatkuasa (1988) bagi membiayai projek pembangunan; dan pinjaman mudah (soft loan) kepada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri. Tujuan KWAN ditubuhkan adalah untuk memastikan penggunaan optimum hasil sumber-sumber asli negara demi manfaat negara dan generasi akan datang

 

Bulan lalu, Kerajaan meluluskan pindaan ke atas Akta KWAN 1988 (Akta 339), yang membolehkan dana ini digunakan bagi tujuan pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan berhubung vaksin.

 

Pindaan undang-undang ke atas Akta KWAN 1988 melalui Ordinan Darurat baru-baru ini membolehkan Dana KWAN digunakan untuk pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung dengan vaksin bagi apa-apa wabak penyakit berjangkit.

 

Ordinan itu, yang dipinda dengan memasukkan sub-seksyen baharu ke dalam Seksyen 6, telah dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 14 April lepas menurut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

 

Yang di-Pertuan Agong telah memperakui bagi pemindaan akta ini bagi melindungi rakyat Malaysia. Sub-seksyen baharu dalam Akta KWAN ini telah menyatakan klausa  pengunaan Dana KWAN bagi perolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung dengan vaksin bagi suatu wabak apa-apa penyakit berjangkit sebagaimana yang dinyatakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

 

Suka Hati?

Kelulusan perubahan akta Dana KWAN ini bukanlah dibuat sesuka hati oleh Kerajaan Malaysia. Sememangnya negara sedang dalam keadaan “terdesak” yang memerlukan dana bagi perbelanjaan vaksin ini. 

 

Objektif Dana KWAN yang ditubuhkan 33 tahun dahulu adalah untuk melindungi generasi akan datang. Jika diterjemahkan maksud generasi akan datang dalam konteks hari ini, dengan pembelian vaksin ini lah yang boleh dikatakan melindungi generasi akan datang bagi menjamin kesejahteraan rakyat di negara ini.

 

 

volatiliti

 

 

Jika dipandang dari sudut padang positifnya, jika tidak sekarang bila lagi Dana KWAN ini hendak digunakan di saat  negara mengharungi cabaran COVID-19 yang merupakan krisis paling getir di dalam sejarah negara kita.

 

Pastinya lima (5) anggota lembaga pemegang amanah dan Dana KWAN ini telah membuat semua keputusan dasar sebelum dikemukakan kepada Kerajaan. Lembaga pemegang amanah ini merangkumi wakil Kerajaan dan swasta/professional. KWAN juga diaudit setiap tahun oleh Jabatan Audit Negara. Oleh itu, elemen semak dan imbang kekal terjamin walaupun terdapat pindaan spesifik dan terhad ke atas penggunaan Dana KWAN ini.

 

Bukan Luar Biasa

Tindakan Malaysia menggunakan Dana Kwan ini bukan satu tindakan luar biasa. Buat masa ini, banyak juga negara lain di dunia  juga menggunakan rizab  atau tabung amanah negara masing masing menangani isu pandemik ini.

 

Sebagai contoh, Ireland menggunakan Dana National Surplus (Exceptional Contingencies) Reserve Funds mereka sebanyak AS$1.8 bilion, Singapura menggunakan rizab dalaman mereka sebanyak AS$40 bilion, Norway menggunakan hampir AS$37 bilion daripada Government Pension Global .

 

Ini bukti banyak juga negara lain di dunia “terpaksa” mengunakan rizab atau tabung amanah mereka dalam menangani isu semasa bagi negara masing-masing.

 

Kerajaan juga telah berjanji sedaya upaya untuk menambah semua Dan KWAN ini pada masa akan datang. Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan perlu komited untuk menambah semula Dana KWAN apabila krisis ini berakhir dan kewangan Kerajaan kembali kukuh.

 

Penggunaan dana KWAN dalam bentuk geran juga penting untuk memastikan defisit fiskal kekal di bawah sasaran 6.0% pada penghujung 2021. Sekiranya kos vaksin sebanyak RM5 bilion tidak digunakan daripada Dana KWAN, keperluan meminjam Kerajaan adalah jauh lebih tinggi dan sasaran defisit mungkin akan meningkat.

 

 

volatiliti

 

 

Penyumbang Lain

Selain itu, Kerajaan juga perlu memikirkan penyumbang lain kerana pada masa kini Petronas adalah penyumbang tunggal kepada Dana KWAN ini.  Penyumbang lain yang perlu menyumbang kepada Dana KWAN ini adalah kumpulan/syarikat yang mendapat manfaat hasil dari sumber-sumber asli di negara kita.

 

Jika hal ini dapat diperhalusi dengan baik dan pastinya Dana KWAN ini dapat ditingkatkan semula Selain itu, Kerajaan juga  perlu membuat pelaburan yang baik daripada Dana KWAN ini  bagi memperoleh pulangan daripada pelaburan ini dan ia akan membantu meningkatkan semula Dana KWAN ini.  

 

Apa yg dirisaukan oleh semua pihak jika perkara ini tidak diatasi segera ia akan menyebabkan dana negara semakin sedikit dari hari ke hari kerana pengunaan dana ini adalah melebihi daripada sumber dana ini. Jangan Kudis Dan Jadi Tokak baru nak menyesal!     – DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

 

  • KOLEKSI VOLATILITI