Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Volatiliti - 16 June 2021

Potensi besar MR.DIY susulan penyenaraiannya dalam FTSE Bursa Malaysia

 

 

SEPERTI diketahui umum, syarikat MR.DIY Group (M) Berhad dimasukkan menjadi salah satu daripada 30 konstituen FTSE Bursa Malaysia KLCI.

 

Menurut Bursa Malaysia dan FTSE Rusell menyatakan perubahan terhadap FTSE Bursa Malaysia KLCI ini adalah berikutan kajian separuh tahun pertama Siri Indeks FTSE Bursa Malaysia yang dijalankan mengikut asas indek ini.

 

Penilaian kepada syarikat adalah berdasarkan prestasi, pendedahan tadbir urus sosial dan korporat (ESG) yang  selaras dengan Model Penarafan FTSE4Good Bursa Malaysia dalam kitaran semakan.

 

Syarikat yang memenuhi kriteria kemasukan dengan menangani dan meletakkan langkah bagi mengurangkan risiko ESG mereka akan dimasukkan ke dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia. MR.DIY mengantikan syarikat Supermax Corporation iaitu syarikat pembuat sarung tangan getah.

 

 

Apa FTSE Bursa Malaysia dan Syarikat Yang Layak Tersenarai?

FTSE ialah Financial Times Stock Exchange. Bursa Malaysia dan Kumpulan FTSE berkolaborasi pada 26 Jun 2006 untuk melancarkan data pasarana.

 

Data pasaran direka untuk mewakili prestasi syarikat-syarikat, menyediakan pelabur dengan set indeks yang komprehensif dan lengkap yang mengukur prestasi segmen modal dan industri utama pasaran Malaysia dan serantau.

 

Semua syarikat Malaysia yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia dan Pasaran ACE layak untuk disenaraikan, tertakluk pada piawaian antarabangsa FTSE untuk apungan bebas, kecairan dan boleh dilabur.

 

FTSE Bursa Malaysia KLCI ini diwakili daripada 30 syarikat-syarikat “bluechips” yang berprestasi tinggi yang digabungkan di dalam satu “kumpulan” untuk menghasilkan bacaan komposit yang sebagai indeks.

 

Kesemua 30 syarikat ini akan berubah dari masa ke masa bergantung kepada prestasi syarikat-syarikat yang dipilih untuk mewakili indeks secara individu. Selain itu, pelabur dalam negara atau pelabur asing akan membuat analisis melalui FTSE Bursa Malaysia KLCI dan dijadikan kayu ukur yang penting untuk menentukan hala tuju pasaran saham di Malaysia.

 

Secara asasnya, sekiranya banyak syarikat dalam komponen di dalam indeks merudum mengatasi menaik, maka kita akan lihat indeks akan menjunam dan merudum. Namun, sekiranya komponen tersebut banyak yang menaik dan menghijau, mengatasi kejatuhan, maka kita akan lihat indeks akan menghijau. Hal ini penting bagi pelabur bagi memastikan pelabur membuat keputusan yang tepat untuk “buy and sell”.

 

 

MR.DIY Kukuhkan Kedudukan

Apa menarik perhatian pelabur mengenai syarikat MR.DIY ini apabila dua beradik pengasasnya iaitu Tan Yu Yeh dan Tan Yu Wei menjadi muka baru dalam senarai hartawan Forbes tahun ini.

 

MrDIY
                            Tan Yu Wei (kiri) dan Tan Yu Wei, pemilik MR.DIY

 

Kekayaan Yu Yeh dianggarkan bernilai AS$1.8 bilion (RM7.4 bilion) manakala, Yu Wei sekitar AS$1.1 bilion (RM4.5 bilion). Forbes memaklumkan bahawa kekayaan dua beradik itu hasil daripada pegangan dalam perniagaan kedai perkakasan kediaman MR.DIY.

 

MR.DIY disenaraikan di Bursa Malaysia pada Oktober tahun lalu yang juga tawaran awam permulaan (IPO) terbesar sejak 2017 dengan modal pasaran RM10 bilion.

 

MR.DIY telah membina empayar menerusi model perniagaan yang menjual perkakasan “hardware” dan perkakasan rumah. Kini MR.DIY mempunyai 1,500 buah cawangan di ASEAN termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, Philipina, Loas dan lain-lain negara.

 

Menurut Ketua Pemasarannya, Andy Chin, sasaran pertumbuhan secara organik itu bakal dipacu oleh peningkatan permintaan pasaran dan kuasa beli pengguna ASEAN yang sebilangannya merupakan negara komponen pasaran membangun.

 

Model perniagaan MR.DIY sebagai peruncit pembaikan rumah dan keperluan am yang menawarkan kepelbagaian pada harga mampu milik amat sesuai untuk pertumbuhan perniagaan yang lebih baik, bukan sahaja dalam negeri, tetapi di pasaran ASEAN.

 

Model perniagaan MR.DIY adalah mereka menawarkan harga yang sangat murah berbanding dengan pesaing mereka di pasaran ini dilihat akan menjadikan syarikat ini mampu berkembang dengan lebih baik di masa akan datang.

 

Perniagaan MR.DIY dengan membeli dengan harga murah dengan mengambil barangan secara pukal dari China dengan lebih daripada 200 kontena yang masuk setiap bulan.

 

MrDIY
Kedai pertama MR.DIY di Jalan Tunku Abdul Rahman pada 2005

 

Teknik harga murah ini telah menjadikan MR.DIY berjaya menambat hati rakyat Malaysia. Kerjasama MR.DIY dengan anchor tenant pasar raya besar seperti AEON dan Tesco dengan membuka cawangan perniagaan mereka di gedung terkenal tersebut dan kedudukan cawangan MR.DIY yang strategik adalah model perniagaan syarikat dianggap berjaya.

 

Keadaan ekonomi yang tidak menentu menjadi satu kelebihan kepada perniagaan MR.DIY. Keadaan ekonomi buat masa kini membuatkan saiz golongan B40 semakin besar dan golongan M40 semakin mengecil dan MR.DIY melihat ia adalah satu peluang sebenarnya.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adrian Ong,  tahun ini kumpulan syarikat MR.DIY menyasarkan pembukaan 175 cawangan baharu merangkumi kesemua jenama di bawahnya.

 

Walaupun banyak perniagaan terkesan sepanjang PKP yang dijalankan oleh kerajaan pada tahun 2020 tetapi sebaliknya bagi MR.DIY. Syarikat ini meraih keuntungan bersih RM337.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, meningkat 6% berbanding 2019.

 

Pendapatan diraih melonjak 13% kepada RM2.56 bilion. Bagi suku tahun pertama 2021 ini pula MR.DIY mencatatkan prestasi kewangan terbaiknya setakat ini dengan keuntungan bersih melonjak 113% kepada RM124.8 juta yang berakhir 31 Mac 2021 yang lalu.

 

Pendapatannya dalam suku tahun 2021 melonjak 63% kepada RM870.2 juta berbanding suku sama tahun lalu. Selain itu, jumlah urus niaga bagi suku tahun meningkat 21.7% daripada 24.6 juta kepada 29.9 juta. Kumpulan perniagaan mencatatkan keuntungan sebelum cukai lebih tinggi RM170.7 bagi suku pertama 2021, peningkatan 108% berbanding suku pertama 2020.

 

MR.DIY dijangka mengekalkan pertumbuhan jualan melebihi 50% lagi bagi tahun kewangan 2021. Syarikat ini juga bertindak pantas bagi mendepani cabaran pandemik dengan segmen e-dagang MR.DIY yang telah dilancarkan tahun lalu.  

 

Dengan harga saham terkini kaunter MR.DIY berada sekitar RM 3.70-3.80 yang berada dalam fasa “sideway” berkemungkinan disebabkan oleh PKP 3.0 namun sahamnya dijangka berpontesi untuk ke ‘bullish market” sekiranya berjaya melepasi “breakout” RM 4.30.

 

Ini berikutan kepercayaan pelabur terhadap syarikat apabila MR.DIY tersenarai sebagai FTSE Bursa Malaysia KLCI, dan pengasasnya tersenarai pula sebagai jutawan Forbes serta didokong oleh model perniagaan yang baik serta keuntungan suku tahun pertama 2021 yang kukuh. – DagangNews.com

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

 

      KOLEKSI VOLATILITI

 

 

Portfolio Tags