Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Volatiliti - 19 May 2021

MASIHKAH RELEVAN KAEDAH CANSLIM DALAM DUNIA PELABURAN HARI INI?

 

DALAM kecanggihan peredaran teknologi ini pelbagai aplikasi dan sistem yang digunakan untuk membuat keputusan dalam pelaburan saham khususnya. Semua kaedah yang ada mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri dalam memberi “jawapan” kepada pelabur mengenai keputusan pelaburan mereka.

 

Walaupun dunia didatangi oleh pelbagai kaedah dan cara moden dalam membuat keputusan yang baik bagi menentukan pemilihan salam yang berkualiti dan yang berpontensi untuk berkembang, kaedah CANSLIM masih diterima pakai oleh kebanyakan pelabur  dan pengurus dana.

 

Walaupun ada yang berpendapat bahawa kaedah CANSLIM ini telah ketinggalan zaman, namun kaedah ini mempunyai kekuatannya dalam membuat penilaian yang akan tepat bagi menentukan pemilihan saham yang baik dan berkualiti dan akhirnya memberi pulangan yang baik kepada pelabur.

 

Kaedah CANSLIM ini merungkai  7 elemen utama dalam proses membuat penilaian kepada syarikat atau saham yang ingin pelabur pilih. 7 elemen itu ialah:

volatiliti

Kaedah CANSLIM ini adalah strategi pemilihan saham yang diperkenalkan oleh William J. O’Neil untuk meraih pulangan lumayan dalam pelaburan dan kaedah ini menggunakan gabungan kajian fundamental dan teknikal.

 

Siapa William O'Neil?

Di sebalik kaedah CANSLIM ini, William J. O'Neil adalah orang yang bertanggungjawab sepenuhnya memperkenalkan kaedah ini. Jom kita kenali siapa William J. O'Neil.   

 

William J. O'Neil dilahirkan pada 25 Mac 1933 dan beliau adalah seorang penulis, usahawan, dan broker saham Amerika yang terkenal sebagai pengasas Investor Business Daily iaitu pesaing kepada The Wall Street Journal.

 

volatiliti
William J. O'Neil

 

O'Neil menulis beberapa buku, termasuk Cara Menjana Wang dalam Stok, Pelabur yang Berjaya, dan 24 Pelajaran Penting untuk Kejayaan Pelaburan.

 

Sistem pelaburan CANSLIM dikembangkan oleh O'Neil pada zamannya sebagai broker saham pada akhir 1950-an dan kaedah ini masih relevan dan diguna pakai hingga ke hari ini.

 

O'Neil telah membincangkan teknik ini melalui buku yang ditulisnya bertajuk “How to Make Money in Stocks” yang telah terjual sebanyak 2 juta naskhah sejak dicetak. Bagi pelabur di luar sana yang ingin mengetahui dengan lebih mendalam kaedah CANSLIM ini, wajib membeli buku “How to Make Money in Stocks” supaya pelabur dapat membaca apakah hasrat yang ingin disampaikan oleh O'Neil.

 

Namun begitu, pelabur di luar sana yang ingin mengetahuinya secara ringkas, apakah sebenarnya kaedah CANSLIM ini, melalui 7 elemen ini dalam proses pemilihan saham yan baik dan berkualiti diterangkan 7 elemen ini secara ringkas.

 

C- Current Earnings

Dalam kaedah CANSLIM, C yang pertama merujuk kepada Current Earnings. Ia merujuk kepada pendapatan syarikat semasa. Bagi melihat kepada pendapatan semasa syarikat, pelabur boleh merujuk kepada pendapatan syarikat bagi suku tahun terkini. Bagaimana pelabur boleh mengetahui sama ada Current Earnings syarikat itu baik atau pun tidak.

 

Pendapatan syarikat mestilah melebihi sekurang-kurangnya 18-20% pada setiap suku tahunan (3 bulan), dan ia mestilah mampu menjana pendapatan untuk tiga suku tahunan berturut-turut daripada suku terkini. Ini adalah asas pertama yang pelabur boleh menilai saham yang berkualiti dan baik untuk dipilih atau pun tidak.

 

  1. Annual Earnings (Perolehan Tahunan)

Penilaian kedua yang boleh dilakukan oleh pelabur dengan melihat Annual Earnings syarikat. Pelabur boleh membuat penilaian dengan melihat kepada pendapatan tahunan syarikat  dan pendapat ini mestilah mencatatkan peningkatan sebanyak 25% selama tiga tahun berturut-turut. Jika syarikat mencatatkan peningkatan sebanyak 25% untuk 3 tahun berturut-turut, syarikat ini adalah boleh diletakkan dalam “wish list” pelabur untuk memilih salam ini dalam pelaburan mereka.

