Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Volatiliti - 2 June 2021

TOTAL LOCKDOWN BERI TEKANAN KEPADA PASARAN SAHAM

 

 

 

PERDANA Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan penutupan penuh atau dikenali sebagai “ total lockdown” bagi sektor sosial dan ekonomi yang bermula semalam iaitu 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021 depan selepas hal ini dibincang dan diputuskan dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara.

 

Kerajaan mengambil keputusan ini adalah selepas mengambil kira situasi semasa yang semakin kritikal dengan lengkungan COVID-19 gagal diratakan. 

 

Di Malaysia, jumlah kes harian melebihi 8,000 kes sehari dan kes aktif melebih 70,000 kes. Hal ini pastinya membimbangkan semua pihak. Namun begitu  jika Malaysia terus menjalankan lockdown pula ia akan memberi kesan kepada sektor ekonomi.

 

 

PM
PERDANA Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin

 

 

Penganalisis ekonomi dan pasaran saham meramalkan keadaan total lockdown ini pastinya memberi kesan kepada pasaran saham yan mana akan mendorong tekanan jualan dalam pasaran tempatan kerana pelabur ingin mengambil langkah berhati-hati bagi menyelamatkan modal pelaburan mereka.

 

Namun, keadaan ini dijangka tidak seburuk semasa total lockdown pertama semasa 18 Mac 2020 yang lalu kerana pada ketika itu keadaan pasaran lagi agak panik.

 

Pada 31 Mei 2021, Bursa Malaysia ditutup rendah secara menyeluruh berikutan sentimen pasaran yang berhati-hati menjelang total lockdown yang akan dilaksanakan sepenuhnya bermula 1 Jun 2021.

 

Pada awal pagi Isnin itu juga, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 23.64 mata, atau 1.48%, kepada 1,570.80 daripada 1,594.44 semasa ditutup pada hari Jumaat minggu sebelumnya.

 

Sedikit tekanan berlaku di pasaran saham di Malaysia apabila kaunter rugi sebanyak 740 kaunter mengatasi kaunter untung di mana hanya 40 kaunter sahaja manakala 123 kaunter lagi berada pada keadaan kekal dan tidak berubah.

 

Affin Hwang Capital dalam kenyataannya, menyatakan reaksi penjualan panik sudah dijangka pada 31 Mei yang lalu susulan pengumuman pelaksanaan total lockdown  untuk membendung jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat di negara ini dengan catatan jangkitan tertinggi harian melepasi paras 8,000 kes setiap hari.

 

Tekanan total lockdown juga dilihat di papan indeks di mana Indeks FBM Emas susut 217.25 mata kepada 11,361.25 dan Indeks FBMT 100 merosot 189.19 mata kepada 11,087.41.

 

Manakala Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 237.70 mata kepada 12,609.34, FBM 70 susut 335.27 mata kepada 14,534.38 dan FBM ACE jatuh 291.47 mata kepada 7,552.41.

 

Semua indeks bertindak negatif dengan pengumuman total lockdown ini. Bagi indeks mengikut sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 219.36 mata kepada 14,947.77, Indeks Perladangan susut 75.71 mata kepada 6,832.75 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 5.64 mata kepada 187.45.

 

Pengumuman PEMERKASA lewat petang Isnin oleh Perdana Menteri dengan jumlah RM40 billion dengan tiga matlamat utama iaitu meningkatkan kapasiti kesihatan awam, meneruskan agenda prihatin dan menyokong kelansungan perniagaan memberi sedikit kesan positif kepada pasaran saham.

volatiliti

Semalam, pasaran dibuka sedikit tinggi diransang dengan pengumuman PEMERKASA ini. Indeks utama dibuka dengan 2.19 mata lebih tinggi pada 1,585.74 manakala indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.38 mata atau 0.15%  kepada 1,585.93.

 

Walaupun keadaan pasaran saham bertindak sedikit positif namun ramai penganalisa meramalkan total lockdown ini akan tetap memberi tekanan kepada pasaran saham.

 

Malacca Securities Sdn Bhd juga menjangkakan kecenderungan negatif dalam pasaran lebih luas berikutan total lockdown  yang dilaksanakan ini. Total lockdown yang dilaksanakan bermula semalam ini diramal akan dilanjutkan jika keadaan dua minggu tidak mampu meratakan lengkungkan COVID-19 ini.

 

Jika keadaan ini berlaku pastinya akan  memberi kesan kepada sektor ekonomi dengan keadaan sektor ekonomi bergerak pelahan akibat total lockdown ini. Situati ini bakal memberi tekanan kepada pasaran saham juga dan ringgit yang dijangka akan terus melemah.

 

Buat masa kini, dalam tekanan total lockdown ini, pelabur boleh memberi tumpuan kepada saham berkaitan vaksin atau farmaseutikal dengan program vaksinasi yang sedang dijalankan.

 

Selain itu, sektor seperti teknologi dan perkapalan yang berkaitan dengan peringkat global serta berkaitan Personal Protective Equipment (PPE) akan terus beroperasi semasa total lockdown ini boleh dimanfaatkan oleh pelabur-pelabur.

 

Walaupun total lockdown memberi tekanan kepada ekonomi dan pasaran saham,  pelaksanaan total lockdown ini dilihat sebagai kaedah paling berkesan untuk membendung penularan COVID-19 dan sekali gus membolehkan ekonomi keluar dari kemelut pandemik dalam keadaan yang lebih kukuh pada masa akan datang.

 

Melihat kepada prestasi ringgit pula, RHB Research menjangkakan dalam beberapa minggu akan datang, julat dagangan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berada pada paras RM4.15 hingga RM4.20 sedolar.

 

Tuntasnya, walaupun pelaksanaan total lockdown ini memberi tekanan kepada pasaran saham, pelabur tetap boleh mengintai peluang daripada sektor kesihatan yang dijangka boleh menawarkan pulangan yang baik.

 

Peningkatan kes jangkitan COVID-19 melebihi 8,000 kes ini pasti membawa sektor sarung tangan kepada permintaan yang tinggi.

 

Kaunter-kaunter saham seperti Comfort Gloves Berhad (COMFORT), Kossan Rubber Industries Behrad (KOSSAN) dan Careplus Group Berhad (CAREPLS) boleh diperhatikan oleh pelabur.

 

Selain itu, saham yang berkaitan vaksin juga boleh diberi perhatian seperti Pharmaniaga Berhad (PHARMA), Duopharma Biotech Berhad (DPHARMA) dan Bintai Kinden Corporation Berhad (BINTAI). Bagi pelabur tegar, dalam setiap masalah pasti ada peluang!   - DagangNews.com

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags