Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Volatiliti - 26 May 2021

QR SUKU TAHUN 2021 PENENTU HAJA TUJU SAHAM PASCA PANDEMIK

 

SAMA ADA penganalisis pasaran saham, pelabur individu mahupun pelabur institusi sedar yang tahun 2020 dan 2021 ini bukanlah tahun yang baik bagi pasaran saham di Malaysia. Pelbagai keadaan yang menganggu gugat prestasi pasaran saham di Malaysia.

 

Selain daripada pandemik COVID-19, ketidakstabilan politik negara sedikit sebanyak menyebabkan banyak pelabur asing menarik diri daripada melabur di Malaysia. 

 

Bagi prestasi  tahun 2021 ini, ramai penganalisis ekonomi meletakkan prestasi suku tahun pertama sebagai kayu ukur bagi hala tuju seterusnya pasaran saham di Malaysia.

 

Semua pelabur biasa mendengar terma kata Quarter Report (QR). QR inilah yang dijadikan asas sandaran sebagai kayu ukur tersebut.

 

Kenapa QR penting?
Dengan menganalisis QR, sesebuah syarikat sebagai satu kunci pemahaman terhadap prestasi syarikat. Jika dalam dunia saham, pelabur perlu tahu Fundamental Analysis dan Technical Analysis sebelum melakukan pelaburan.

 

QR membantu pelabur mengenali Fundamental sesebuah syarikat. Bagaimana yang dikatakan Fundamental syarikat tersebut? Pelabur akan mengkaji perkara-perkara seperti prestasi kewangan syarikat, kemampuan sesebuah syarikat untuk berkembang dan lain-lain.

 

Apabila berbincang tentang saham, perkara yang pelabur perlu fokuskan ialah pegangan kita dalam suatu syarikat. Sudah semestinya syarikat tersebut wajib dan bertanggungjawab untuk melaporkan laporan kewangan mereka secara berkala terutamanya kepada pegangan saham yang umum.

 

Semua syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia diwajib untuk mengeluarkan QR mereka. Laporan QR ini juga merupakan laporan semasa syarikat, dikenali juga sebagai interim financial report.

 

QR mempunyai 4 laporan suku tahun dalam 1 tahun perakaunan. Contoh: sekiranya tempoh perakaunan sesebuah syarikat itu bermula tersenarai di Bursa pada 1 Januari 2020, maka tarikh akhir tahun itu merupakan 31 Disember 2020.

 

Maka kesimpulannya,  syarikat perlu mengeluarkan QR 4 kali untuk setiap tahun. Jika sesebuah syarikat itu bermula 1 Januari, tempoh susunan suku tahunan adalah seperti Januari sehingga Mac adalah suku pertama. Suku kedua ialah April sehingga Jun. Suku ketiga pula ialah Julai sehingga September. Suku terakhir ialah Oktober sehingga Disember.

 

 

volatiliti

 

 

Pelabur boleh melihat QR syarikat bagi memilih pelaburan yang betul bagi tahun 2021 ini. Sebagai seorang pelabur sedia ada dalam syarikat atau pelabur baharu pastinya pelabur perlu mengetahui perkembangan syarikat yang kita ingin labur.

 

QR ini haruslah bersifat telus dengan perkembangan dan perubahan syarikat seperti perubahan struktur korporat syarikat, pemberian dividen, pembelian aset baru dan lain-lain.

 

Selain itu pelabur juga boleh melihat menilai dan mengukur tahap kesihatan syarikat. Tahap kesihatan syarikat ini merujuk kepada prestasi kewangan syarikat. Pelabur boleh membandingkan prestasi syarikat suku tahun terkini dengan suku tahun sebelumnya.

 

Antara elemen yang boleh dijadikan asas bandingan QR syarikat dengan QR sebelum ini ialah  melihat kepada jualan atau sales atau revenue syarikat. Jualan ini akan memberi gambaran atau maklumat yang jelas berapa banyak jumlah produk atau perkhidmatan syarikat terjual.

 

Jika sesebuah syarikat itu dilihat melakukan kenaikan jualan pada setiap suku atau setiap tahun, ini akan memberi isyarat bahawa syarikat tersebut merupakan sebuah syarikat yang baik. Elemen seterusnya yang boleh dilihat dalam QR adalah untung bersih syarikat. Untung bersih ini dikira selepas syarikat menolak semua kos perbelanjaan atau kos oprerasi syarikat.

 

Keuntungan ini biasanya keuntungan selepas ditolak cukai yang mana keuntungan syarikat akan berkurangan selepas ditolak dengan cukai. Dengan melihat beberapa elemen daripada QR syarikat ini, pelabur boleh membuat keputusan yang baik bagi tujuan pelaburan mereka.

 

Senario semasa pada pertengahan bulan Mei 2021 mencatatkan FBM KLCI kini kembali susut untuk berada di bawah paras 1,600 mata iaitu 1,577.64 mata.

 

 

volatiliti

 

 

Menurut penganalisis ekonomi dari Bank Islam Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim QR syarikat penting kepada pelabur bagi melihat sama ada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) yang telah dijalankan pada Januari dan Februari lalu memberi impak kepada prestasi syarikat-syarikat di Malaysia. Adakah pelaksanaan PKP 2.0 pada dua bulan pertama tahun ini memberi impak kepada prestasi syarikat atau sebaliknya?

 

Hala tuju pasaran akan bergantung banyak kepada trend perolehan syarikat yang di laporan melalui QR syarikat-syarikat  pada suku tahun berakhir 31 Mac 2021. Tuntasnya pergerakan pasaran saham adalah sangat sukar dijangka kerana keadaan yang tidak menentu. 

 

Pada situasi semasa dengan pelaksanaan PKP 3.0 dan lengkungan jangkitan pandemik COVID-19 masih gagal diratakan membuatkan hala tuju pasaran saham di Malaysia gagal diramal dengan baik walaupun QR syarikat telah dikeluarkan.

 

Namun begitu, dengan jangkitan yang semakin hari semakin bertambah ini, sektor sarung tangan getah dijangka terus menyokong pasaran saham tempatan berdasarkan perkembangan semasa. Ramai penganalisa meramalkan sektor ini terus mendapat permintaan tinggi di seluruh dunia memandangkan masih ada negara yang jumlah kes COVID-19 masih belum berkurangan.

 

Selain sektor kesihatan, berdasarkan QR syarikat-syarikat di Malaysia, sektor teknologi juga dijangka menyokong pasaran kerana terdapat banyak syarikat yang beralih kepada sistem yang lebih canggih seperti teknologi 5G, ditambah pula dengan pembuatan kereta elektrik (EV) yang memerlukan komponen semikonduktor. Pelabur boleh melihat sektor ini sebagai satu pilihan untuk membuat keputusan pelaburan bagi suku tahun kedua tahun 2021 ini.

 

Pada suku kedua tahun 2021 in, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka bergerak dalam aliran mendatar. Bursa Malaysia dijangka berada pada jajaran sekitar 1,550 mata sebagai paras sokongan dan kira-kira 1,600 mata sebagai paras rintangan semasa.

 

Ini disebabkan pelabur yang sangat berhati-hati dalam membuat pelaburan mereka. Sebagai pelabur yang baik, QR syarikat yang diumumkan itu boleh dijadikan asas untuk membuat pilihan pelaburan yang tepat.

 

Namun,  dalam situasi ketidaktentuan ekonomi ini, setiap pelabur perlulah memilih sektor yang betul  dan syarikat yang tepat  bagi membolehkan mereka mendapat pulangan yang baik.  – DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

 

 

 

 

Portfolio Tags