 

N -New Product, New Service, New Management (Produk, Perkhidmatan & Pengurusan Baru)

Elemen ketiga ialah New Product, New Service, New Management.  Ini bermakna, pelabur perlu memlih syarikat yang sentiasa menghasilkan produk dan perkhidmatan yang baru, kerana syarikat ini merupakan syarikat yang sentiasa melakukan penambahbaikan dari segi produk atau perkhidmatan mereka atau inovatif dan mengikuti perkembangan semasa.

 

Jika kita mempelajari teori  “Product Life Cycle” setiap produk perlukan “R&D” iaitu perubahan bagi memastikan produk atau perkhidmatan itu kekal relevan dalam pasaran. Selain itu, pengurusan yang baru dipercayai akan menghasilkan idea yang baru kepada syarikat yang akan membawa kepada pekembangan yang lebih baik. Jika dilihat dalam senario syarikat-syarikat di Malaysia, perubahan pengurusan yang baharu akan membawa perubahan yang baik kepada syarikat.

 

S-Supply and Demand (Bekalan dan Permintaan)

Pastinya Supply and Demand ini merupakan perkara asas dalam ekonomi dan juga pergerakan harga saham. Jika pembeli lebih banyak dari yang menjual, harga saham akan meningkat dan begitu juga sebaliknya. Inilah konsep Supply and Demand  dalam konsep ekonomi. 

 

Bagi melihat elemen ini, pelabur boleh memerhatikan  pergerakan volume saham selama tiga bulan. Bagi saham yang melebihi purata selama tiga bulan sebelumnya dan ini mengambarkan saham syarikat itu mempunyai demand yang tinggi. Maka pelabur boleh mempertimbangkan saham syarikat ini dalam proses pemilihan pelaburan mereka.

 

L- Leaders (Peneraju)

Leaders bermaksud syarikat yang menjadi peneraju atau syarikat yang menguasai pasaran dalam  sesebuah industri atau sektor tertentu. Banyak kaedah yang boleh menentukan syarikat ini sebagai Leaders  atau tidak.

 

Pelabur boleh menggunakan kaedah Relative Strength dalam menentukan syarikat ini leaders atau pun tidak . Syarikat yang baik adalah apabila ia mempunyai Relative Strength melebihi 80% daripada saham syarikat pesaing.

 

Selain itu, pelabur juga boleh melihat melalui penguasaan pasaran syarikat dalam industri,  atau melalui asset capitalization untuk menentukan syarikat ini leaders atau tidak. Mengapa pentingnya syarikat ini menjadi leaders  atau pun tidak dalam industri mereka, kerana syarikat leaders ini akan akan boleh menentukan harga dan mendapat banyak kelebihan dalam industri mereka.

 

  1. Institutional Support (Sokongan Institusi)

Institutional Support merujuk kepada saham syarikat tersebut dimiliki oleh siapa. Jika saham syarikat dimiliki oleh syarikat-syarikat yang besar maka syarikat tersebut memiliki sokongan institusi yang baik ini. Ini kerana, saham syarikat yang dimiliki oleh syarikat institusi yang besar, pastinya syarikat tersebut adalah syarikat yang kukuh dan harga saham syarikat ini yang agak stabil.

 

Dengan sokongan institusi ini pastinya saham syarikat tersebut berpotensi untuk berkembang dengan baik untuk masa akan datang. Elemen ini boleh dijadikan kayu ukur juga bagi menilai syarikat yang berkualiti untuk dipilih oleh pelabur.

 

M- Market Direction (Hala Tuju Pasaran)

Pemilihan syarikat yang baik apabila syarikat berada dalam keadaan hala tuju menaik atau uptrend. Jika pelabur memilih syarikat yang berada dalam fasa uptrend  ini, pelabur tahu saham syarikat ini dalam fasa menaik. Cumanya bila masa yang sesuai untuk membeli saham dalam fasa ini perlu dibandingkan dengan isyarat teknikal bagi memastikan pelabur membuat keputusan yang tepat pada masanya.

 

volatiliti

 

Tuntasnya, kaedah CANSLIM ini masih relevan untuk digunakan oleh pelabur untuk membuat penilaian sebelum membuat keputusan dalam pelaburan mereka.

 

Namun begitu sebagai pelabur alaf baharu kita tidak boleh menidakkan banyak kaedah dan  apps teknologi terkini yang mungkin memudahkan pelabur dalam membuat keputusan.

 

Pastinya apa pun kaedah yang digunakan oleh pelabur, objektifnya tetap sama iaitu pelabur mahukan pulangan yang baik daripada pelaburan yang dibuat.

 

Walaupun ada risiko kerugian dalam setiap pelaburan yang dibuat, tetapi sekurang-kurangnya dengan menganalisis dengan baik sesebuah syarikat atau saham menggunakan kaedah CANSLIM ini akan mengurangkan risiko kerugian pelabur.

 

Kaedah ini juga membantu pelabur mahupun pengurus dana dalam memilih  syarikat atau saham yang baik dan berkualiti. Jika syarikat atau saham yang dipilih baik, risiko kerugian juga akan rendah bagi pelabur. – DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags