Ada harta pusaka yang haram dimakan?
ADA harta pusaka yang haram dimakan? Ini antara persoalan yang ditanya kepada saya. Jawapannya ialah “Ya”. Ada harta pusaka yang memang haram dimakan daripada segi hukumnya yang kita mungkin secara tidak sengaja termakan atau pun mungkin sengaja makan.
Harta pusaka yang haram dimakan ialah harta pusaka yang bukan hak kita. Kalau dah bukan hak kita memanglah jelas hukumnya haram dimakan – tak kira harta pusaka atau bukan harta pusaka.
Tetapi inilah keadaan yang paling kerap berlaku dalam masyarakat. Ramai di antara waris secara sedar atau tidak sedar telah memakan harta pusaka yang bukan milik mereka.
Kenapa keadaan ini berlaku? Kerana masih ramai orang Islam yang tidak faham atau buat-buat tidak faham atau sengaja tidak mahu faham hukum berkaitan harta pusaka.
Kalau 23 tahun lepas ketika saya baru bermula dalam industri ini orang kata mereka termakan harta pusaka yang bukan hak mereka kerana mereka tidak tahu, alasan itu bolehlah diterima.
Tetapi di dalam dunia teknologi dan media sosial sekarang di mana semua maklumat boleh diakses di hujung jari sahaja, alasan tidak tahu ilmu berkaitan harta pusaka agak tidak logik. Banyak ceramah di dalam media sosial bercerita tentang hukum harta pusaka.
Apa yang kita perlu faham ialah apabila seorang Islam itu meninggal dunia, maka semua harta pusaka yang ditinggalkannya itu adalah milik waris-waris mengikut hukum faraid.
Waris-waris ini pula bukanlah terdiri dari pasangan dan anak-anak saja. Ibu bapa simati juga merupakan waris yang tidak boleh dinafikan haknya.
Dalam keadaan tertentu, adik-beradik simati, datuk dan pelbagai waris-waris lain juga kadang-kadang mendapat hak. Semua kita mempunyai struktur faraid yang berbeza-beza kerana struktur keluarga yang berbeza.
Ini perkara asas yang mesti difahami masyarakat. Selama 23 tahun saya bergiat di dalam industri, ini pesanan asas yang mesti saya sampaikan sebelum bercerita hal-hal lain.
Janganlah pasangan atau anak-anak merasakan mereka boleh buat sesuka hati dengan harta pusaka itu kerana ada hak waris-waris lain juga ke atasnya. Jangan dinafikan hak waris-waris yang lain.
Hari ini ada perbalahan harta pusaka yang melibatkan nilai berbilion RM di antara pasangan dan anak-anak melawan ibu simati. Amat menyedihkan bila keadaan ini berlaku.
Ada kes saya jumpa balu yang tahu nombor pin akaun suaminya, mengeluarkan duit dan memberi sedekah dari wang tunai arwah suaminya kepada masjid dalam keadaan harta pusaka itu belum diuruskan dan belum jelas siapa waris yang berhak dan bahagian mereka.
Si balu memberitahu saya dia beri sedekah itu untuk diniatkan pahalanya kepada arwah suami. Selain isteri, anak lelaki dan anak perempuan, simati juga meninggalkan ibu bapa. Semua pihak ini berhak ke atas wang tunai itu mengikut bahagiannya masing-masing.
Bila ditanya, ada atau tidak mendapat kebenaran dari waris-waris di atas untuk sedekahkan duit itu, tambahnya lagi, “Takkanlah anak-anak dan ibu bapa mertua saya tak setuju saya bagi sedekah ke masjid dengan niat untuk arwah!”
Nasihat saya kepadanya, “Kak, yang nak diberi sedekah itu ialah harta yang memang sah milik kita sendiri. Jika harta pusaka ini telah diuruskan dan kakak telah menerima bahagian kakak, bahagian itu kakak nak sedekahkan kepada masjid dengan niat pahalanya untuk arwah, tiada masalah. Tetapi harta ini bukan milik kita seorang, janganlah disedekahkan kecuali jika waris-waris lain telah bersetuju!”
Ada juga kalangan pasangan dan anak-anak sesuka hati menggunakan harta pusaka simati sesama mereka. Antara harta yang paling kerap disalah guna begini ialah kereta/ kenderaan.
Pada pandangan mereka, “Masa arwah hidup pun memang saya yang guna kereta ini. Jadi apa masalahnya? Kereta pun harta pusaka ke?” Ya, asalkan harta itu milik simati memang ia adalah harta pusaka.
Sekiranya proses pengurusan harta pusaka itu belum selesai dan kita masih belum jelas siapakah yang berhak ke atas harta itu dan bahagian mereka, janganlah kita berbuat sesuka hati ke atasnya.
Apapun yang nak dibuat, dapatkanlah keizinan dan persetujuan dari semua waris kerana merekalah tuan punya harta itu. Buatlah catatan jika harta pusaka itu telah digunakan bagi apa tujuan sekalipun.
Ketika bicara kuasa dijalankan, maklumkan kepada semua waris tentang harta pusaka yang telah digunakan ini. Jika waris-waris bersetuju untuk menghalalkan penggunaan harta pusaka itu dan tidak mahu membuat sebarang tuntutan, maka fokus sahaja perbincangan selepas itu kepada bagaimana baki harta pusaka akan diagihkan.
Kalau waris-waris tidak bersetuju dengan penggunaan itu, maka ia perlulah dikontra dari bahagian yang sepatutnya kita dapat.
Sangat biasa saya jumpa kes balu yang menggunakan harta pusaka suami sesuka hatinya. Seorang anak pernah bertanya kepada saya apa hukum ibunya menguasai semua harta pusaka arwah ayahnya termasuk kebun seluas 20 ekar yang ditanam kelapa sawit.
Katanya , dia dan dua adik lelakinya tidak pernah mengetahui berapa hasil dari kebun itu, berapa kos pengurusannya dan ke mana hasil itu disalurkan.
Bila saya tanya adakah dia dan 2 abang-abangnya redha ibu memakan semua hasil dari kebun itu, dia hanya diam dan termenung. Maknanya dia tidak redhalah tu tapi tak mahu menyebutnya.
Hukumnya jelas iaitu haram untuk sesiapa pun waris memakan harta pusaka yang bukan miliknya. Dalam kes ini, ibu itu sepatutnya meminta izin dari 3 anak lelakinya untuk dia memakan semua hasil dari kebun itu.
Kenapa kena minta izin? Kerana bahagian ibu itu mengikut hukum faraid hanyalah 3/24 manakala setiap anak lelakinya mendapat bahagian 7/24.
Maknanya, jika hasil bersih kebun itu selepas ditolak kos ialah RM 10,000 sebulan, hak ibu hanyalah RM 1250 sahaja dan bakinya ialah hak 3 anak lelakinya !
Jika 3 anak lelaki itu tidak menghalalkan ibu mereka memakan kesemua hasil kebun itu, maka ibu itu dikategorikan sebagai telah memakan harta pusaka yang bukan miliknya.
Isu ini nampak macam remeh tetapi mempunyai kesan hukum yang sangat besar. Namun begitu saya nasihatkan anak itu supaya berbincang dengan abang-abangnya supaya menghalalkan hasil yang telah digunakan ibu selama ini dengan bersangka baik mungkin ibu itu tidak mengetahui hukumnya.
Tetapi bergerak ke hadapan, uruskan harta pusaka itu di Pejabat Pusaka Kecil dengan segera supaya semua pihak faham hak mereka masing-masing.
Dengan situasi masyarakat semakin kompleks mutakhir ini, risiko kita termakan harta pusaka yang bukan milik kita adalah amat tinggi sekali.
Apa cara nak mengelakkan keadaan ini berlaku kepada waris-waris kita, rancanglah harta anda di Wasiyyah Shoppe Berhad, Insya-Allah akan jelas kedudukan siapa waris yang memiliki apa harta dan berapa banyak bahagiannya.
KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH
BERDEPAN MENTALITI GENG ‘LAMBAT LAGI NAK MATI’
Apa kaitan COVID-19 dengan harta pusaka?
Boleh tak buat perancangan harta menerusi Video Call?
IBU BAPA BAGI ANAK-ANAK ‘PINJAMAN KAYU API’?
URUSAN HARTA PUSAKA TAK PENTING KEPADA NEGARA?
- BILA ORANG MUDA MATI MENINGGALKAN ANAK KECIL, INI ISU-ISU YANG MESTI ANDA TAHU
- MALAYSIA MENERAJUI DUNIA DALAM SEKTOR PENGURUSAN HARTA ISLAM?
- BAGAIMANA HARTA BOLEH KEKALKAN SILATURAHIM BERGENERASI LAMANYA
- SUAMI BERPOLIGAMI PERLU BIJAKSANA DAN BIJAKSINI
- KENAPA SANGAT KRITIKAL KITA MENGHIBAHKAN RUMAH/HARTANAH KITA?
- BUAT HIBAH SEOLAH-OLAH KITA TAK PERCAYAKAN ADIK-BERADIK?
- Jangan jadi seperti ahli politik dalam menguruskan harta pusaka
- BERAS GULA PUN JADI HARTA PUSAKA - WAJIB DIFARAIDKAN?
- AHLI PERNIAGAAN MAHU WARISKAN BISNES, MESTI BACA ARTIKEL INI !
- BETULKAH HIBAH TAKAFUL SELESAIKAN MASALAH PUSAKA ?
- SELEPAS MATI, JANGAN TERUS FARAIDKAN HARTA PUSAKA !
BUAT WASIAT DAPAT ELAKKAN WARIS BERTELAGAH?
- PERINGATAN UNTUK IBU BAPA YANG ADA ANAK ANGKAT
KENAPA ORANG ISLAM SENDIRI TIDAK YAKIN DENGAN UNDANG-UNDANG SYARIAH?
KEKELIRUAN TENTANG HIBAH TAKAFUL
WAHAI SUAMI ! ANDA MESTI ADA POLISI TAKAFUL !
- Ada apa dengan TANGGUNGJAWAB?
- FARAID DAN TANGGUNGJAWAB
- TERUKNYA TANGGUNGJAWAB WASI HARTA PUSAKA
- Kenapa penting untuk hibahkan rumah kita yang masih ada pinjaman bank – Bahagian Pertama
- KENAPA PENTING UNTUK HIBAHKAN RUMAH KITA YANG MASIH ADA PINJAMAN BANK – Bahagian Kedua
- Kenapa penting untuk hibahkan rumah kita yang masih ada pinjaman bank - Bahagian Ketiga
- BAGAIMANA CARA WARIS TIDAK PERLU BAYAR FI KHIDMAT PENGURUSAN PUSAKA?
- ORANG MALAYSIA TIDAK TAHU KOS URUS HARTA PUSAKA MAHAL!
- ALTRUISME DAN HARTA PUSAKA
- COVID-19 dan perancangan harta
- INTEGRITI DALAM INDUSTRI PERANCANGAN HARTA
- Tak semua orang perlu wasiat?
- Jangan lupa rancang harta untuk manfaat diri sendiri dulu